#3846: Makna ‘Arraf (عَرَّافًا) dan Kahin (كَاهِنًا)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami makna ‘arraf dan kahin sepertimana yang disebut dalam hadith Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Isu percaya kepada seseorang mengetahui perkara ghaib adalah kenyataan palsu dan menyalahi syarak. Sementelahan lagi, menerima bulat-bulat dan merasakan seseorang itu mempunyai pengeuasaan khas dalam ilmu ghaib. Inilah khurafah dan menyimpang dari ajaran Islam. Terdapat banyak hadith dan nas yang menunjukkan larangan dari mempercayai bahkan mengunjungi orang-orang seperti ini.

Antaranya adalah sepertimana diriwayatkan daripada sebahagian isteri  Nabi SAW, bahawa Baginda SAW bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi ‘arraf (dukun) dan bertanya kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”

Riwayat Muslim (5957)

Pada riwayat yang lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Sesiapa mendatangi kahin atau ‘arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (al-Qur’an).”

Riwayat Ahmad (9171)

 

Erti ‘Arraaf dan Kahin

Ibnu Athir menjelaskan bahawa ‘arraaf (peramal) adalah ahli nujum yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib padahal hanya Allah SWT yang mengetahui persoalan ghaib (Lihat Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 3/442), Tukang ramal ini termasuk dalam kategori kahin (dukun).

Al-Baghawi pula menerangkan: ‘Arraaf adalah orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu dengan cara-cara tertentu yang dipakai sebagai petunjuk akan barang hilang atau tempat hilangnya barang dan semisalnya. Sedangkan kahin adalah orang yang memberitahu akan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Dan pendapat lain mengatakan kahin adalah orang yang mengetahui apa yang ada di dalam hati (mengetahui isi hati membaca fikiran)(Lihat Syarh al-Sunnah, 12/182).

Makna Hadith

Kedua-dua Hadith ini terkandung ancaman Nabi SAW terhadap dua jenis manusia. Pertama, mereka yang datang kepada bomoh atau dukun dengan niat hanya untuk bertanya. Kedua, mereka yang datang kepaun pomoh atau dukun untuk bertanya lalu mempercayainya. Masing-kepada berada dalam keadaan yang berbeza dan baginda Rasulullah SAW juga menjelaskan tentang akibatnya yang juga berbeza.

Adapun yang pertama, Rasulullah SAW mengancam dengan ancaman, tidak akan diterima solatnya selama empat puluh malam.”

Imam Nawawi menjelaskan; “Adapun tidak diterimanya solat (orang yang bertanya kepada dukun selama empat puluh malam), ertinya tidak ada pahala untuk dia, walaupun solat yang dilakukannya dianggap sah dan tertunai kewajipannya dan tidak perlu baginya mengulangi solatnya (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/227).

Manakala golongan yang kedua, “maka dia telah kufur terhadap yang diturunkan kepada Muhammad”. Dan yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah al-Qur’an dan kufur terhadap al-Qur’an, bererti keluar daripada Islam atau murtad. Keadaan ini hanya berlaku sekiranya orang yang menemui bomoh atau dukun tersebut benar-benar beriktikad mempercayai bahawa bomoh atau dukun tersebut mengetahui perkara yang ghaib sedangkan hanya Allah SWT yang mengetahui perkara yang ghaib (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 20/246), la juga menunjukkan ketegasan dan keseriusan Nabi SAW (taghlizh) dalam menegah perkara ini (Lihat Syarh Sunan Ibn Majah, 1/889).

Imam Nawawi menukilkan pandangan Imam al-Khattabi ketika menjelaskan maksud Hadith ini. Imam Khattabi berkata: “Dahulu di zaman Arab (Jahiliyyah), para dukun mendakwa mereka mengetahui banyak perkara, sebahagian mereka mendakwa bahawa dia mendapat pandangan daripada jin yang menyampaikan kepadanya berita-berita, sebahagiannya pula mendakwa dapat mengetahui yang demikian (perkara ghaib) melalui kefahaman yang dianugerah kepadanya, sebahagian yang lain mereka yang dikenali sebagai ‘arraaf, iaitu yang mendakwa mengetahui perkara-perkara (ghaib) dengan pendahuluan sebab yang terdapat petunjuk padanya seperti mengetahui orang yang mencuri sesuatu, siapa yang dituduh (melakukan hubungan) dengan wanita tertentu, dan seumpamanya. Dan kalangan mereka ada yang menggelarkan munajjim sebagai kahin, maka Hadith tersebut mengandungi larangan daripada mendatangi kesemua mereka, berpegang kepada perkataan mereka dan membenarkan dakwaan mereka.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/22)

Kebatilan perbomohan dan perdukunan yang sering merujuk kepada perkara ghaib ini juga diperkukuhkan dengan ayat-ayat al-Qur’an berikut. Allah SWT berfirman:

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ .

Maksudnya: “Katakanlah lagi: “Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib, kecuali Allah”, dan mereka tidak mengetahui bila mereka akan dibangkitkan.”

(Surah al-Naml: 65)

Dan Dia berfirman tentang Nabi-Nya:

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah:”Aku tidak berkuasa menarik kemanfaatan bagi diriku dan tidak (pula) menolak kemudharatan kecuali yang dikehendaki Allah. Dan sekiranya aku mengetahui yang ghaib, tentulah aku membuat kebajikan sebanyak-banyaknya dan aku tidak akan ditimpa kemudharatan. Aku tidak lain hanyalah pemberi peringatan, dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman.”

(Surah al-A’raaf: 188)

(Lihat Diskusi Isu Akidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia, hlm. 3420-423)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H