#3851: Hikmah Menyegerakan Pengurusan Jenazah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hikmah supaya disegerakan pengurusan jenazah?Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Selain daripada itu, Syeikh Abdullah al-Bassam juga ada menyatakan, dianjurkan atau digalakkan (sunat) untuk menyegerakan pengurusan jenazah, sekiranya kematiannya tidak berlaku secara mengejut. Ini kerana perlu dipastikan akan kematiannya terlebih dahulu atau dilewatkan disebabkan oleh maslahah supaya ramai orang melakukan solat jenazah untuknya atau kerana menunggu kehadiran kaum kerabat dan sebagainya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/163).

Dalam menjawab soalan di atas, di antara hikmah perlu disegerakan pengurusan jenazah adalah kerana jika jenazah itu soleh maka telah mempercepatnya menuju kebaikan sebagaimana disebutkan dalam hadith di atas.  Tambahan lagi, Syeikh Abdullah al-Bassam menyebutkan “menyegerakan pengurusan jenazah” di sini merangkumi proses mempersiapkannya dan mengebumikannya. Maka ia adalah lebih umum berbanding hanya menyegerakan proses membawa jenazah ke tanah perkuburan. Hal ini adalah sebagaimana hadith, di mana Nabi SAW bersabda:

إِنِّي لَا أَرَى طَلْحَةَ إِلَّا قَدْ حَدَثَ بِهِ الْمَوْتُ فَآذِنُونِي بِهِ وَعَجِّلُوا فَإِنَّهُ لَا يَنْبَغِي لِجِيفَةِ مُسْلِمٍ أَنْ تُحْبَسَ بَيْنَ ظَهْرَانَيْ أَهْلِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku melihat kematian Talhah hampir tiba, maka beritahu kepadaku kematiannya dan segerakan persiapan pengebumian kerana sesungguhnya tidak sepatutnya mayat seorang Muslim ditahan di kalangan keluarganya.

Riwayat Abu Daud (3159)

Kemudian Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan, hal ini adalah sekiranya tidak ada maslahah atau kepentingan untuk melewatkannya seperti menunggu kehadiran kaum kerabat dan seumpamanya atau kematiannya itu berlaku secara mengejut akibat jenayah dan perlukan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kematiannya dan sebagainya, maka penangguhan itu adalah sesuai dan wajar bagi suatu maslahah yang jelas. Justeru, tidak mengapa menyimpan lagi mayat itu (untuk suatu tempoh tertentu), lebih-lebih lagi kini terdapatnya tempat simpanan sejuk yang dalam memelihara atau melambatkan jasad mayat daripada rosak atau membusuk.

Selain itu, dalam hadith di atas juga mengandungi pengisbatan bagi balasan ukhrawi sama ada baik atau buruk, dan ia adalah sesuatu yang diketahui dalam agama secara pasti —  yakni dalam erti kata lain, tidak ada keraguan lagi mengenainya. Selain itu, ia juga mengandungi tuntutan untuk bersahabat dengan orang-orang yang baik dan menjauhi orang-orang yang jahat. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/214-215).

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa di antara hikmah supaya disegerakan pengurusan jenazah adalah kerana tidak sepatutnya mayat orang Islam ditahan atau dilewat-lewatan tanpa sebarang sebab yang diizinkan. Tujuannya adalah supaya mereka segera menuju kepada kebaikan yang dijanjikan jika mereka termasuk dalam kalangan orang soleh. Selain itu, kami melihat di antara tujuannya juga adalah supaya mayat mereka tidak sempat lagi membusuk atau rosak.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H