#3850: Doa Nabi dalam Solat Jenazah yang Mendoakan juga Orang yang Hidup dan Hadir

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya pernah dengar bahawa Nabi SAW ada doa lain yang Baginda baca dalam solat jenazah selain daripada doa yang biasanya kita baca. Doa tersebut merangkumi doa kepada orang yang meninggal, orang yang hadir, orang yang hidup, kanak-kanak, orang dewasa, lelaki dan perempuan. Bolehkah ustaz sebutkan doa tersebut dan syarahkan sikit? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, solat jenazah mengandungi empat takbir dan tidak boleh kurang daripada itu. Hal ini kerana tidak ada khilaf dalam kalangan fuqaha bahawa takbir dalam solat jenazah adalah rukun, dan tidak sah solat jenazah melainkan dengannya.

Hal ini adalah sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي اليَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ خَرَجَ إِلَى المُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mengumumkan kematian al-Najasyi pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar menuju ke tempat solat lalu Baginda menyusun saf bersama mereka, dan bertakbir sebanyak empat kali.

Riwayat al-Bukhari (1245) dan Muslim (951)

Secara ringkasnya solat jenazah adalah sebagaimana berikut:

Pertama: Bertakbiratul ihram sambil berniat solat Jenazah.

Kedua: Setelah bertakbir, letakkan kedua-dua tangan ke dada sebagaimana solat biasa, kemudian membaca surah al-Fatihah.

Ketiga: Setelah selesai membaca surah al-Fatihah, bertakbir pula kali kedua. Kemudian, bacalah apa-apa selawat ke atas Nabi SAW. Selawat yang afdhal ialah selawat Ibrahimiyah sebagaimana yang telah disebutkan dalam bab hukum-hukum solat.

Keempat: Bertakbir pula kali ketiga dan diikuti dengan mendoakan mayat. Mendoakan mayat adalah maksud utama solat jenazah. Sekurang-kurang bacaan doa adalah:

اللَّهُمَّ ارْحَمهُ أوِ اغْفِرلَه

Maksudnya: “‘Ya Allah! Rahmatilah dia,’ atau ‘Ya Allah! Ampunilah dia.’” (Lihat  al-Fiqh al-Manhaji, 1/602).

Kelima: Bertakbir buat kali keempat, kemudian berdoa:

اللَّهُمَّ لاَ تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلاَ تَفْتِنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau tahan pahalanya daripada kami dan janganlah timbulkan fitnah kepada kami selepas kematiannya serta ampunilah kami dan dia.

Riwayat Abu Daud (3201)

Keenam: Memberi salam sebanyak dua kali, iaitu ke kanan dan ke kiri sebagaimana salam solat-solat yang lain.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa benar di sana terdapatnya doa yang dibaca oleh Nabi SAW dalam solat jenazah sebagaimana yang disebutkan iaitu merangkumi doa kea atas orang yang hidup, orang yang meninggal dunia, orang yang hadir, orang yang tidak hadir, kanak-kanak, orang dewasa, lelaki dan perempuan.

Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW apabila mendirikan solat jenazah, Baginda berdoa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menjelaskan makna lafaz-lafaz di dalam doa tersebut:

Lafaz “لَا تَحْرِمْنَا” (janganlah Engkau halang kami) merujuk kepada permohonan agar Allah tidak menghalang kami (orang yang mendirikan solat jenazah).

Lafaz “أَجْرَهُ” (pahalanya) merujuk kepada ganjaran yang Allah berikan kepada kami  (orang yang mendirikan solat jenazah) kerana kematiannya.

Lafaz “لَا تُضِلَّنَا” (janganlah Engkau sesatkan kami) merujuk kepada seseorang telah tersilap atau tidak dapat menemui jalan yang benar dan lurus. Dinyatakan dalam al-Muhit bahawa Dhalal (الضلال) bermaksud menyimpang dari jalan yang lurus sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, sedikit atau banyak. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/208).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H