#3787: Adakah Zawi al-Arham Boleh Mewarisi?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai hukum pewarisan waris yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si mati selain daripada waris fardhu dan waris ‘asobah. ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Hadis menerangkan tentang cara pewarisan bahagian harta pusaka yang disebut dalam kitab Allah SWT, dengan cara menerangkan golongan yang berhak mewarisi pusaka. Ia juga menerangkan bahagian daripada lebihan harta yang mana tidak dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran yang berkaitan dengan pewaris-pewaris dan bahagian mereka. Dan juga menerangkan cara pembahagian pewarisan baki harta bagi pewaris ‘asabah yang tidak disebut dalam al-Quran secara terperinci. Apabila digabungkan hadis ini dengan ayat al-Quran tentang pewarisan maka tersusun dan lengkaplah pembahagian atau bahagian-bahagian di antara kesemua pewaris dari ashab al-Furudh dan ‘asabah. (Lihat al-Kafi Dan Tatmi al-Kafi Syarah Hadis 40,hlm.414)

Dalam menjawab persoalan di atas kami nyatakan dahulu istilah-istilah yang penting dalam ilmu faraid antaranya adalah seperti berikut:

  • Ashāb al-furūd- Ahli waris yang paling utama didahulukan dalam pembahagian dan penerimaan harta. Golongan ini merupakan ahli waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Contohnya, suami, isteri dan anak perempuan.
  • al-‘Asabah – Ahli waris yang menerima keseluruhan harta pusaka jika tiada ashāb al-furūd atau menerima baki pusaka sekiranya mempunyai lebihan selepas diagihkan kepada ashāb al-furūd. Contohnya, anak lelaki.
  • Zawi al-arḥam – Ahli waris selain ashāb al-furūd dan al-‘asabah yang tidak ditentukan hak pewarisan harta pusaka dalam al-Quran, sunnah atau ijmak. Contohnya, cucu lelaki dari jalur anak perempuan si mati. (Lihat al-Mawarith fi al-Shariah al-Islamiyyah, hlm. 37)

Dalam isu ini ulama ada berbeza pandangan mengenai zawi al-Arham sekiranya tidak ada ashab al-furud melainkan suami dan isteri dan juga tidak ada ‘Asobah.

Pandangan pertama: Zawi al-Arham dapat mewarisi harta peninggalan warisnya. Pandangan ini merupakan pandangan ulama Hanafi, Hambali serta pandangan dari mazhab Syafi’e dengan syarat Baitulmal tidak  dikuatkuasakan.

Mereka berdalilkan hadith yang diriwayatkan daripada Abi Umammah Bin Sahl R.A bahwa Rasulullah SAW bersabda:

الخَالُ وَارِثُ مَنْ لَا وَارِثَ لَهُ

Maksudnya: Bapa saudara (dari jalur ibu) yang termasuk zawi al-Arham berhak mewarisi  apabila orang yang meninggal yang tidak memiliki ahli waris (baik dari Ashabul Furudh maupun Ashobah)

Riwayat Tarmizi (2103), Ibn Majah (2737) dan Ibn Hibban (1227)

Telah dinyatakan dalam Fiqh al-Manhaji bahawa: Zawi al-Haram dapat mewarisi harta peninggalan warisnya dengan memenuhi dua syarat iaitu:

A – Tidak ada ahli waris lain selain suami atau isteri, kecuali jika orang mati itu mempunyai ahli waris dari golongan  yang diberi hak waris menurut hukum Islam (Ashab al-furud atau ‘Asabah), hak mereka akan didahulukan sebelum waris yang lain.

B –  Tidak dikuatkuasa baitulmal, sekiranya baitulmal dikuatkuasakan maka, hendaklah diserahkan kepada baitulmal sepertimana dalam bab Rad (pemulangan baki kepada ashab al-Furud) (Lihat Fiqh al-Manhaji,5/190)

Ibnu al-Qayyim menyatakan bahawa hadis-hadis tentang waris dari pihak ibu memiliki berbagai sanad. Para perawi hadisnya adalah bukan orang yang dicela. Ibnu Hibban telah memutuskan bahawa hadis-hadis ini sah. Tidak ada yang bertentangan dengan hadis-hadis asal. Sebagian besar ulama berpandangan  bahawa zawi al-Arham dapat mewarisi dan ini adalah pendapat sebahagian besar sahabat. (Lihat al-Ihkam Syarh Usul al-Ahkam, 3/446 )

Pendangan kedua: Tidak boleh mewarisi harta peninggalan warisnya. Pandangan ini merupakan pandangan ulama Maliki dan Syafi’ie.

“Anak kepada saudara sebelah ibu, datuk sebelah ibu, dan nenek sebelah ibu tidak mewarisi, kerana mereka adalah zawi al-Arham. (Lihat al-Fawakih al-Dawani ala al-Risalah Ibn Abi Zaid al-Qairawani,2/257 )

ـJusteru dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pandangan yang pertama iaitu zawi al-Arham dapat mewarisi harta dari peninggalan warisnya. Hal yang demikian sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَأُولُو الْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِي كِتَابِ اللَّهِ

Maksudnya: “Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, sesetengahnya lebih berhak atas sesetengahnya yang lain) menurut (hukum) Kitab Allah.”

(Surah al-Anfal: 75)

Ibnu al-Qayyim menyatakan bahawa hadis-hadis tentang waris dari pihak ibu memiliki berbagai sanad. Para perawi hadisnya adalah bukan orang yang dicela. Ibnu Hibban telah memutuskan bahawa hadis-hadis ini sah. Tidak ada yang bertentangan dengan hadis-hadis asal. Sebagian besar ulama berpandangan  bahawa zawi al-Arham dapat mewarisi dan ini adalah pendapat sebahagian besar sahabat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445