Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Pada awal tahun 2023, saya telah menerima Wakalah Zakat dr MAIWP sebanyak RM 10,000.00. Sebanyak 60% telah diagihkan mengikut keperluan asnaf. Namun terdapat baki 40% yang belum dikenalpasti untuk diagihkan. Oleh kerana situasi peperangan di Palestin yang menyebabkan banyak kemusnahan, persoalannya adalah adakah boleh untuk saya salurkan baki Wakalah Zakat yang belum diagihkan tersebut untuk bantuan kemanusiaan di Palestin? Kalau boleh, apakah badan – badan yang sesuai untuk ianya disalurkan? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Zakat hendaklah diberikan kepada asnaf yang berhak untuk menerimanya. Allah SWT telah menyatakan golongan yang berhak diagihkan zakat melalui firman-Nya:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang mengurusnya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Taubah: 60)
Ibn Abbas R.Anhuma menyatakan bahawa ayat ini merupakan penerangan berkenaan golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Mana-mana daripada golongan ini yang telah kamu berikan zakat, maka sudah memadai sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita untuk menghadap kiblat iaitu kaabah. Sekiranya kita sudah menghadap sebahagian daripada Kaabah, maka sudah dikira menghadap kiblat. (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Hidayah, 2/265).
Daripada ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa terdapat lapan kategori asnaf yang berhak menerima bahagian zakat iaitu:
- Golongan Fakir, iaitu orang yang tidak mempunyai harta, yang dapat menampung keperluan makanan, pakaian dan kediamannya.
- Golongan Miskin, iaitu orang yang mempunyai harta, tetapi tidak cukup untuk menampung keperluannya.
- Golongan Amil, iaitu pemungut hasil yang ditugaskan oleh pemerintah untuk mengumpul dan mengagihkan zakat.
- Golongan Muallaf, iaitu mereka yang baru memeluk agama Islam. Dengan pemberian zakat, ia diharap akan menguatkan pegangan mereka kepada agama Islam. Begitu juga orang Islam yang terkenal dan berkedudukan tinggi di kalangan kaum mereka.
- Golongan Hamba, di mana hamba yang layak menerima zakat ialah orang yang ingin membebaskan dirinya daripada perhambaan (المكاتب), iaitu hamba yang membuat perjanjian dengan tuannya apabila dia dapat memberikan sejumlah harta kepadanya.
- Golongan yang Berhutang, iaitu mereka yang dibebani hutang dan tidak mampu melunaskannya dengan syarat mereka berhutang untuk tujuan yang halal.
- Golongan Musafir iaitu orang yang dalam perjalanan dengan tujuan yang diharuskan oleh syara’, sekalipun untuk melancong.
- Fi sabilillah (untuk jalan Allah) bermaksud sukarelawan yang berjuang mempertahankan umat Islam tanpa imbuhan dan gaji. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/60-62).
Menjawab persoalan di atas, kami berpendapat hukumnya adalah harus bahkan dalam situasi tertentu seperti yang berlaku sekarang ini di Gaza (Oktober 2023), amat perlu untuk diberi zakat kepada mereka.
Syeikh al-Azhar dalam kenyataan terakhir 23 Oktober 2023, telah mengarahkan supaya bantuan zakat perubatan diberikan kepada penduduk Gaza, palestin yang amat memerlukan sekarang.
Bahkan dengan saranan dan arahan Syeikh al-Azhar agar dipermudahkan misi bantuan ke Gaza yang terdiri daripada 18 treler membawa makanan dan perubatan serta alat-alat bantuan telah sampai ke pelabuhan Rafah, sempadan Mesir-Palestin pada hari Selasa. Syeikh al-Azhar juga selaku Musyrif Am dan Pengerusi Majlis Pemegang Amanah Bait al-Zakah wa al-Sadaqah Mesir telah menyarankan agar diberi bantuan kepada penduduk Gaza dan menolong mereka.
Antara bahan yang diisi termasuk air bekalan minuman, makanan, pakaian, dengan logo atau tema bantuan “Bantulah Gaza”. Semata-mata kerana mendukung keadaan saudara-mara kita di Tebing Gaza. Di sinilah terbukti peranan Azhar yang bersejarah dalam memberi bantuan isu Palestin dan menolong saudara-mara kita rakyat Palestin. Dan ia berkekalan sehingga dilebarkan lagi peranan untuk peranan hak kemanusiaan dan alam.
Bantuan tersebut telah dilaksanakan oleh Dr Sahar Nasr merangkap Pengarah Pelaksana bagi Baiti Zakah wa al-Sadaqat Mesir. Justeru, kami katakan sebagaimana yang terdahulu peri pentingnya kita bersama-sama membantu saudara-saudara seislam kita di Palestin.
Bagi rakyat Malaysia, alhamdulillah, terdapat banyak NGO yang benar-benar menyampaikan bantuan sehingga ke tangan rakyat Palestin. Antaranya, MuslimCare, MAPIM, CintaGaza, MERCY Malaysia, Malaysian Relief Agency (MRA), Viva Palestina Malaysia, Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan lain-lain.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H