#3852: Cara Menjadikan Hati Khusyu’ Ketika Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara menjadikan hati khusyu’ ketika solat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Ibn Faris dalam kitabnya Mu’jam Maqayis al-Lughah menyatakan khusyu’ adalah (terdiri dari tiga huruf dasar) kha`, syin dan ‘ain dan ia adalah satu sumber, yang menunjukkan kepada makna tunduk/merendah).” (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 316)

Di dalam perihal khusyuk ketika solat, Ibn Qayyim Al-Jauziyyah berkata: Khusyuk adalah berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri. Ibn Al-Qayyim juga turut menyatakan pendapat tokoh ulama tasawuf iaitu Imam Junaid Al-Baghdadi yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib. (Lihat Madarij al-Salikin, 1/521)

Allah SWT menyebut bahawa mereka adalah golongan yang memperolehi kejayaan ini berdasarkan Firman-Nya:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ ﴿٢﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, (1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;”

(Surah al-Mu’minun: 1-2)

Para Ulama’ berselisih dalam menafsirkan makna khusyuk:

  • Ibn ‘Abbas berkata: tenang dan merendahkan diri
  • Al-Hasan (Al-Basri) dan Qatadah menafsirkan: (Iaitu) orang-orang yang takut
  • Muqatil menyatakan: (Iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’)
  • Mujahid berkata iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara.”
  • Saidina Ali RA, iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
  • Sa’id bin Jubair berkata iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, ia tidak menoleh, kerana demikian khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
  • ‘Amr bin Dinar berkata, iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
  • Adapun Ibn Sirin dan yang lainya menafsirkan, iaitu kamu tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
  • Ata` berkata, iaitu kamu tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat…dan adapula yang menyatakan khusyuk dalam solat adalah memfokuskan (memperhatikan urusan solat) dan berpaling dari urusan di luar solat sembari menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan lisannya.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/238-239).

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyebut, khusyuk merupakan perkara di dalam hati. Sekiranya seseorang itu khusyuk ketika solat maka anggota badan juga turut akan khusyuk disebabkan hatinya khusyuk melakukan solat. Imam al-Qurtubi menceritakan seorang ulama ketika melakukan solat, maka ia akan melakukan dengan mengagungkan Allah SWT dengan memalingkan pandangannya daripada sesuatu urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)

Imam Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkan khusyu’ sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977).

Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Untuk menghadirkan hati dalam solat, terdapat berapa sebab, antaranya:

  • Berlindung kepada Allah yang Maha Tinggi daripada syaitan yang terkutuk.
  • Mentadabbur bacaan dalam solat dan jenis-jenis zikir di dalamnya.
  • Menghadirkan dalam hati akan keagungan Allah yang Maha Tinggi, dan bahawa orang yang solat sedang bermunajat kepada-Nya dengan menghadap-Nya.
  • Menyedari kelemahan dan kefakiran manusia ketika dalam rukuk dan sujudnya kerana kebesaran dan keagungan Allah yang Maha Tinggi.
  • Membataskan pandangan ke arah tempat sujudnya; kerana pandangan yang terpesong ke tempat lain akan diikuti oleh hati.
  • Tidak solat dalam keadaan sibuk dengan hal yang lain seperti keinginan untuk makan atau minum, atau dalam keadaan menahan diri daripada kencing atau buang air besar.

Kebanyakan para ulama telah bersepakat bahawa solat adalah sah walaupun ada gangguan was-was, namun ia akan disertai dengan kurangnya pahala dan ganjaran. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/83)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami nasihatkan supaya kita menginsafi diri kita untuk menjadikan solat kita khusyuk dan sempurna agar tidak melakukan semata-mata tanpa diberi pahala oleh Allah SWT. Sesungguhya khusyuk adalah rahsia yang agung dalam solat. Justeru, solat tanpa khusyu’ sama seperti badan tanpa roh. Dengan kadar kesempurnaan khusyuk, maka sempurnalah pahala. Sebaliknya, siapa yang sentiasa dilalaikan dengan berfikir dalam urusan dunia pada masa solatnya maka, solatnya tetap sah dan tidak perlu diulang tetapi kurang dan lemah nilai ibadah solatnya itu.

Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita berusaha menghasilkan khusyuk dalam solat dan mengambil sebarang faktor dan sebab yang membawa khusyuk. Sentiasa bertaubat dan beristighfar dan mbersungguh-sungguh dalam berdoa. Semoga Allah kurniakan kepada kita hati yang khusyuk dan amalan yang diterima.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

 

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H