#3832: Imam Bertakbir Sebanyak Lima Kali dalam Solat Jenazah, Makmum Perlu Ikut atau Tidak

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Jika Imam melakukan lima kali takbir dalam solat jenazah dan bukannya empat takbir, apakah hukumnya? Apakah yang perlu dilakukan oleh makmum? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya. Namun, para ulama berbeza pendapat mengenai bilangan takbir dalam solat jenazah, sekurang-kurangnya kepada dua pendapat utama.

Pendapat pertama menyatakan, bilangan takbir solat jenazah adalah sebanyak empat kali dan tidak boleh kurang daripada itu. Ini adalah pendapat jumhur ulama termasuklah para imam empat mazhab, Muhammad bin al-Hanafiyyah, ‘Ata’ bin Abu Rabah, Muhammad bin Sirin, al-Nakha‘i, Suwaid bin Ghafalah dan al-Thauri bahawa takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak empat kali takbir. Hal ini kerana telah sah atau sabit daripada Nabi SAW dalam solat jenazah terakhirnya iaitu ke atas Najasyi sebanyak empat kali takbir, dan Nabi terus kekal dengan solat jenazah dengan empat kali takbir sehinggalah Baginda wafat.

Pendapat kedua menyatakan, bilangan takbir solat jenazah adalah sebanyak lima kali. Ini adalah pendapat sebahagian ulama seperti ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, Isa maula Huzaifah dan ashab Mu‘az bin Jabal. Dan Abu Yusuf daripada ashab Abu Hanifah. Al-Hazimi menyebutkan, di antara mereka yang berpendapat takbir dalam solat jenazah adalah sebanyak lima kali ialah Ibn Mas‘ud, Zaid bin Arqam dan Huzaifah bin al-Yaman.  (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/211-212).

Terdapat riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila, katanya:

كانَ زَيْدُ بْنُ أرْقَمَ رَضِيَ اللهُ عَنهُ يُكَبِّرُ علَى جَنائزِنَا أرْبَعًا، وأَنَّهُ كَبَّرَ عَلَى جَنَازَةٍ خَمْسًا، فسَأَلْتُهُ، فَقَالَ: كَانَ رَسُولُ اللهِ -صلى الله عليه وسلم- يُكَبِّرُهَا

Maksudnya: “Zaid bin Arqam R.A bertakbir dalam solat jenazah ke atas jenazah-jenazah kami sebanyak empat kali, dan beliau juga pernah bertakbir sebanyak lima kali terhadap satu jenazah. Kemudian aku bertanya kepadanya (mengenai hal itu). Beliau menjawab: ‘Rasulullah SAW  (pernah) bertakbir sedemikian.’

Riwayat Muslim (957); Abu Daud (3197); al-Tirmizi (1023); al-Nasa’i (1982); Ibn Majah (1505)

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: “Bilangan Takbir Solat Jenazah dan Bolehkah Lebih daripada Empat Kali.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, sekiranya Imam menambah takbir yang kelima dalam solat jenazah, maka berkenaan makmum dalam hal mengikuti imam dalam penambahan takbir tersebut ataupun tidak mengikutinya terdapat khilaf dalam kalangan fuqaha.

Ulama Hanafiyyah kecuali Zufar berpendapat, jika Imam menambah takbir yang kelima, maka makmum tidak boleh mengikuti imam dalam takbir itu kerana ia telah dimansuhkan berdasarkan kepada riwayat bahawa Nabi SAW bertakbir sebanyak empat kali takbir dalam solat jenazahnya yang terakhir. Manakala Zufar pula berpendapat, makmum hendaklah mengikutinya kerana Imam berijtihad dalam hal itu (yakni memilih pendapat tersebut) berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan bahawa Ali R.A pernah bertakbir dalam solat jenazah sebanyak lima kali.

Ulama Malikiyyah pula berpendapat, makmum hendaklah memberi salam dan tidak perlu menunggu Imam dalam takbir yang kelima mengikut riwayat daripada Ibn al-Qasim. Ulama Syafi‘iyyah pula berpendapat, makmum hendaklah mufaraqah (niat berpisah) dengan Imam dalam takbir yang kelima berdasarkan kepada pendapat bahawa solat jenazah terbatal dengan penambahan takbir tersebut. Manakala berdasarkan kepada pendapat bahawa solat jenazah tidak terbatal dengannya, maka makmum tidak perlu mufaraqah dengan Imam. Akan tetapi pendapat yang menyatakan, tidak mengikuti Imam dalam hal tersebut adalah lebih azhar (kuat). Seterusnya, berkenaan adakah dia perlu memberi salam terus atau menunggu Imam sehingga Imam memberi salam, terdapat dua pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i, dan pendapat yang paling sahih adalah pendapat yang kedua — iaitu menunggu sehingga Imam memberi salam.

Ulama Hanabilah pula berpendapat, adalah lebih utama untuk dia tidak menambah lebih daripada daripada empat kali takbir dalam solat jenazah. Begitu juga tidak ada khilaf dalam kalangan mereka bahawa tidak boleh menambah bilangan takbir melebihi tujuh kali takbir dan tidak boleh kurang daripada empat kali takbir. Terdapat riwayat yang berbeza daripada mereka (ulama mazhab Hanbali) pada takbir yang melebihi empat hingga tujuh kali takbir.  Zahir perkataan al-Khiraqi menyatakan bahawa Imam apabila bertakbir sebanyak lima kali, makmum hendaklah mengikutinya, dan  makmum tidak boleh mengikuti Imam pada takbir yang lebih daripada itu sebagaimana diriwayatkan oleh al-Athram daripada Imam Ahmad. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Zaid bin Arqam bahawasanya beliau bertakbir dalam solat jenazah sebanyak lima kali dan beliau berkata: “Rasulullah SAW pernah bertakbir sedemikian.”

Manakala Harb meriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa jika Imam bertakbir kali kelima dalam solat jenazah, maka makmum tidak boleh bertakbir bersamanya dan tidak memberi salam melainkan bersama Imam. Hal ini kerana penambahan takbir itu tidak disunatkan bagi Imam, maka makmum tidak boleh mengikutinya dalam hal tersebut seperti mana qunut dalam rakaat pertama.

Dalam riwayat yang lain daripada Ahmad menyatakan bahawa makmum perlu bertakbir bersama Imam sehingga takbir ketujuh (yakni mengikutinya). Ini sebagaimana disebutkan oleh al-Khallal bahawa telah sabit pendapat daripada Abu ‘Abdillah bahawa makmum bertakbir bersama Imam sehingga takbir ketujuh, kemudian tidak boleh lebih daripada tujuh kali takbir dan makmum tidak boleh memberi salam melainkan bersama Imam. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/71-72).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa sebaik-baiknya makmum tidak mengikuti Imam dalam takbir kelima tersebut sebagaimana pendapat jumhur ulama, tetapi niat mufaraqah dan memberi salam bersama Imam. Hal ini kerana takbir-takbir itu adalah rukun dalam solat jenazah. Namun, jika makmum tersebut berpegang dengan pendapat yang membolehkan takbir sehingga tujuh kali, maka tidak syak lagi bahawa dia kena mengikuti Imam. Hal ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Imam dijadikan untuk diikuti.

Riwayat al-Bukhari (805) dan Muslim (411)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H