#378 Jumlah Sahabat Haji Bersama Rasulullah SAW

Soalan

Berapa jumlah para sahabat yang menunaikah ibadah haji bersama Rasulullah SAW?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam nas menunjukkan kalimah jam’un ghafir, iaitu jumlah yang besar sehingga sahabat yang berada di yaman dan juga yang berada di beberapa tempat yang lain  menyertainya.

Ada yang menyatakan 100 000, tetapi yang masyhurnya, 124 000. Kami nyatakan sedikit petikan daripada kitab al-Rahiq al-Makhtum:

Pada hari kelapan bulan Zulhijjah iaitu hari tarwiyah, Rasulullah SAW bergerak menuju ke Mina. Di situ Rasulullah SAW menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak dan Subuh, iaitu lima waktu solat, kemudian baginda SAW menunggu sebentar sehingga terbit matahari. Kemudian Rasulullah SAW pun bergerak menuju ke Arafah. Sesampainya di Arafah, Rasulullah SAW mendapati sebuah khemah telah terpasang dan disediakan untuk baginda SAW, lalu baginda SAW singgah di situ. Apabila matahari telah gelincir, Rasulullah SAW memanggil untanya, al-Qaswa dan menunggannya sehingga ke tengah lembah itu (Uranah). Ketika itu, terdapat 124 000 atau 140 000 orang yang sedang berkumpul. Rasulullah SAW bangun untuk menyampaikan khutbah baginda. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm.801)

Justeru, mereka yang mengatakan 124 000 ada yang mengaitkan dengan jumlah para nabi dan rasul seramai 124 000. Wallahu’alam.

Marilah sama-sama kita berdoa semoag allah kurniakan kepada kita ibadah yang maqbul dan haji umrah yang mabrur.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 31 Januari 2022 bersamaan 28 Jamadil Akhir 1443H