#3796: Talhah bin Ubaidullah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah Talhah bin Ubaidullah yang dijamin masuk syurga?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

عَشَرَةٌ فِي الْجَنَّةِ: أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ، وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ، وَطَلْحَةُ فِي الْجَنَّةِ، وَالزُّبَيْرُ فِي الْجَنَّةِ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعْدُ بْنُ أَبِي وَقَّاصٍ فِي الْجَنَّةِ، وَسَعِيدُ بْنُ زَيْدِ فِي الْجَنَّةِ، وَأَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ فِي الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Sepuluh orang di syurga: Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Uthman di syurga, Ali di syurga, Talhah di syurga, al-Zubair di syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di syurga, Sa‘ad bin Abu Waqqas di syurga, Sa‘id bin Zaid di syurga dan Abu ‘Ubaidah bin “al-Jarrah di syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (3747); Ahmad (1/193); al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (5/56) dan Ibn Hibban (7002). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij Sahih Ibn Hibban menilai sanadnya sebagai sahih mengikut syarat Muslim.

Imam al-Nawawi menyebut bahawa memang sabit bahawa Nabi SAW memberi jaminan syurga kepada sepuluh orang sahabat. Namun begitu, sabit juga dalam hadith bahawa Nabi SAW turut memberi jaminan syurga kepada sahabat yang lain seperti cucu Baginda, Hasan dan Husain yang mana mereka merupakan penghulu para pemuda di syurga. Begitu juga dengan ‘Ukkasyah, Thabit bin Qais dan para sahabat yang lain.” (Lihat al-Minhaj Al-Muhaddithin, 8/248).

Al-Munawi berkata: “Jaminan Nabi SAW terhadap sepuluh orang sahabat tidak menafikan jaminan terhadap para sahabat yang lain. Ini kerana secara zahirnya mereka yang dijamin syurga yang disebutkan daripada kalangan 10 orang sahabat adalah kerana nama-nama mereka disebutkan secara serentak. Adapun para sahabat yang lain disebutkan secara berasingan.”(Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami‘ al-Saghir, 1/91).

Beliau ialah Abu Muhammad Talhah bin ‘Ubaidullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin al-Nadhr bin Kinanah al-Qurasyi al-Taimi al-Makki. Talhah bin ‘Ubaidullah memeluk Islam melalui Abu Bakar R.A. Menurut satu riwayat, Talhah sedang berada di Syam apabila seorang Pendeta (Rahib) memberitahu kepadanya tentang kedatangan seorang Nabi bernama Ahmad putera ‘Abd al-Muttalib. Setelah kembali ke Makkah, beliau memeluk Islam.

Beliau termasuk salah seorang yang mengikuti Perang Uhud dan menderita luka parah yang luar biasa. Beliau menjadikan dirinya sebagai perisai bagi melindungi dan mempertahankan Baginda SAW dalam peperangan tersebut.

Syeikh Mahmud al-Misri dalam Ashab al-Rasul SAW (1/395-397) menyebut: Ketika perang Jamal, Talhah dan al-Zubair pada awalnya berada dalam pasukan Mu‘awiyah. Namun kemudian, keduanya berundur daripada peperangan tersebut. Hal itu ketika mereka berdua melihat ‘Ammar berperang di barisan Ali, maka keduanya teringat sabda Nabi SAW untuk ‘Ammar:

 تَقتُلُكَ الفِئةُ الباغيةُ

Maksudnya: “Engkau akan dibunuh oleh kelompok pembangkang.”

Riwayat Muslim (2915) dan Ahmad (3/5)

Maka keduanya mengambil keputusan untuk berundur dan dan tidak ikut terlibat di dalam peperangan tersebut. Ketika itulah keduanya terbunuh. Al-Zubair diekori oleh seorang lelaki yang bernama ‘Amr bin Jurmuz, lalu dia membunuhnya dengan cara yang licik. Manakala Talhah pula, ada yang mengatakan bahawa dia terkena panah misteri yang tidak diketahui pemanahnya. Ada yang berkata, yang memanahnya ialah Marwan bin al-Hakam. Hal ini kerana terdapat riwayat daripada Qais, dia berkata: “Aku melihat Marwan bin al-Hakam melepaskan anak panah terhadap Talhah pada hari itu. Anak panah itu mengenai lututnya. Darah terus memancut keluar sehingga Talhah menemui kematian.”[1]

Begitu juga riwayat daripada Abu Sabrah, dia berkata, “Ketika Perang Jamal, Marwan bin al-Hakam melihat Talhah dan dia berkata, ‘Aku tidak membalas dendamku setelah hari ini.’ Lalu dia melepaskan anak panahnya kepadanya dan dia membunuhnya.”[2]

Imam al-Zahabi berkata: “Pembunuh Talhah memikul dosa yang sama dengan dosa pembunuh Ali.” Ali berkata: “Berikan khabar kepada pembunuh Talhah bahawa dia berhak atas neraka.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/35-37).

Selain itu, terdapat riwayat daripada Talhah bin Musarrif, bahawa Ali mendekati jenazah Talhah. Ali turun dari kenderaannya dan mendudukkannya. Ali mengusap tanah dari wajahnya dan janggutnya lalu memohonkan rahmat daripada Allah untuknya. Beliau berkata: “Seandainya aku mati dua puluh tahun sebelum ini.”[3] (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/36-37).

Begitu juga riwayat daripada Abu Habibah maula Talhah, katanya, “Aku datang menemui Ali bersama ‘Imran bin Talhah setelah peristiwa Jamal. Maka Ali menyambutnya dengan hangat dan menjemputnya duduk dekat dengannya. Kemudian Ali berkata kepada ‘Imran: “Aku berharap Allah menjadikan aku dan ayahmu termasuk orang-orang yang difirmankan Allah tentang mereka dalam surah al-Hijr ayat 47:

وَنَزَعْنَا مَا فِي صُدُورِهِم مِّنْ غِلٍّ إِخْوَانًا عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَابِلِينَ

Maksudnya: “Dan Kami cabut akan apa yang ada dihati mereka dari perasaan hasad dengki sehingga menjadilah mereka bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadap-hadapan di atas singgahsana masing-masing.”[4] (Lihat Ashab al-Rasul SAW oleh Syeikh Mahmud al-Misri, 1/395-397)

Ibn Kathir menyebutkan, Allah SWT mencabut sifat dengki daripada dada orang-orang beriman sebelum mereka masuk ke dalam syurga. Ketika mereka masuk syurga, dada mereka bersih dan jernih daripada sifat dengki. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/176) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 369-370).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

[1] Kisah ini juga disebut dalam al-Isabah (5/235) oleh Ibn Hajar dan berkata, sanadnya sahih.

[2] Disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah (5/235) dan beliau berkata, sanadnya sahih.

[3] Al-Haithami berkata: Diriwayatkan oleh al-Tabarani dan sanadnya hasan. (Lihat Majma’ al-Zawa’id, 9/150).

[4] Riwayat Ibn Sa’d (3/160) dan al-Tabari dalam tafsirnya (14/36)

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445