#3794: Benarkah Nabi SAW Berkahwin dengan Maimunah dalam Keadaan Ihram?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Nabi SAW berkahwin dengan Maimunah ketika dalam ihram?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ

Maksudnya: “Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah;

(Surah al-Baqarah: 196)

Secara asasnya, jumhur ulama dalam kalangan mazhab Maliki, Syafi‘i dan Hanbali berpendapat bahawa pernikahan ketika dalam keadaan berihram adalah tidak sah, tidak kira orang itu ialah suami, atau isteri, atau wali yang melakukan akad pernikahan bagi orang yang diwalikannya ataupun wakil yang melakukan akad pernikahan kepada orang yang diwakilkannya. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

لاَ يَنْكِحُ الْمُحْرِمُ وَلاَ يُنْكَحُ وَلاَ يَخْطُبُ

Maksudnya: “Orang yang dalam keadaan ihram tidak boleh bernikah, mahupun dinikahkan atau meminang.”

Riwayat Muslim (1409)

Berkenaan persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Terdapat riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – تَزَوَّجَ مَيْمُونَةَ وَهُوَ مُحْرِمٌ، وَبَنَى بِهَا وَهُوَ حَلَالٌ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menikahi Maimunah sementara Baginda sedang berihram, dan menggaulinya ketika Baginda dalam keadaan tidak berihram.”

Riwayat al-Bukhari (5114) dan Muslim (1410)

Para ulama’ menyatakan kesilapan Ibn ‘Abbas dengan riwayat ini, kerana Maimunah sendiri menyatakan:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَهَا وَهُوَ حَلَالٌ

Maksudnya: “Nabi SAW menikahinya ketika Baginda tidak dalam keadaan ihram.”

Riwayat al-Bukhari (4258) dan Muslim (1410)

Demikian juga Abu Rafi’ berkata: “Aku bermusafir bersama keduanya, lalu Nabi SAW menikahinya ketika Baginda tidak dalam keadaan ihram.”

Ibn al-Musayyab menyebut bahawa al-Qadhi ‘Iyadh berkata: “Ibn ‘Abbas hanya sendiri meriwayatkan hadith itu dan kebanyakan para Sahabat menentangnya. Antara mereka ialah Maimunah dan Abu Rafi’. Keduanya yang paling mengetahui kisah itu kerana mereka secara langsung mengalaminya.”

Penutup

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa pendapat yang kuat (rajih) ialah Nabi SAW menikahi Maimunah R.Anha dalam keadaan halal (tidak berihram) sepertimana pandangan kebanyakan sahabat dan jumhur ulama.

Selain itu, dalam hal pengharaman wanita (yakni isteri) bagi orang yang sedang berihram adalah untuk menjauhkannya daripada kelazatan kehidupan dunia dan perhiasannya, serta agar dia dapat menumpukan hatinya untuk melakukan amal-amal akhirat, dan perkara yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah SWT.  (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/76)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445