#3811: Kelebihan Bumi Madinah dengan Doa Nabi tentang Gantang dan Cupaknya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang kelebihan bumi Madinah. Dan benarkah ada doa Nabi yang menyebut tentang gantang dan cupaknya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Madinah merupakan salah satu kota suci umat Islam yang dituntut untuk kita menziarahinya. Kota Madinah juga merupakan tempat hijrah Rasulullah SAW, yang merupakan tempat yang dipilih oleh Allah dan Allah yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk berhijrah ke Madinah.

Madinah juga merupakan kota yang Rasulullah SAW cinta kepadanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ حَبِّبْ إلَيْنا المَدِينَةَ كَحُبِّنا مَكَّةَ أوْ أشَدَّ، اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا في صاعِنا وفي مُدِّنا، وصَحِّحْها لَنا، وانْقُلْ حُمّاها إلى الجُحْفَةِ

Maksudnya:Ya Allah Jadikan kami mencintai Madinah, seperti cinta kami kepada Makkah atau lebihkan lagi dari Makkah. Ya Allah berkatilah sa’ (gantang) dan mud (cupak) kami. Sehatkan lah Madinah untuk kami. Pindahkan lah wabah penyakit ini ke kota Juhfah.”

 Riwayat al-Bukhari (1889)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abdullah bin Zaid bin ‘Asim, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ إِبْرَاهِيمَ حَرَّمَ مَكَّةَ، وَدَعَا لأَهْلِهَا، وَإِنِّي حَرَّمْتُ المَدِينَةَ، كَمَا حَرَّمَ إِبْرَاهِيمُ مَكَّةَ، وَإِنِّي دَعَوْتُ فِي صَاعِهَا وَمُدِّهَا بِمِثْلَي مَا دَعَا بِهِ إبْرَاهيمُ لأَهْلِ مَكَّةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuk penduduknya. Aku mengharamkan Madinah sebagaimana Ibrahim mengharamkan Makkah dan aku berdoa dalam sa’ (gantang) dan mud (cupak)nya seperti apa yang didoakan Ibrahim untuk penduduk Makkah.”

Riwayat al-Bukhari (2129) dan Muslim (1360)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: (Bab keberkatan Sa’ dan Mud Nabi SAW). Dalam riwayat al-Nasafi, disebutkan, “dan mud mereka,” yakni dengan menggunakan lafaz jamak. Demikian juga dalam riwayat Abu Zar daripada selain al-Kasymihani, dan inilah yang diyakini kebenarannya oleh al-Ismaili serta Abu Nu’aim. Kata ganti ‘jamak’ tersebut kembali kepada kata yang tidak disebutkan secara tekstual, di mana seharusnya adalah “Sa’ penduduk kota Nabi SA dan mud mereka.” Ada juga kemungkinan bahawa penggunaan kata jamak tersebut adalah sebagai penghormatan. Namun, penjelasan Ibn Battal lebih cenderung kepada makna yang pertama.

Sikap Imam al-Bukhari yang menyebutkan tajuk bab ini setelah bab sebelumnya menunjukkan bahawa keberkatan yang tersebut pada hadith Miqdam terkait dengan ketentuan apabila takaran atau kadar itu dilakukan berdasarkan Sa’ dan Mud Nabi SAW. Namun, ada kemungkinan yang demikian dapat diperluas pada apa yang sesuai dengan Sa’ dan Mud tersebut. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 12/172)

Hadith sebelumnya dalam Sahih al-Bukhari, daripada al-Miqdam bin Ma’di Karib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

‏ كِيلُوا طَعَامَكُمْ يُبَارَكْ لَكُمْ

Maksudnya: “Timbanglah makanan kamu, nescaya kamu semua akan diberkati.

Riwayat al-Bukhari (2128)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa Ibn Battal berkata: Timbangan itu disukai pada apa yang dinafkahkan seseorang kepada keluarganya. Adapun makna hadith adalah: Keluarkan berdasarkan ukuran tertentu yang menyampaikan kamu pada tempoh waktu yang kamu tetapkan, di samping apa yang telah diberikan Allah SWT berupa keberkatan pada ukuran ‘mud’ penduduk Madinah kerana doa Nabi SAW.” Ibn al-Jauzi berkata: “Ada kemungkinan berkat ini adalah kerana menyebut nama Allah SWT ketika menimbang.” (Lihat Fath al-Bari, 12/172)

Syeikh Abdullah al-Bassam menyebut: “Nabi SAW mendoakan penduduk Madinah dengan keberkatan dan keluasan rezeki sepertimana doa Ibrahim untuk penduduk Makkah, bahkan Baginda berdoa agar keberkatan di Madinah itu sebagai tambahan keberkatan Makkah.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/99)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445