#3804: Kelebihan Zaid Bin Thabit Dalam Ilmu Faraid

Soalan:

Assalamualaikum Dato Seri’ saya ingin bertanya mengenai hadis yang menyatakan bahawa Zaid Bin Thabit merupakan sahabat yang paling alim dalam ilmu faraid. Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ilmu faraidh pada syara’ bermaksud pengetahuan mendalam tentang pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/273)

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Ayat-ayat berkenaan pusaka di dalam al-Quran jelas mengesahkan bahawa pusaka adalah disyariatkan. Berdasarkan nas di atas, disebut kalimah مِّمَّا تَرَكَ iaitu daripada apa yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia dianggap pusaka selama mana ia adalah termasuk dalam harta; sama ada wang ringgit, kenderaan, pakaian, rumah, dan lain-lain.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تَعَلَّمُوا الفَرائِضَ، فإنَّهَا مِن دِينِكُمْ، وَإِّنَّهَا نِصْفُ العِلْمِ، وَإنَّهُ أَوَّلُ مَا يُنزَعُ مِنْ أمَّتي

Maksudnya: Pelajarilah ilmu faraid kerana ia merupakan sebahagian daripada agama kamu dan ia adalah setengan daripada ilmu. Ia juga adala ilmu yang pertama dicabut daripada umatku.

Riwayat Ibn Majah (2719)

Menjawab bagi persoalan kami katakan antara tokoh terkemuka dari kalangan salafussoleh adalah sahabat agung Zaid bin Thabit R.A. Tidak diragukan lagi mengenai beberapa keistimewaan dan kedudukannya yang tinggi yang dianugerahkan kepadanya oleh Allah SWT. Beliau merupakan salah seorang dari enam fuqaha’ (ahli fiqh) yang ilmu fighnya tercatat dari kalangan para sahabat. Kepakaran beliau terutamanya dikenali dalam bidang hukum-hakam (fiqh) dan beliau mempunyai ketelitian dalam masalah-masalah pewarisan, seperti yang telah disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Anas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 أفرَضُكُم زيدُ بنُ ثابتٍ

Maksudnya: orang yang paling mengerti mengenai ilmu faraid diantara kalian adalah Zaid Bin Thabit

Riwayat Tarmizi(3790), Ibn Hibbban(7131) dan Ibn Majah(154)

Biografi Ringkas Zaid Bin Thabit

Zaid bin Thabit bin Al-Dhahak Al-Ansari Al-Khazraji, dan kemudiannya Al-Najari, berusia sebelas tahun ketika beliau tiba di Madinah bersama Nabi SAW. Pengalaman awal beliau termasuk dalam pertempuran Khandaq (Perang Ahzab) dan beliau meninggal dunia pada tahun ke-45 Hijriah. Beliau adalah salah seorang penulis wahyu, penghafal Al-Quran, dan merupakan salah satu pemegang ilmu yang luas.

Keistimewaan Zaid Bin Thabit

Nabi SAW  memberikan Zaid bin Thabit bendera Bani Al-Najjar pada Hari Tabuk, dan bersabda :  “Sesungguhnya, dia adalah orang yang paling mahir dalam ilmu Al-Quran.” Umar menggantikan beliau sebagai pemimpin di Madinah tiga kali, dan  Uthman juga pernah  menggantikannya. Banyak sahabat dan tabi’in meriwayatkan hadis daripadanya.

Beliaulah yang menulis mushaf Al-Quran semasa zaman Abu Bakar dan Uthman R.Anhuma. Ketika Zaid meninggal dunia, Abu Hurairah berkata, “Telah mati seorang pena (jurutulis) ummah ini, semoga Allah menjadikan Ibnu Abbas sebagai penggantinya.”

Ibnu Umar berkata, “Hari ini, seorang alim Madinah telah meninggal dunia.

Imam al-Syafi’e lebih cenderung kepada pendapatnya selepas melakukan ijtihad dan perbahasan disebabkan penyaksian Nabi terhadap sahabat yang agung ini. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/182)

Zaid bin Thabit R.A menjalani pembelajaran yang berterusan dalam ilmu pewarisan dan hukum hakamnya sehingga beliau menjadi pakar dalam bidang ini. Beliau juga sangat berkeinginan untuk mendokumentasikan pengetahuan ini melalui penulisan. Ada yang menyatakan bahawa: Jika bukan kerana penulisannya, pengetahuan ini akan hilang daripada catatan sejarah. (Lihat Zaid Bin Thabit, hlm.31-35 )

Sayyidina Umar R.A  pernah berkata dalam khutbahnya di kota Jabiyyah negeri Syam:

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَسْأَلَ عَنِ الْفَرَائِضِ فَلْيَأْتِ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ

Maksudnya: Barangsiapa yang ingin menanyakan tentang ilmu faraid, maka datanglah kepada Zaid bin Thabit. (Lihat Siyar Salaf al-Solihin, 2/147)

Justeru, dengan  kami nyatakan bahawa sahabat mulia, Zaid Bin Thabit, adalah salah seorang ulama fiqh terkemuka pada zaman sahabat kerana ilmunya yang sangat mendalam, terutamanya dalam ilmu pewarisan harta pusaka dan aspek-aspek lain dalam ilmu fiqh. Peranannya amat penting dalam menyelamatkan ilmu pewarisan melalui catatan dan tulisannya agar tidak dilupakan dalam sejarah umat islam serta dapat diamalkan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445