#3840: Doa Kepada Orang Keluar Tandas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dibolehkan berdoa seperti dikurniakan kenikmatan selepas keluar tandas?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Islam kaya dengan adab dan suruhan yang baik, termasuklah isu yang sekecil-kecil dan sebesar-besarnya. Ini kerana, Islam adalah agama yang lengkap, syumul yang merangkumi kehidupan dunia dan akhirat. Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

(Surah al-Maidah: 3)

Dalam Islam, terdapat doa masuk dan keluar tandas:

  • Daripada Anas bin Malik RA:

كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ: اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ

Maksudnya: “Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.”

Riwayat al-Bukhari (139)

  • Daripada Anas bin Malik R.A:

غُفْرَانَكَ الْحَمْدُ لِلهِ الذي أَذْهَبَ عَنِّيْ الْأَذَى وَعَافَانِيْ

Maksudnya: “Aku memohon keampunan-Mu (Ya Allah), segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dariku sesuatu yang menyakiti dan menyihatkan aku.

Riwayat Ibn Majah (301), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (10/454) dan al-Tabarani dalam al-Du’a (372)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan peri pentingnya kita berdoa sama ada sebelum masuk tandas atau selepas masuk tandas. Ini kerana tandas dikatakan tempat syaitan jantan dan betina.

Berkata al-Nawawi: “Sekiranya seseorang itu berkata selepas keluar daripada tandas, ‘Semoga Allah sentiasa mengurniakan kepadamu kenikmatan secara kelembutan’, dan doa-doa selainnya, maka ia tidak mengapa. (Lihat al-Azkar, hlm. 237) (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 369)

Semoga Allah SWT beri kepada kita kebaikan dan ‘afiyat. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H