Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah wajib menjawab salam ketika sedang buang air kecil? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pertamanya, pada asalnya, hukum memberi salam adalah sunat muakkad — yang sangat dituntut. Manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.
Imam al-Nawawi menjelaskan lagi perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitabnya bahawa hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Manakala hukum menjawab salam pula adalah fardhu atau wajib secara ijma‘ (sepakat para ulama). Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain, maka orang yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardhu ain. Jika diberi salam kepada sekelompok manusia, maka hukum menjawabnya pula menjadi fardhu kifayah. Jika salah seorang menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi mereka yang lain, dan jika semua orang menjawabnya, maka semuanya dikira sebagai menunaikan perkara yang fardhu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua dikira berdosa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/593-594).
Penjelasan lanjut berkenaan hal ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #202 Memberi Salam.[1]
Keduanya, pada asasnya bercakap-cakap ketika buang air dalam tandas termasuk dalam perkara yang dilarang dan menyalahi adab. Dalam erti kata lain, bercakap-cakap dan seumpamanya ketika buang air dihukumkan sebagai makruh. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa makruh bercakap-cakap ketika qadha’ hajat (buang air) menurut kesepakatan para ulama. Ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berpendapat, semua jenis percakapan ada sama dari segi kemakruhan. Walau bagaimanapun, terdapat pengecualian — yakni dibolehkan bercakap-cakap ketika qadha’ hajat — pada situasi-situasi yang ada keperluan seperti ternampak orang buta jatuh ke dalam perigi, nampak ular dan seumpamanya. Maka ketika itu, tidak lagi makruh untuk bercakap-cakap dalam situasi-situasi tersebut, bahkan diwajibkan pada kebanyakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/88).
Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa menjawab salam ketika sedang buang air kecil (qadha’ hajat) adalah tidak diwajibkan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma:
أَنَّ رَجُلاً مَرَّ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبُولُ فَسَلَّمَ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْه
Maksudnya: “Seorang lelaki lalu ketika Rasulullah SAW buang air kecil. Dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawabnya.”
Riwayat Muslim (370)
Namun, jika seseorang yang sedang qadha’ hajat itu tetap menjawab salam tersebut, hukumnya adalah makruh. Hal ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam kitab Fiqh al-‘Ibadat ‘ala al-Mazhab al-Syafi‘i (1/69) bahawa sekiranya orang yang sedang qadha’ hajat diucapkan salam, maka hukumnya adalah makruh bagi dirinya untuk menjawab salam tersebut berdasarkan kepada hadith Ibn Umar R.Anhuma di atas.
Di samping itu, Ibn Hajar al-Haitami turut menyatakan, makruh bercakap-cakap melainkan adanya keperluan semasa keluarnya air kencing atau najis (yakni ketika qadha’ hajat) sekalipun percakapan itu bukan berbentuk zikir atau menjawab salam kerana terdapatnya larangan daripada bercakap-cakap ketika buang air. Jika seseorang itu bersin, maka dia hendaklah mengucapkan tahmid (yakni ‘alhamdulillah’) dalam hatinya sahaja sebagaimana orang yang sedang berjimak. Walau bagaimanapun, jika seseorang itu bercakap-cakap tetapi tidak didengari oleh dirinya, hukumnya tidak makruh. Begitu juga sekiranya seseorang itu takut berlakunya apa-apa perkara yang tidak diingini jika tidak bercakap, hukumnya juga tidak makruh. Manakala jika bukan semasa keluarnya sesuatu (yakni sama ada air kencing atau najis) maka dihukumkan makruh pada perkataan berupa zikir dan al-Quran sahaja. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/170).
Sekalipun begitu, kita dianjurkan untuk menjawab salam tersebut selepas selesai membuang air kecil (qadha’ hajat). Ini adalah sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi bahawa mereka boleh menjawabnya (yakni mengqadha’nya) setelah selesai urusan qadha’ hajat (buang air) atau berjimak sebagaimana yang dijelaskan oleh pengarang al-Hawi dan selainnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 3/118).
Tambahan lagi, hal ini juga adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata:
مَرَّ رَجُلٌ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَبُولُ، فَسَلَّمَ عَلَيْهِ، فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ، فَلَمَّا فَرَغَ ضَرَبَ بِكَفَّيْهِ فَتَيَمَّمَ، ثُمَّ رَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ
Maksudnya: “Seorang lelaki melewati Rasulullah SAW ketika sedang buang air kecil. Lalu dia memberi salam tetapi Baginda tidak menjawabnya. Apabila Baginda selesai (qadha’ hajat), Baginda mengetuk kedua tapak tangannya (ke tanah) lalu bertayammum. Kemudian, barulah Baginda menjawab salah tersebut.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (3641) dan Ibn Majah (351)[2]
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa orang yang sedang buang air kecil atau qadha’ hajat tidak diwajibkan untuk menjawab salam yang diucapkan kepadanya, bahkan makruh baginya untuk menjawab salam tersebut. Walau bagaimanapun, dia boleh boleh menjawabnya di dalam hati ataupun menunggu sehingga selesai urusan qadha’ hajatnya, kemudian barulah menjawabnya — yakni mengqadha’nya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/202-memberi-salam/. Diakses pada 17 Februari 2022.
[2] Al-Tabarani menyebutkan, hadith ini tidak diriwayatkan daripada al-Auza‘i kecuali oleh Maslamah bin Ali, dan Hisyam bin ‘Ammar bersendirian meriwayatkannya. Selain itu, hadith ini telah dinilai sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (286).
Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H