Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah ustaz ceritakan atau bahaskan secara ringkas berkenaan khilaf dalam kalangan ulama berkenaan hukum solat jenazah ghaib? Sebabnya ada yang kata dibolehkan sebab Nabi SAW buat dan ada juga yang kata ia tidak dibolehkan dan termasuk dalam perkara yang khusus buat Nabi SAW. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan takrif berkenaan solat jenazah ghaib. Ringkasnya, solat jenazah ghaib bermaksud solat yang dilaksanakan di negeri yang lain yang berada jauh dari negeri asalnya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 385).
Seterusnya, di sana terdapat hadith yang dijadikan sebagai dalil oleh mereka yang berpendapat solat jenazah ghaib dibolehkan (disyariatkan). Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.”
Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)
Dalam menjawab soalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam setelah mensyarahkan dan menyebutkan beberapa faedah yang dapat diambil daripada hadith tersebut, beliau membincangkan pula berkenaan khilaf ulama mengenai hukum solat jenazah ghaib. Beliau menyebutkan, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik serta para ashab mereka berpendapat bahawa solat jenazah ghaib tidak disyariatkan (yakni tidak dibolehkan). Kemudian mereka menjawab dalil yang dikemukakan oleh ulama yang berpendapat ia dibolehkan iaitu kisah Najasyi di atas bahawa perkara itu termasuk dalam khususiyyah al-Nabi — yakni perkara yang khusus buat Nabi SAW.
Adapun Imam al-Syafi‘i dan Imam Ahmad pula berpendapat, solat jenazah ghaib adalah disyariatkan (dibolehkan). Dalilnya adalah sebagaimana hadith Abu Hurairah di atas, manakala mengkhususkan suatu perkara hanya untuk Nabi SAW memerlukan kepada dalil dan tidak ada dalil yang menunjukkan kepada hal tersebut.
Selain itu, Syeikh al-Islam mengambil pendekatan yang sederhana (pertengahan) dalam hal ini, di mana beliau menyatakan bahawa jika jenazah yang hendak disolatkan itu tidak ada lagi yang mensolatkannya seperti mana halnya al-Najasyi maka boleh solat jenazah ghaib ke atasnya. Namun, jika sudah ada yang solat jenazah ke atasnya, maka sudah gugur kefardhuan kifayah ke atas kaum Muslimin — untuk mensolatkannya.
Pendapat ini juga adalah satu riwayat daripada Imam Ahmad dan disahihkan oleh Ibn al-Qayyim dalam al-Hadyu. Ini kerana pada zaman Nabi SAW, beberapa orang sahabat ada meninggal dunia sedangkan mereka tidak ada di tempat tersebut. Tidak sabit dalam mana-mana riwayat bahawasanya Nabi SAW pernah mendirikan solat jenazah ghaib untuk salah seorang daripada mereka, sedangkan solat itu adalah diwajibkan di sini.
Syeikh al-Islam menukilkan daripada Imam Ahmad bahawa beliau menyebutkan, apabila seorang lelaki soleh meninggal dunia, maka solatkanlah ke atasnya. Beliau berhujah berdasarkan kepada kisah Najasyi ini. Kemudian, Syeikh Abdullah al-Bassam menyimpulkan dengan menyebutkan bahawa pendapat yang memperincikannya (tafsil) telah dirajihkan (dipilih) oleh guru beliau, Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di dan inilah yang menjadi amalan di Najad, di mana mereka melakukan solat jenazah ghaib ke atas orang yang mempunyai kelebihan dan telah bersaing untuk kebaikan dalam kalangan umat Islam, serta meninggalkan atau tidak melakukan solat jenazah ghaib ke atas selain daripada mereka. Solat jenazah di sini adalah digalakkan atau dianjurkan.
Begitu juga Ibn al-Qayyim turut menyatakan bahawa pendapat yang paling sahih adalah pendapat berdasarkan kepada perincian ini. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/193; lihat juga Syarh al-Khirasyi ‘ala Mukhtasar Khalil, 2/143; Badai‘ al-Sanai‘, 1/312; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/211).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelas kepada kita bahawa solat jenazah ghaib adalah disyariatkan, berdasarkan kepada riwayat yang sabit yang menyatakan bahawa Nabi SAW dan para sahabatnya melakukan solat jenazah ghaib ke atas Najasyi. Begitu juga tidak ada dalil yang menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah khusus hanya untuk Nabi SAW.
Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada penelitian kami, terdapat dua pendapat yang paling adil dalam perkara ini:
- Solat jenazah ghaib hanya disyariatkan ke atas orang yang tidak disolatkan lagi ke atasnya sebelum ini.
- Solat jenazah ghaib disyariatkan ke atas orang yang memberikan manfaat kepada umat Islam, seperti seorang ulama yang memberikan manfaat kepada orang ramai melalui ilmunya, atau seorang peniaga yang memberikan manfaat melalui hartanya, atau seorang mujahid yang memberikan manfaat kepada orang ramai melalui perjuangannya, dan seumpamanya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445