Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah tempat wukuf itu, semua Arafah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَإِذَا أَفَضْتُم مِّنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِندَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ ۖ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِن كُنتُم مِّن قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ
Maksudnya: “Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah) maka sebutlah nama Allah (dengan doa,”talbiah” dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah), dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya sebagaimana Ia telah memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah dari golongan orang-orang yang salah jalan ibadatnya.”
(Surah al-Baqarah: 198)
Kami mulakan dengan hadith daripada ‘Abd al-Rahman bin Ya’mar R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الحَجُّ عَرَفَةُ
Maksudnya: “Haji adalah Arafah.”
Riwayat al-Tirmizi (814)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin mengatakan, yang dimaksudkan dengan (الحَجُّ عَرَفَةُ) adalah wajib berwuquf di Arafah, jika tidak berwuquf di Arafah maka tiada baginya haji. Oleh yang demikian, para ulama’ berkata: “Sesiapa yang terlepas berwuquf di Arafah, maka dia telah terlepas haji.” (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 24/23)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نَحَرْتُ هَاهُنا، وَمِنًى كُلُّهَا مَنْحَرٌ، فَانْحَرُوا فِي رِحَالِكُمْ، وَوَقَفْتُ هَاهُنا، وَعَرَفَةُ كُلُّهَا مَوْقِفٌ، وَوَقَفْتُ هَاهُنَا، وَجَمْعٌ كُلَّهَا مَوْقِفٌ
Maksudnya: “Aku menyembelih haiwan di sini (Mina) dan Mina semuanya adalah tempat menyembelih haiwan, maka sembelihlah haiwan di tempat kamu (berhenti). Dan aku wukuf sini, dan Arafah semuanya adalah tempat wukuf. Dan aku wukuf di sini, dan Jam’(Muzdalifah) semuanya adalah tempat wukuf.”
Riwayat Muslim (1218)
Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Semua kawasan Arafah adalah tempat wukuf. Di tempat mana sahaja di Arafah seseorang wukuf dan berdoa, maka telah cukup dan sah hajinya. Jika mudah untuk wukuf di tempat Nabi SAW berwukuf di Arafah dan Muzdalifah, maka itu lebih utama. Namun, jika hal itu menyukarkan, maka tidak disunatkan. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/132).
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H