#3809: Makna Futuwwah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya terbaca dalam kitab tasawuf, terdapat kalimah futuwwah, ada orang kata orang muda, apa maksud sebenarnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّ ۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى‎﴿١٣﴾‏ وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَٰهًا ۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ‎

Maksudnya: “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.”

(Surah al-Kahfi: 13-14)

Abu ‘Ali al-Daqqaq berkata: Aku mendengar al-Nasr Abazi berkata, “Dinamakan ashab al-kahfi sebagai fityah kerana mereka beriman dengan Allah tanpa wasitah (perantaraan).” (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyah, hlm. 226-227)

Kalimah ini jika ada kena-mengena dengan fatwa:

Memandangkan perkataan ‘fatwa’ (فَتْوَى) berasal daripada bahasa Arab, sudah tentu rujukan makna dan maksudnya dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar[1]. Rujukan yang dilakukan oleh penulis mendapati bahawa perkataan fatwa disebut dalam tiga sebutan, iaitu fatwa (فَتْوَى), futya (فُتْيَا), dan futwa (فُتْوَى) di mana jamaknya al-fatawa (الفَتَاوَى) dan al-fatawi (الفَتَاوِي) yang memberi maksud:

  • Penjelasan tentang sebarang perkara oleh seseorang yang faqih.
  • Penerangan berkenaan perkara yang mempunyai kemusykilan dan kesamaran tentang hukum oleh seorang faqih.
  • Memberi jawapan bagi sesuatu permasalahan oleh seorang faqih.

Asal sebutan-sebutan ini adalah dari kalimah ‘fata’ (فَتَى) yang bermaksud seorang pemuda yang sihat, cergas, dan gagah. Hubungkaitnya dengan fatwa pula ialah apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa terhadap perkara yang samar-samar dan tidak jelas, fatwanya itu menjadikan sesuatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh.

Ia juga dikatakan berasal daripada perkataan ‘fata’ iaitu seorang lelaki yang berusia muda. Perkaitannya juga jelas, apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa tentang sesuatu permasalahan bermakna dia memperbaharui hukum tersebut.

Lantaran itu, perkataan futya dan fatwa mempunyai maksud yang sama dengan salah satunya digunakan di tempat yang berbeza. Kedua-duanya juga merupakan kata nama (isim).

Untuk menjawab persoalan di atas, kami merujuk kepada al-Risalah al-Qusyairiyah, antara lain menyebut:

  • Al-Ustaz al-Syeikh berkata: Asal futuwwah iaitu seorang hamba sentiasa dalam perkara yang lain.
  • Al-Junaid berkata: Futuwwah di negeri Syam, lisan di negeri Iraq dan sidiq (kebenaran) di Khurasan.
  • Al-Fudhail berkata: Futuwwah adalah memaafkan kegelinciran dan kesalahan ikhwan.
  • Imam Ahmad berkata: Futuwwah ialah meninggalkan apa yang kamu inginkan kerana kamu takut.
  • Al-Nasr Abazi berkata: Futuwwah ialah maruah iaitu berpaling daripada dua alam.
  • Amru bin Osman al-Makki berkata: Futuwwah ialah akhlak yang baik.
  • Abu Bakar al-Wara berkata: Fata siapa yang menjadi musuh di bumi.
  • Ada pendapat mengatakan fata adalah yang mampu memecahkan berhala seperti firman Allah SWT:

قَالُوا سَمِعْنَا فَتًى يَذْكُرُهُمْ يُقَالُ لَهُ إِبْرَاهِيمُ

Maksudnya: “(Setengah dari) mereka berkata: “Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya”.

(Surah al-Anbiya’: 60)

Berdasarkan perbahasan di atas, jelas menunjukkan kepada kita betapa mulianya sifat futuwwah yang memberi maksud sifat-sifat yang mahmudah dan terpuji. Mereka yang mempunyai sifat futuwwah sudah tentu beriman kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya, mempunyai maruah dan jati diri, bersyukur, sabar, berkorban dan lain-lain lagi.

Semoga Allah SWT kurnikan kepada kita sifat-sifat yang mulia ini di samping menjarakkan kita dari sifat-sifat yang keji. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Riwayat al-Tirmizi (3173), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1443) dan Ahmad (223)

[1] Lihat Lisan al-Arab oleh Ibn al-Manzur, Mu’jam Maqayis al-Lughah oleh Ibn Faris, Mukhtar al-Sihah, Taj al-‘Arus dan lain-lain lagi.

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445