#3834: Maksud Malu Di Sisi Ulama Tasawuf

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah maksud malu di sisi ulama tasawuf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَلَمْ يَعْلَم بِأَنَّ اللَّهَ يَرَىٰ

Maksudnya: “Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?

(Surah al-Alaq: 14)

Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اسْتَحْيُوا مِنَ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ‏ ‏.‏ قَالَ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّا لَنَسْتَحْيِي وَالْحَمْدُ لِلَّهِ ‏.‏ قَالَ:‏ لَيْسَ ذَاكَ وَلَكِنَّ الاِسْتِحْيَاءَ مِنَ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ أَنْ تَحْفَظَ الرَّأْسَ وَمَا وَعَى وَتَحْفَظَ الْبَطْنَ وَمَا حَوَى وَتَتَذَكَّرَ الْمَوْتَ وَالْبِلَى وَمَنْ أَرَادَ الآخِرَةَ تَرَكَ زِينَةَ الدُّنْيَا فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدِ اسْتَحْيَا مِنَ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ ‏.‏

Maksudnya: Milikilah rasa malu kepada Allah dengan sesungguhnya! – Kami (sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah kita semua telah memiliki rasa malu dan segala puji syukur adalah milik Allah.” Rasulullah kemudian menjawab kepada mereka para sahabatnya: “Bukan itu, sifat malu (yang kumaksudkan) adalah memiliki malu pada Allah dengan melindungi kepala beserta tubuh dan apa yang ada di dalamnya. Dengan mengingat kematian dan hari pembalasan. Serta barangsiapa yang menginginkan kehidupan mulia di akhirat, maka dia harus meninggalkan keindahan dunia. Maka dari itu, siapa pun yang melakukan hal itu, sudah memenuhi sifat malu kepada Allah dengan sesungguhnya.”

Riwayat al-Tirmizi (2458) dan Ahmad (3671).

Kami kemukakan di sini beberapa pendapat ulama berkenaan dengan sifat malu.

  • Sebahagian hukama berkata, “Hidupkanlah sifat malu dalam majlis siapa yang malu padanya.”
  • Ibn ‘Ataillah berkata, “Ilmu yang paling besar adalah rasa haibah atau takut dan malu. Apabila hilang haibah dan malu, maka tidak kekal lagi kepadanya kebaikan.”
  • Zun al-Nun al-Misri berkata, “Malu ialah wujudnya haibah pada hati bersama dengan rasa liar yang terdahulu kepada Tuhannya.”
  • Abu Uthman berkata, “Siapa yang bercakap tentang malu sedangkan dia tidak malu kepada Allah apa yang dia cakap sebenarnya dia telah terpedaya.”
  • Yahya bin Muaz al-Razi berkata, “Siapa yang malu kepada Allah dalam keadaan taat, nescaya Allah malu kepadanya sedangkan dia melakukan dosa.”
  • Fudhail bin Iyadh berkata, “Terdapat 5 tanda kerugian atau kecelakaan seseorang; keras hati, payahnya mengalir air mata, sedikit malu, cintakan dunia dan panjang angan-angan.”

(Lihat al-Risalah al-Qusyairiyah, hlm. 214-217)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 25 Oktober 2023 bersamaan 10 Rabiulakhir 1445 H