#3845: Pendapat Saidina Umar Berkenaan Solat Terawih 20 Rakaat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Saidina Umar memulakan solat terawih secara berjemaah sebanyak 20 rakaat? Apakah pendapat al-Khattabi berkenaan perkara ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan “Tarawih” berasal daripada kata “Rawwaha”, yang ertinya berehat. Ibn Manzur dalam kamus Lisan al-Arab (1/615) berkata perkataan “Tarawih” adalah kata jama’ dari “Tarwihah” yang ertinya sekali berehat. Maka dinamakan solat itu solat Tarawih kerana setiap 4 rakaat solat (iaitu dua rakaat-dua rakaat), disunatkan berehat kemudian diikuti dengan 4 rakaat berikutnya. Begitulah sehingga habis bilangan rakaatnya.

Pendapat ini juga dikemukakan oleh pengarang Anis al-Fuqaha’ (hlm. 34) iaitu al-Qunawi dan al-Khatib al-Syarbini dalam al-Iqna’ (1/117).

Terdapat pandangan yang menyatakan, ia diambil daripada kalimah marawihah yang memberi maksud berulang-ulang dalam perbuatan seperti kata Ibn Muflih.

Ada beberapa istilah yang hampir menyamai solat tarawih seperti yang dinyatakan dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah:

  • Solat Ihya’ al-Lail atau Qiam al-Lail.
  • Solat Tahajud.
  • Solat Tatawwu’ (sunat).
  • Solat Witir.

Dalil Pensyariatan Solat Tarawih

Semua kenyataan yang tersebut adalah berdasarkan kepada beberapa hadith.

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan  pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. Makna yang dikehendaki daripada  “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama’ bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 6/39)

Namun berkata al-Hafiz al-‘Iraqi: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan —serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.” (Lihat Tarh al-Tathrib (4/161)

Justeru Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam Bab Kelebihan Barangsiapa yang Mendirikan Ramadhan: “Yakni mendirikan malam-malamnya dengan solat, dan yang dimaksudkan dengan Qiamullail ialah apa-apa ibadah yang  termasuk dengan lafaz mutlak “qiyam” seperti mana yang telah kami sebut sebelum ini dalam bab Tahajjud adalah sama. al-Nawawi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih; oleh itu pahala Qiamullail terhasil dengan dengan solat Terawih, bukan maksud qiyam Ramadhan tidak berlaku melainkan dengan solat Terawih. Al-Kirmani mengeluarkan pandangan yang aneh dengan berkata: “Mereka sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih.” (Lihat Fath al-Bari (4/251)

  • Hadith seterusnya dari Aishah RA pada suatu malam Nabi SAW bersolat di masjid lalu diikuti oleh orang ramai. Pada malam yang berikutnya Baginda bersolat lagi dan jemaah semakin ramai. Pada malam yang ketiga atau keempat orang ramai telah berkumpul namun Baginda tidak kunjung tiba. Menjelang pagi Baginda bersabda:

قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلَّا أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu lakukan. Tidak ada apa yang menghalang aku daripada keluar mendirikan solat bersama kamu melainkan kerana aku takut ia akan diwajibkan ke atas kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1129), Muslim (761), Abu Dawud (1373), Malik (375) dalam al-Muwatta’, Ahmad (25446) dan Ibn Hibban (2542) dalam Sahih-nya

Peristiwa tersebut berlaku dalam bulan Ramadan.

Berkata Syeikh al-Azim Abadi: “Perkara yang jelas daripada sabda Baginda SAW, “…kerana aku bimbang solat tersebut difardukan atas kamu,” bahawa Baginda SAW menjangkakan kesan perlaksanaan qiyam Ramadhan oleh para sahabat bersama Baginda dengan berjamaah, secara konsisten, boleh dianggap sebagai satu kefardhuan.” (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 4/173)

Menjawab persoalan di atas, al-Khattabi pula berkata: “Apa yang terbina di atas Qawa’id al- Usul, ia bukan bid’ah dan tidak juga sesat. Terdapat dalam Lisan al-‘Arab pandangan Ibnu al-Athir iaitu: “Bid’ah itu dua; bid’ah huda (petunjuk) dan bid’ah dhalalah (sesat)…maka apa yang berlaku di bawah keumuman apa yang diharuskan oleh Allah atau Rasul-Nya dan ia tidak mempunyai misal sebelumnya maka ia terpuji. Dan ia berkata lagi: Dan antara jenis (bid’ah huda) ini iaitu ucapan Umar RA:

نِعْمَ البِدْعَةُ هذِه

Maksudnya: “Senikmat-nikmat bid’ah adalah ini (mengerjakan tarawih 20 raka’at secara berjamaah)”

(Lihat Lisan al-‘Arab madah bid’ah dan lihat juga Faydh al-Qadir, 1/84 nukilannya tentang pendapat Ibnu al-Atsir daripada al-Nihayah). (Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 368)

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H