#3828: Adakah Wali Mengetahui Yang Dia Wali?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah seorang waliyullah mengetahui bahawa dia adalah wali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَلَا إِنَّ أَوْلِيَاءَ اللَّهِ لَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ ‎﴿٦٢﴾‏ الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ

Maksudnya: “Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

(Surah Yunus: 62-63)

Ibnu Kathir mentafsirkan ayat di atas menyatakan, Allah SWT memberitahu bahawa wali Allah mereka ini adalah golongan yang beriman dan bertakwa. Dan bagi setiap orang yang bertakwa termasuk di dalam golongan yang digelar sebagai wali Allah, dan mereka ini tidak akan berdukacita iaitu dengan ganjaran pada hari akhirat dan mereka juga tidak bersedih dengan keadaan di dunia. (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/242)

Syeikh al-Maraghi menyebut: Sesungguhnya wali Allah adalah mereka yang melakukan ibadah dengan penuh keikhlasan dan hanya bertawakkal kepada Allah SWT. Dan mereka ini tidak menagih kasih sayang selain daripada kasih sayang Allah SWT serta tidak mengharap pertolongan daripada sesuatu melainkan pertolongan Allah SWT. Mereka tidak akan dukacita pada hari akhirat seperti yang dihadapi golongan kuffar, fasiq dan zalim ketika menanti balasan di akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/129)

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, al-Wali (الْوَلْيِ) dari sudut bahasa bermaksud “dekat atau hampir” (الْقُرْبُ). Ia disebut “waliyyahu, walyan” (وَلِيَهُ وَلْيًا) iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr” (وَلِيَ الأمْرَ), apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” (تَوَلَّى الأمْرَ) iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah (الْوِلَايَةُ) digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadhi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135)

Selain itu, pada maksud yang lain al-Wilayah (الْوِلَايَةُ) berlawan dengan al-A’dawah (العداوة), secara asalnya ia bermaksud kasih sayang dan hampir. Dan maksud al-A’dawah (العداوة) ialah kebencian dan jauh. (Lihat al-Furqan Baina Aulia’ al-Rahmah dan Aulia’ al-Syaitan, hlm 9)

Berkenaan istilah Wali Allah SWT, ia bermaksud golongan orang yang beriman dan mereka itu menerima perintah Allah SWT dengan penuh ketaatan dan menjauhi segala kemaksiatan. Dan mereka ini, dekat dan hampir kepada Allah SWT dengan penuh rasa kasih sayang, hidayah dan petunjuk. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135-137)

Ibnu Abi I’zz al-Hanafi mentakrifkan perkataan al-Wali (الولي) kata lawannya al-A’du (العدو) iaitu musuh, kata dasar daripada al-Wala’ iaitu dekat dan hampir. Wali Allah ialah golongan yang dekat dengan Allah SWT dan dipermudahkan urusannya serta di beri rasa kasih sayang ke atasnya. Mereka hampir dengan Allah SWT dengan keredhaan-Nya. (Lihat Syarah al-Tahawiyyah, 2/509)

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan mereka para wali Allah adalah golongan yang mendapat berita gembira pada kehidupan di dunia dengan mendapat pertolongan dan memperolehi petunjuk yang benar di dunia selagi mana mereka berlandaskan syariat Allah SWT di dalam kepercayaan mereka, mendiri solat, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran. (Lihat al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 2/987)

Imam al-Syaukani menyatakan di dalam kitabnya, mereka yang dihitung sebagai wali Allah mestilah beriman kepada Allah SWT, malaikat-Nya, kitab yang diturunkan-Nya, para rasul dan takdir yang baik dan buruk seperti yang diperintah oleh Allah SWT. Meninggalkan apa yang dilarang serta memperbanyakkan ketaatan kepada Allah SWT maka mereka ini digelar sebagi wali Allah. Dan sesiapa yang bersikap sebaliknya maka mereka itu bukanlah daripada wali Allah, bukanlah tergolong di dalam naungan rahmaniah (rahmat Allah) bahkan mereka tergolong di dalam syaitaniah (tipu daya syaitan). (Lihat Qatr al-Wali ala Hadis al-Wali, 1/256)

Menjawab persoalan di atas, Ustaz Abu ‘ALi al-Daqqaq berpendapat bahawa harus seseorang itu mengetahui bahawa dia seorang wali. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyah, hlm. 254)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

 

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H