Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah boleh untuk menunaikan solat jenazah ghaib ke atas para syuhada yang gugur di Palestin?. Terima kasih.Bolehkah Dato’ Seri?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَقُولُوا لِمَن يُقْتَلُ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ أَمْوَاتٌ ۚ بَلْ أَحْيَاءٌ وَلَـٰكِن لَّا تَشْعُرُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”
Surah al-Baqarah (154)
Ayat di atas merupakan peringatan kepada orang yang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh pada jalan Allah — kerana membela agama-Nya — ialah orang-orang yang mati — yakni tiada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu ialah orang-orang yang hidup dengan keadaan hidup yang istimewa — yakni secara khusus — di dalam kubur-kubur mereka, yang mana tidak diketahui bagaimana hidupnya itu melainkan oleh Allah SWT. Akan tetapi kamu juga tidak dapat menyedarinya. Ini adalah dalil yang menunjukkan kepada wujudnya nikmat di dalam kubur. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 24.)
Apa yang berlaku di bumi Gaza mutakhir ini dengan penjarahan oleh puak-puak Yahudi dan rejim zionis Israel merupakan satu pelupusan etnik dan pembunuhan beramai-ramai yang sedang ditalakan kepada umat Islam Gaza, Palestin. Ini mengingatkan kita kepada firman Allah SWT:
وَمَا نَقَمُوا مِنْهُمْ إِلَّا أَن يُؤْمِنُوا بِاللَّهِ الْعَزِيزِ الْحَمِيدِ
Maksudnya: “Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!”
(Surah al-Buruj: 8)
Sudah hampir tiga minggu (25 Oktober 2023) berlangsungnya serangan dahsyat oleh rejim zionis tanpa ihsan dan rahmah sehingga hospital al-Ahli juga dibom, masjid, tempat belajar, sekolah dan kemudahan awam menjadi sasaran mereka.
Inilah rejim zionis yang menunjukkan belang yang sebenar dalam memusuhi umat Islam. Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada umat Islam Palestin dalam mempertahankan negaranya serta bantuan daripada umat Islam seluruh dunia dapat sampai ke bumi Palestin ini.
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan antara adab kita apabila menerima berita yang dukacita, kita mengucapkan (إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ), sebagaimana firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
(Surah al-Baqarah: 156)
Begitu juga, kita boleh melaksanakan solat jenazah ghaib buat mereka, sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِىَّ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ، فخَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW bersedih atas kematian al-Najasyi, lalu Baginda keluar ke tempat solat, berbaris bersama-sama sahabat dan bersolat sebanyak empat kali.”
Riwayat al-Bukhari (1188) dan Muslim (951)
Dalam kesempatan ini juga, kami ingin menasihatkan agar menjaga aib-aib mereka yang mati syahid seperti tidak memaparkan tubuh badan mereka yang hancur, kepala berkecai dan seumpamanya. Namun, teruskanlah menyebarkan info-info berkaitan palestin dalam memberi kesedaran dan kebersamaan kita dalam memperjuangkan hak bagi rakyat Palestin. Hanya pada Allah SWT sahaja kita memohon pertolongan bagi membantu mereka yang sedang dalam perjuangan.
Akhirnya, marilah kita sama-sama mendoakan mereka agar Allah SWT membebaskan Palestin dari penjajahan Israel laknatullah dan memberi kegembiraan buat rakyat Palestin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Wallahua`lam.
Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H