Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita berwuduk dengan air zamzam? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, air zamzam merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjidil Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim A.S, apabila Allah SWT telah sediakan air dari telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.
Di antara keistimewaan air Zamzam ini ialah ia merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya serta penawar daripada penyakit. Perkara ini kami telah bahaskan secara panjang lebar dalam dua artikel kami yang bertajuk: #369 Keberkatan Air Zamzam Tidak Terikat dengan Tanah Haram[1] dan #374 Keharusan Membawa Air Zamzam Keluar dari Makkah.[2]
Begitu juga, Islam sangat prihatin terhadap soal menjaga kebersihan dan bersuci. Ini kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada ciri-ciri iman. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Malik al-Asy‘ari bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Keduanya, berkenaan wuduk. Wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69).
Wuduk berasal daripada perkataan wadha’ah (وَضَاءَةٌ). Dari segi bahasa, ia bererti elok dan berseri. Sementara dari segi syarak pula ialah perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu beserta dengan niat. Ia dinamakan demikian kerana perbuatan tersebut mengelokkan dan menyerikan anggota yang dibasuh dan dibersihkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/53). Seseorang itu dikira sah wuduknya, bilamana telah memenuhi semua rukun-rukun dan syarat-syarat sah wuduk.
Di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan — iaitu air mutlak — kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 96 dan 57). Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31). Dr Wahbah al-Zuhaili ada menyebutkan tujuh jenis air mutlak yang boleh digunakan untuk bersuci iaitu air laut, air hujan, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).
Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya tidak menjadi masalah bagi seseorang itu, bahkan tidak makruh untuknya berwuduk dengan menggunakan air zamzam dan wuduknya itu sah jika memenuhi semua rukun dan syarat-syaratnya yang lain. Ini kerana air zamzam termasuk dalam jenis air mutlak dalam kategori air mata air.
Imam al-Nawawi ketika membahaskan mengenai hukum berwuduk dan mandi dengan menggunakan air zamzam menyatakan bahawa pendapat majoriti ulama adalah sepertimana pendapat mazhab Syafi‘i iaitu tidak makruh berwuduk dan mandi dengan menggunakan air zamzam. Dalilnya adalah berdasarkan kepada keumuman nas yang sahih lagi jelas berkenaan hukum air tanpa membezakannya. Selain itu, sentiasa ada orang-orang Islam yang berwuduk dengan air zamzam tanpa ada seorang pun yang mengingkari perbuatan mereka itu. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/91).
Di sana terdapat riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa:
أنَّ رَسُول اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَعَا بِسَجْلٍ مِنْ مَاءِ زَمْزَمَ، فَشَرِبَ مِنْهُ وَتَوَضَّأَ
Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta satu bekas dari air zamzam lalu Baginda meminum daripadanya dan berwuduk.”
Riwayat Ahmad (564)[3]
Begitu juga Ibn Qudamah turut menyebutkan, tidak makruh untuk berwuduk dan mandi dengan air zamzam kerana ia adalah air tahur (suci lagi menyucikan), maka ia menyerupai air-air yang lain. Namun, terdapat satu riwayat daripada Imam Ahmad yang menyatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Hal ini adalah berdasarkan kepada pendapat al-Abbas R.A:
لَا أُحِلُّهَا لِمُغْتَسِلٍ، لَكِنْ لِمُحْرِمٍ حَلَّ وَبَلَّ
Maksudnya: “Aku tidak benarkan air zamzam digunakan bagi orang mandi, tetapi bagi muhrim (orang dalam ihram untuk minum) adalah halal lagi baik.” (Lihat al-Mughni, 1/16).
Namun, ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i menyebutkan bahawa pendapat al-Abbas R.A itu dapat ditakwilkan bahawa ia diucapkan ketika waktu sedikitnya air zamzam disebabkan oleh ramai orang yang meminumnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/91). Manakala Ibn Qudamah pula mengatakan bahawa pendapat al-Abbas R.A itu tidak menunjukkan secara jelas bahawa ia adalah haram, tetapi dapat difahami bahawa menggunakan selain air zamzam — yakni untuk tujuan mandi — adalah lebih utama, dan kemulian air zamzam tidak memestikan bahawa hukumnya adalah makruh untuk digunakan. (Lihat al-Mughni, 1/16).
Selain itu, al-Mawwaq juga ada menyatakan, digalakkan atau dianjurkan untuk memperbanyakkan minum air zamzam dan berwuduk dengannya bagi sesiapa yang bermukim di Makkah. (Lihat Taj wa al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, 4/163).
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa harus dan tidak makruh menggunakan air zamzam untuk berwuduk kerana ia merupakan air yang suci lagi menyucikan sepertimana air mutlak yang lain.
Begitu juga sebaik-baiknya tidak menggunakan air zamzam bagi membersihkan najis, sebagai mengambil jalan keluar dan meraikan khilaf ulama yang memakruhkannya. Tambahan lagi, dengan kedudukan air zamzam yang mulia sepertimana disebutkan oleh al-Munawi bahawa air zamzam adalah penghulu bagi segala air, merupakan air yang paling mulia, paling berharga dan paling disukai oleh manusia. Ia telah digali oleh malaikat Jibril A.S dan diberi minum kepada Nabi Ismail A.S. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 5/404).
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”
Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/369-keberkatan-air-zamzam-tidak-terikat-dengan-tanah-haram/. Diakses pada 24 Oktober 2023.
[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/374-keharusan-membawa-air-zamzam-keluar-dari-makkah/. Diakses pada 24 Oktober 2023.
[3] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (564) menilai sanadnya sebagai hasan.
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445