#3856: Adakah Wanita Boleh Memohon Fasakh Sekiranya Dikahwini Tanpa Keizinannya?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya sekiranya seorang bapa menikahkan anaknya tanpa izin. Dia tidak suka dan tidak redha dengan pernikahan tersebut disebabkan sebab-sebab tertentu, adakah boleh baginya memohon fasakh ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Nikah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud sebuah akad (perjanjian) yang mengandungi lafaz ijab dan kabul yang menghalalkan pasangan lelaki dan perempuan untuk melakukan persetubuhan.

Perkataan nikah berasal dari perkataan Arab (نَكَحَ يَنْكِحُ نَكْحاً ونِكَاحاً) yang bermaksud bernikah dan perkataan (الاخْتِلَاطُ) yang bermaksud bercampur. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/34)

Dari istilah syarak, nikah ialah suatu akad yang menghalalkan istimta’ (bersetubuh atau berseronok-seronok) di antara suami isteri dengan cara yang dibenarkan oleh syarak. Masyarakat arab menggunakan perkataan nikah dengan makna akad yang juga membawa maksud persetubuhan serta berseronok-seronok. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, 2/671)

Lafaz nikah ada disebut di dalam firman Allah SWT:

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain)…”

(Surah al-Nisa’: 3)

Dalam ayat ini, Allah telah mensyariatkan keharusan pernikahan untuk seluruh umat Islam malah menggalakkannya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 16/125)

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Pernikahan sememangnya dianjurkan dalam Islam dengan syarat mestilah berlandaskan kepada syariah yang telah ditetapkan. Pernikahan yang sah dan sempurna adalah pernikahan yang memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang diletakkan syara’. Terdapat juga beberapa jenis pernikahan yang dilarang dalam Islam seperti nikah mut’ah (yang diamalkan pengikut ajaran Syiah), nikah muaqqat (nikah kontrak) dan lain-lain. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiah, 41/325)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan seorang wali sepatutnya mengambil inisiatif untuk mendapatkan persetujuan anak perempuannya sebelum menguruskan perkahwinannya. Ini dilakukan dengan tujuan untuk menjaga kemaslahatan anak tersebut dan mengelakkan kemungkinan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini dalam rumahtangganya. Dalam konteks ini, anak perempuan yang akan memulakan perjalanan rumahtangga bersama pasangannya seharusnya diberi hak untuk memilih pasangan yang sepadan dan seiring dengan beliau. Peranan wali adalah untuk membantu dalam proses perkahwinan anak dan memastikan bahawa pilihan pasangan itu adalah selaras dengan kepentingan dan kemaslahatan anak. Namun, dalam situasi yang kurang sesuai, wali juga mempunyai kuasa untuk melarang perkahwinan tersebut.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahaawa beliau berkata:

أَنَّ جَارِيَةً بِكرًا أَتِتِ النَّبِيَّ ﷺ فَذَكَرَتْ أَنَّ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهَِيَ كَارِهةٌ، فَخَيَّرَهَا

Maksudnya: Hamba perempuan yang masih dara menemui Nabi SAW dan menceritakan bahawa ayahnya telah menikahkan diri padahal dia tidak menyukainya. Maka Nabi SAW memberikannya hak untuk memilih.

Riwayat Ahmad (2469), Abu Dawud (2096) dan Ibn Majah (1875)

Hadith ini menunjukkan bahawa  seorang wanita yang memahami manfaat perkahwinan tidak boleh dipaksa untuk berkahwin, sama ada oleh bapanya atau oleh wali-wali lainnya. Keputusan untuk berkahwin adalah dalam tangannya, walaupun dia masih bujang. Perkahwinan yang tidak dijalankan mengikut syara’, adalah wajib untuk dibatalkan, dan yang membatalkannya adalah Hakim Syari’. Oleh yang demikian, wanita tidak boleh dipaksa untuk tinggal bersama suami yang tidak diredhainya, dan permintaannya untuk membubarkan perkahwinan perlu dipenuhi sekiranya dia memohon. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/277)

Begitu juga isu ini boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الثَّيِّبُ أَحَقُّ بنَفْسِها مِن وَلِيِّها، والْبِكْرُ يَسْتَأْذِنُها أَبُوها في نَفْسِها

Maksudnya: Seorang janda itu lebih berhak memilih suami daripada walinya manakala perempuan yang masih dara hendaklah bapa meminta izin kepadanya

Riwayat Muslim (1421)

Dalam isu ini Syeikh Ibrahim Ali Syeikh menyatakan bahawa: Antara syarat-syarat sah dalam perkahwinan adalah kerelaan, bahkan jika wanita itu  masih bujang. Bapa tidak boleh memaksa wanita dalam hal ini, dan dalil-dalil bagi pendapat ini adalah jelas. (Lihat Fatawa wa Rasail Samahah al-Syeikh Muhammad Bin Ibrahim Ali Syeikh,10/74 )

Begitu juga Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa: Apa yang sahihnya ialah bahawa seorang bapa tidak memiliki hak untuk memaksa anak perempuannya yang telah dewasa dan berakal untuk berkahwin dengan seseorang yang tidak disetujuinya. Jika dia tidak boleh memaksa anaknya untuk menjual sesuatu harta miliknya, bagaimana dia boleh memaksa anaknya untuk memberikan dirinya kepada lelaki yang tidak disetujui ? Bahkan, mudarat yang timbul akibat pemaksaan ini lebih besar daripada mudarat yang timbul daripada harta. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram,5/277)

Telah dinyatakan dalam Mausu’ah Fiqh al-Islami bahawa: Tidak dibenarkan bagi sesiapa memaksa anak perempuannya yang telah dewasa dan berakal untuk berkahwin dengan seseorang yang tidak disetujuinya. Tidak dibenarkan juga memaksa wanita untuk tinggal bersama suami yang tidak memuaskannya, dan wajib untuk memenuhi permintaannya jika dia memohon untuk membubarkan perkahwinannya. (Lihat Mausu’ah al-Fiqh al-islami, 4/23)

Justeru kami kami ingin menegaskan bahawa adalah tidak wajar bagi seorang wali untuk mengahwinkan anak perempuannya yang telah dewasa dan baligh, serta memiliki pemahaman tentang kepentingan dirinya, tanpa mendapatkan persetujuan dan keizinan daripadanya. Ini kerana tindakan tersebut boleh membawa  mudarat kepada rumahtangganya. Oleh itu, wanita yang dinikahkan tanpa persetujuan dan keizinan mereka mempunyai hak untuk memohon fasakh (pembubaran perkahwinan) melalui mahkamah sebagai langkah untuk menjaga kepentingan dan kemaslahatan diri mereka.”

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melakasanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a’lam.    

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H