#3775: Mengangkat Tangan Ketika Berdoa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah terdapat hadith berkenaan mengangkat tangan ketika berdoa? Ini kerana kami dapati ada orang tidak endah dan tidak mengangkat tangan ketika berdoa.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdoa kepada Allah SWT merupakan satu ibadah yang dituntut. Para ulama telah menyebutkan beberapa sebab-sebab yang menguatkan kemustajaban doa seseorang.

Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamunkepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bah- kan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Ribe: Sangat alacamat dimustain kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Ak akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al- Quran, 15/292)

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah Ghafir (60)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Antara sebab kemustajaban doa tersebut adalah mengangkat tangan semasa berdoa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salman Al-Farisi R.A beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah itu Maha Pemalu dan Maha Mulia. Dia malu sekiranya seorang lelaki itu mengangkat tangan ke arah-Nya (dalam berdoa), lalu Dia membiarkan kedua tangan tersebut kosong dan tertolak.”

Riwayat Al-Tirmizi (3556)

Al-San’ani berkata: “Hadith ini menunjukkan dianjurkan mengangkat kedua tangan ketika berdoa: Hadith-hadith mengenai hal ini adalah banyak.” (Lihat Subul al-Salam, 2/708)

Syeikh ‘Ubaidullah al-Mubarakfuri dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : Pada hadis ini terdapatnya anjuran untuk mengangkat kedua tangan semasa berdoa dan kedua tangan tersebut dirapatkan. (Lihat Mir’aat al-Mafatih Syarah Misykat al-Masabih, 7/363)

Berkenaan persoalan di atas, terdapat beberapa hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW mengangkat tangan Baginda SAW yang mulia ketika berdoa.

Antaranya yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA, berkata:

دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَاءٍ فَتَوَضَّأَ بِهِ، ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ فَقَالَ: “اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِعُبَيْدٍ أَبِي عَامِرٍ” وَرَأَيْتُ بَيَاضَ إِبْطَيْهِ، فَقَالَ: “اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ يَوْمَ القِيَامَةِ فَوْقَ كَثِيرٍ مِنْ خَلْقِكَ مِنَ النَّاس”

Maksudnya: “Nabi SAW meminta dibawakan air, lalu Baginda SAW berwudhuk dengan  air tersebut. Kemudian Baginda SAW mengangkat kedua tangan sambil berdoa: “Ya Allah, Kau ampunilah ‘Ubaid Abi ‘Amir”, sehingga aku terlihat putihnya ketiak Baginda SAW. Baginda SAW meneruskan berdoa: “Ya Allah, Kau jadikanlah dia di hari Kiamat antara orang yang terbaik daripada kalangan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6383)

Di dalam hadith ini, menunjukkan bahawa Nabi SAW mengangkat tangan Baginda SAW ketika berdoa.

Ketika Peperangan Badar pada bulan Ramadhan tahun 2 Hijrah, baju dan serban Rasulullah SAW jatuh daripada bahunya dan kepalanya ketika Baginda berdoa pada waktu malam:

اللَّهُمَّ عَهْدَكَ وَوَعْدُكَ اَللَّهُمَّ إِنْ تهلِك هَذِهِ العِصَابَةَ لَمْ تُعْبَدْ بَعْدَ اليَوْمِ

Maksudnya:  Ya Allah! Tunaikanlah janji-Mu, Ya Allah, sekiranya binasa atau mati golongan ini, maka tidak ada lagi manusia selepas hari ini yang akan menyembah-Mu.

Jawab Abu Bakar al-Siddiq RA:

حَسْبُكَ يَا رَسُولَ اللهِ فَإِنَّ اللهَ مُنْجِزٌلَكَ مَا وَعَدَكَ

Maksudnya:  “Cukuplah wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT akan menunaikan janji-Nya kepadamu.”

Riwayat Muslim (1763), al-Tirmuzi (3081) dan Ahmad (208)

Di samping itu juga, terdapat hadith lain yang menunjukkan bahawa Allah SWT malu kepada hambanya yang mengangkat tangan memohon kepada-Nya seperti hadith daripada Salman al-Farisi RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Maha Hidup lagi Maha Mulia malu jika seorang lelaki itu mengangkat kedua tangannya kepada-Nya serta memulangkannya dalam keadaan kosong yang tidak membawa hasil”.

Riwayat al-Tirmizi (3556). Hadith ini dinilai hasan gharib oleh Imam al-Tirmizi

Di dalam Tuhfah al-Ahwazi  dikatakan bahawa terdapat banyak hadith-hadith sahih dan jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW mengangkat tangan ketika berdoa. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/232)

Berdasarkan kenyataan di atas, mengangkat tangan ketika berdoa termasuk di dalam adab-adab berdoa kerana ia menunjukkan tanda kita merendahkan diri di hadapan Allah SWT yang Maha Berkuasa.

Akhirnya, semoga Allah SWT memakbulkan doa-doa kita serta menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang terbaik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445