#3829: Bilangan Takbir Solat Jenazah dan Bolehkah Lebih daripada Empat Kali

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebenarnya berapakah bilangan takbir solat jenazah dan bolehkah lebih daripada empat kali? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya.

Adapun berkenaan bilangan takbir dalam solat jenazah, terdapat perselisihan ulama mengenainya.

Pertama, jumhur ulama termasuklah para imam empat mazhab, Muhammad bin al-Hanafiyyah, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Muhammad bin Sirin, al-Nakha‘i, Suwaid bin Ghafalah dan al-Thauri bahawa takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak empat kali takbir. Hal ini kerana telah sah atau sabit daripada Nabi SAW dalam solat jenazah terakhirnya iaitu ke atas Najasyi sebanyak empat kali takbir, dan Nabi terus kekal dengan solat jenazah dengan empat kali takbir sehinggalah Baginda wafat.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Hadith di atas menunjukkan bahawa bilangan takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak empat kali takbir. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/192).

Selain itu, turut dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr dalam kitabnya bahawa Nabi SAW pernah melakukan solat jenazah sebanyak empat, lima, enam, tujuh dan lapan kali takbir, sehinggalah apabila Najasyi meninggal dunia, Baginda keluar ke musalla untuk solat jenazah ke atasnya. Baginda menyusun saf orang ramai di belakangnya lalu bertakbir sebanyak empat kali. Selepas itu, Nabi SAW terus melakukan empat takbir dalam solat jenazah sehingga kewafatan Baginda SAW. (Lihat al-Istizkar, 3/30).

Begitu juga telah sah bahawasanya Abu Bakar melakukan solat jenazah ke atas Nabi SAW dengan empat takbir, Suhaib juga melakukan solat jenazah ke atas Umar dengan empat takbir, al-Hasan juga melakukan solat jenazah ke atas Ali dengan empat takbir, dan begitulah juga Uthman  melakukan solat jenazah ke atas Khabbab dengan empat takbir.

Kedua, sebahagian ulama dan di antara mereka ialah ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, Isa maula Huzaifah dan ashab Mu‘az bin Jabal, Abu Yusuf daripada ashab Abu Hanifah pula berpendapat bahawa takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak lima kali takbir. Al-Hazimi menyebutkan, di antara mereka yang berpendapat takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak lima kali ialah Ibn Mas‘ud, Zaid bin Arqam dan Huzaifah bin al-Yaman.

Terdapat riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, katanya:

كانَ زَيْدُ بْنُ أرْقَمَ رَضِيَ اللهُ عَنهُ يُكَبِّرُ علَى جَنائزِنَا أرْبَعًا، وأَنَّهُ كَبَّرَ عَلَى جَنَازَةٍ خَمْسًا، فسَأَلْتُهُ، فَقَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ -صلى الله عليه وسلم- يُكَبِّرُهَا

Maksudnya: “Zaid bin Arqam R.A bertakbir dalam solat jenazah ke atas jenazah-jenazah kami sebanyak empat kali, dan beliau juga pernah bertakbir sebanyak lima kali terhadap satu jenazah. Kemudian aku bertanya kepadanya (mengenai hal itu). Beliau menjawab: ‘Rasulullah SAW  (pernah) bertakbir sedemikian.’

Riwayat Muslim (957); Abu Daud (3197); al-Tirmizi (1023); al-Nasa’i (1982); Ibn Majah (1505)

Ketiga, terdapat juga sebahagian ulama berpendapat, bilangan takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak tujuh kali. Pendapat itu sebagaimana diriwayatkan daripada Zir bin Hubaisy. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/211-212).

Keempat, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan dalam kitabnya, riwayat daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa:

أنَّه كَبَّرَ على سَهلِ بنِ حُنَيْفٍ سِتًّا، وقال: إنَّه بَدْريٌّ

Maksudnya: “Beliau bertakbir ketika solat jenazah ke atas Sahl bin Hunaif sebanyak enma kali dan berkata: ‘Sesungguhnya beliau ialah sahabat yang ikut perang Badar.’

Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, ia adalah hadith yang diriwayatkan oleh Sa‘id bin Mansur dan asalnya terdapat dalam Sahih al-Bukhari. (Lihat Bulugh al-Maram, hlm. 231).

Imam al-Bukhari dalam sahihnya menyebutkan, Muhammad bin ‘Abdan menyampaikan kepada kami, Ibn ‘Uyaynah mengkhabarkan kepada kami, dia berkata: Ibn al-Asbahani mendatangkan hadis itu kepada kami, dia mendengarnya daripada Ibn Ma‘qil bahawa:

أَنَّ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، كَبَّرَ عَلَى سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ فَقَالَ: إِنَّهُ شَهِدَ بَدْرًا

Maksudnya: “Ali R.A bertakbir (solat ke atas jenazah) Sahl bin Hunaif dan berkata: ‘Sesungguhnya beliau menyertai perang Badar.’

Riwayat al-Bukhari (4004)

Sekalipun begitu, para ulama seolah-olah telah bersepakat atau menyatakan ijma‘ mengenai bilangan takbir solat jenazah adalah sebanyak empat kali. Ini dapat dilihat melalui kenyataan ulama. Di antaranya, Ibn ‘Abd al-Barr menyebutkan, para fuqaha dalam kalangan ahli fatwa di pelbagai wilayah telah bersepakat bahawa takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak empat kali tanpa ada tambahan, berdasarkan kepada athar-athar yang bersambung daripada perawi-perawi yang thiqah. Mana-mana riwayat selain daripada itu, di sisi mereka adalah syaz, tidak diterima dalam pandangan mereka hari ini dan tidak diamalkan. (Lihat al-Istizkar, 3/30).

Selain itu, Ibn ‘Abd al-Barr juga ada menyebutkan, para ulama salaf berselisih pendapat berkenaan bilangan takbir dalam solat jenazah. Kemudian mereka telah bersepakat bahawa bilangannya adalah sebanyak empat kali takbir. Jadi, mana-mana pendapat yang menyelisihi perkara tersebut adalah pendapat yang syaz menyerupai perkara bidaah dan baharu. (Lihat al-Tamhid, 6/334).

Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyatakan, sebahagian sahabat dan selain mereka berselisih pendapat mengenai bilangan takbir solat jenazah yang disyariatkan sama ada lima atau empat atau lain-lain. Kemudian khilaf itu telah hilang atau lenyap, dan umat telah bersepakat sekarang bahawa bilangan takbir solat jenazah adalah sebanyak empat kali takbir tanpa penambahan mahupun pengurangan. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/230).

Begitulah juga al-Khirasyi turut menyatakan bahawa ada yang berpendapat bilangan takbirnya adalah sebanyak empat kerana setiap takbir itu sama kedudukannya dengan rakaat. Lalu telah berlaku ijma‘ pada zaman Umar R.A bahawa bilangan takbir solat jenazah adalah sebanyak empat kali sehinggalah sebarang penambahan ke atasnya dianggap sebagai syiar ahli bidaah. (Lihat Syarh Mukhtasar Khalil, 2/118).

Walau bagaimanapun, menurut Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, bilangan takbir solat jenazah boleh jadi sebanyak empat kali dan boleh jadi juga sebanyak lima kali. Begitu juga terdapat hadith yang menyatakan bilangan takbir adalah sebanyak tujuh kali, akan tetapi yang sabitnya adalah hadith dalam sahih Muslim iaitu sebanyak lima kali. Oleh itu, seseorang boleh melakukan takbir dalam solat jenazah sebanyak empat atau lima kali.

Jadi, seseorang itu hendaklah melakukan takbir dalam solat jenazahnya sebanyak empat kali dalam kebanyakan solatnya dan kadang-kadang dia boleh juga melakukannya sebanyak lima kali takbir sebagai mengikuti sunnah (ittiba‘ al-Nabi). Hal ini kerana ibadah datang dalam bentuk yang pelbagai. Maka, afdhalnya untuk kita melakukan semua bentuk tersebut yakni kadang-kadang melakukan bentuk yang ini dan kadang-kadang melakukan bentuk yang lain, supaya kita dapat melakukan sunnah dengan seluruh bentuknya — yang dinyatakan dalam hadith atau riwayat yang sabit. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Rasa’il al-‘Uthaimin, 17/134-135).

Meskipun begitu, Ibn Qudamah menyatakan bahawa sunnahnya adalah untuk bertakbir sebanyak empat kali dalam solat jenazah dan tidak disunatkan untuk menambah bilangan takbir lebih daripada itu, serta tidak boleh kurang daripada empat kali. (Lihat al-Mughni, 3/410). Difahami daripada kenyataan Ibn Qudamah ini bahawa dibolehkan untuk bertakbir lebih daripada empat kali dalam solat jenazah tetapi ia tidak disunatkan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa hal ini termasuk dalam perkara khilaf dalam kalangan ulama. Masing-masing mempunyai hujah dan dalil dalam menyokong pendapat masing-masing. Namun, kami berpendapat bahawa bilangan takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak empat kali, tidak boleh lebih mahupun kurang. Inilah pendapat jumhur ulama, bahkan sebahagian ulama menukilkan ijma‘ akannya. Sekalipun begitu, tidak dinafikan ada sebahagian ulama berpendapat, bilangan takbir solat jenazah adalah sebanyak lima kali berdasarkan kepada dalil yang telah dikemukakan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H