#3786: Hukum Talbiah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum Talbiah itu sendiri?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

(Surah al-Hajj: 27)

Talbiah merupakan satu ucapan yang menandakan kehadiran para Jemaah Haji yang dilafazkan oleh setiap jemaah haji. Ucapan ini dilaungkan setelah berihram ketika berada di tanah suci. Maksud yang dikehendaki dari laungan talbiah ini ialah menyahut seruan Allah SWT, pembuka ucapan dan pengakuan atau ikrar, iltizam serta komitmen perjanjian dan kata-kata langsung atau berdialog dengan Allah SWT.

Lafaz talbiah adalah seperti berikut:

لَبَّيْكَ اللّٰهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَاْلملْكَ لَا شَرِيْكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Hal ini bersandarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ لَبَّيْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ لَبَّيْكَ إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيكَ لَكَ

Maksudnya: “Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala puji dan nikmat dan kerajaan adalah kepunyaanMu, tiada sekutu bagiMu.”

Riwayat Muslim (1184)

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama’ berbeza pendapat dalam masalah bertalbiyyah seperti berikut:

Pertama: Al-Syafi’i dan Ahmad berpendapat: “Bahawa bertalbiyah itu sunat, dan meninggalkannya tidak berdosa.” Menurut mereka, tidak ada dalil yang mewajibkannya, dan prinsip dasarnya adalah tidak ada kewajiban (الْأَصْلُ عَدَمُ الْوُجُوبِ).

Kedua: Abu Hanifah, Zahiriyyah, al-Thauri, Ata’ dan Tawus berpendapat: “Bahawa bertalbiyyah merupakan rukun yang menyebabkan tidak sahnya haji, sepertimana takbiratul ihram di dalam solat.”

Ketiga: Imam Malik dan para ashabnya, serta sebahagian ulama al-Syafi’iyyah berpendapat: “Bahawa bertalbiyah itu wajib yang boleh dikenakan dam jika ditinggalkan.” Dalil wajibnya kuat kerana ia merupakan syiar haji. Nabi SAW tidak meninggalkannya. Baginda bersabda:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya: “Ambillah dariku tatacara ibadah haji kamu semua.”

Riwayat Muslim (1297) dengan perbezaan lafaz dan al-Nasa’ie (3062). [1]

Dalam hadith daripada Khallad bin al-Sa’ib, daripada bapanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَانِي جِبْرِيْلُ، فَأَمَرَنِي أَنْ آمُرَ أَصْحَابِي أَنْ يَرْفَعُوا أَصْوَاتَهُمْ بِالإِهْلَالِ

Maksudnya: “Jibril datang menemuiku lalu memerintahkan agar aku memerintahkan para sahabatku untuk meninggikan suara mereka dengan membaca talbiyah.”

Riwayat Ahmad (15961), Abu Daud (1814), al-Tirmizi (829), al-Nasa’ie (2703), Ibn Majah (2922) dan Ibn Hibban (3791).

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith ini terdapat perintah, dan perintah itu menghendaki wajib (الْأَمْر يَقْتَضِي الْوُجُوبَ). Umat Islam telah mengikutinya dalam ibadah mereka, maka kamu tidak mendapati orang yang berihram kecuali dia mengulang-ulang talbiyah itu. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/67)

Penutup

Talbiah sememangnya digalakkan oleh Nabi SAW bagi setiap jemaah haji. Bahkan, perkara ini dianggap sunat di sisi Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad. Walaubagaimanapun, jika seseorang jemaah haji itu meninggalkan perbuatan talbiah, haji yang dilakukannya tetap sah namun mereka tidak mendapat pahala fadhilat talbiah tersebut. Ini jelas berdasarkan hadith di bawah:

Daripada Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A, bahawa Nabi SAW telah ditanya:

أَىُّ الْحَجِّ أَفْضَلُ قَالَ: الْعَجُّ وَالثَّجُّ.

Maksudnya: “Apakah haji yang paling afdhal? Baginda menjawab: “Menyaringkan ucapan talbiah dan menyembelih binatang korban”

Riwayat al-Tirmizi (827) dan Ibn Majah (2896). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakannya sebagai kuat, berdasarkan syawahidnya yang banyak. (Lihat takhrij Syarh al-Sunnah, no. 1847)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

[1] Dalam Sunan Ibn Majah, dengan lafaz:

 يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya:  “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu. Sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini,”

Riwayat al-Nasaie (3062) dengan lafaz ini. Begitu juga diriwayatkan dengan sedikit perbezaan lafaz oleh Muslim (1297), Abu Dawud (1970), al-Tirmizi (886), Ibn Majah (3023) dan Ahmad (14593).

 

 

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445