#3800: Doa Rasulullah SAW kepada Saidina ‘Ali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW pernah berdoa untuk Saidina Ali agar diberi kefahaman kehakiman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Doa adalah satu ibadah menzahirkan keberhajatan seseorang hamba kepada Allah SWT. (Lihat al-Azkar oleh al-Nawawi, hlm. 395) Ia juga diertikan sebagai memohon dengan sepenuh hati kepada Allah SWT dengan permohonan yang mengharapkan kebaikan di sisi-Nya, memohon dengan rendah diri supaya apa yang diminta itu diperkenankan dan cita-cita termakbul. (Lihat Jawami’ al-Du’a min al-Qur’an wa al-Sunnah oleh Muhammad Sayyid Tantawi, hlm. 5)

Allah SWT sangat menyukai hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sepertimana yang disebut di dalam nas-nas Ilahi. Antaranya, firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.

(Surah al-Baqarah: 186)

Ibnu Kathir menjelaskan, ayat ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak akan mengecewakan doa orang yang memanjatkan doa kepada-Nya. Dia tidak menolak dan mengabaikan doa seseorang, bahkan Dia Maha Mendengar doa. Di dalam pengertian ini terkandung anjuran untuk sentiasa berdoa, dan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan doa yang dipanjatkan kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/506)

Menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW pernah berdoa kepada Saidian ‘ALi beberapa kali secara khusus, antaranya ketika Baginda SAW menugaskan ‘Ali RA supaya berperanan juga menjadi hakim di Yaman, ‘Ali RA berkata:

يَا رَسُولَ اللهِ تَبْعَثُنِي إِلَى قَوْمٍ أَسَنَّ مِنِّي، وَأَنَا حَدَثٌ لَا أُبْصِرُ الْقَضَاءَ؟

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Kamu mengutusku kepada sebuah kaum yang kebanyakannya lebih tua daripadaku, sementara aku pula masih terlalu muda dan aku tidak mempunyai pengalaman dalam urusan kehakiman?”

Tiba-tiba, Rasulullah SAW meletakkan tangan Baginda di atas dada ‘Ali RA dan berdoa:

اللهُمَّ ثَبِّتْ لِسَانَهُ، وَاهْدِ قَلْبَهُ، يَا عَلِيُّ، إِذَا جَلَسَ إِلَيْكَ الْخَصْمَانِ فَلَا تَقْضِ بَيْنَهُمَا حَتَّى تَسْمَعَ مِنَ الْآخَرِ كَمَا سَمِعْتَ مِنَ الْأَوَّلِ، فَإِنَّكَ إِذَا فَعَلْتَ ذَلِكَ تَبَيَّنَ لَكَ الْقَضَاءُ.

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Tetapkanlah lisannya (menegakkan kebenaran) dan berikanlah hidayah kepada hatinya (sentiasa beristiqamah). Wahai ‘Ali! Apabila kamu berada antara dua orang yang berbalah, janganlah kamu menjatuhkan hukuman melainkan setelah kamu mendengar keterangan daripada kedua-dua belah pihak dalam keadaan yang sama. Setelah kamu melakukan apa yang aku perintahkan (mendengar daripada kedua-dua belah pihak), maka urusan penghakiman akan menjadi jelas.”

Riwayat Ahmad (882)

Antara peristiwa yang menarik dalam kisah kehakiman yang dikendalikan oleh ‘Ali RA di Yaman ialah cerita sekumpulan masyarakat yang menggali lubang bagi memerangkap singa. Apabila singa telah terjatuh ke dalam lubang, mereka pun datang untuk membunuhnya.

Namun, ada beberapa orang terjatuh ke dalam lubang. Apabila usaha dilakukan untuk membunuh singa, tiba-tiba empat orang mati terbunuh tanpa diketahui sama ada kerana dimamah singa ataupun terkena senjata.

Perkara tersebut menyebabkan berlaku perbalahan sesama keluarga mangsa yang terbunuh dan menyalahkan sesama sendiri sehingga hampir mencetuskan peperangan. Lalu ‘Ali RA dihadapkan dengan kes tersebut untuk dihakimi. Kata ‘Ali RA:

تُرِيدُونَ أَنْ تَقَاتِلُوا وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَيٍّ؟ إِنِّي أَقْضِي بَيْنَكُمْ قَضَاءَ إِنَّ رَضِيتُمْ فَهُوَ الْقَضَاءُ.

Maksudnya: “Adakah kalian akan saling berperang sesama sendiri, sementara Rasulullah SAW masih lagi hidup bersama kita? Sesungguhnya aku akan memutuskan suatu perkara yang berlaku antara kalian jika kalian meredainya, dan itu merupakan sebaik-baik keputusan.”

وَإِلَّا حَجَزَ بَعْضُكُمْ عَنْ بَعْضٍ حَتَّى تَأْتُوا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَكُونَ هُوَ الَّذِي يَقْضِي بَيْنَكُمْ، فَمَنْ عَدَا بَعْدَ ذَلِكَ فَلا حَقَّ لَهُ.

Maksudnya: “Dan jika tidak maka persiapkanlah oleh sebahagian kalian dengan sebahagian yang lain, lalu datangkannya kepada Nabi SAW dan Baginda yang akan memutuskan hukuman terhadap masalah yang kalian hadapi ini. Oleh itu, jika ada sesiapa yang melampaui batas setelah itu, maka tiada hak baginya.”

اجْمَعُوا مِنْ قَبَائِلِ الَّذِينَ حَضَرُوا الْبَحْرَ رُبُعَ الدِّيَةِ، وَثَلُثَ الدِّيَةِ وَنِصْفَ الدِّيَةِ وَالدِّيَةَ كَامِلَةً، فَلِلْأَوَّلِ الرُّبُعُ لِأَنَّهُ هَلَكَ مَنْ فَوْقَهُ، وَلِلثَّانِي ثُلُثُ الدِّيَةِ، وَلِلثَّالِثِ نِصْفُ الدِّيَةِ.

Maksudnya: “Kumpulkanlah daripada setiap kabilah yang menggali lubang itu sebanyak satu perempat diat, satu pertiga diat, setengah diat dan menjadi satu diat penuh. Maka, orang pertama mendapatkan satu perempat diat kerana dia yang menyebabkan kebinasaaan orang lain di atasnya, sedangkan orang kedua pula mendapatkan bahagian satu pertiga diat dan orang ketiga mendapat setengah diat.”

Riwayat Ahmad (573) di dalam Fada’il al-Sahabah, 2/722, no. 1239.

‘Ali RA berijtihad supaya mengenakan bayaran diat (denda kesalahan membunuh tanpa sengaja) terhadap mereka yang menggali lubang dan mereka yang menggunakan senjata untuk membunuh singa, namun tersasar membunuh rakan mereka sendiri. Diat itu pula dibahagikan kepada keluarga mangsa yang mati terbunuh.

Apabila dilaporkan kepada Rasulullah SAW, hukuman ‘Ali RA disahkan oleh Baginda dan menjadi dalil hadis Nabi SAW. (Lihat Fiqh Siasah Khalifah ‘Ali RA, hlm. 142-145)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445