#3858: Biografi Anas bin Malik

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kisah sahabat Nabi SAW bernama Anas bin Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Menjawab persoalan di atas, Anas bin Malik di mana nama penuh beliau ialah Anas bin Malik bin Nadhar bin Dhomdom bin Zaid bin Harom bin Jundub bin Amir bin Ghanam bin Adi bin al-Najar al-Khazraj. Ibunya bernama Ummu Sulaim yang berasal dari kaum Anshar. Beliau berasal dari kabilah Bani An Najjar yang tinggal di Madinah.

Beliau menjadi khadam kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun. Ibunya menghantarnya kepada Rasulullah SAW untuk menjadi pembantu beliau. Saat itu Anas baru sahaja berusia 10 tahun. Ibunya mengatakan kepada Nabi SAW: “Aku hadiahkan anakku kepadamu dan dia adalah anak yang pandai menulis.”

Ibunya memohon kepada Nabi SAW agar anaknya dijadikan sebagai pembantu beliau dan memohon untuk didoakan beliau. Bahkan Rasulullah SAW memanggilnya dengan panggilan Abu Hamzah, manakala ibunya ialah Ummu Sulaim RA dan Rasulullah SAW telah mendoakan kepada beliau:

اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ، وَأَطِلْ عُمُرَهُ وَبَارِكْ لَهُ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: “Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya, ramaikanlah anaknya, panjangkanlah umurnya, berkatilah padanya dan masukkanlah dia ke dalam syurga.”

Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (653), Ibn Sa’ad dalam al-Tabaqat al- Kubra (8451) dan Abu Ya’la (4236).

Dalam kitab al-Isobah, menyebut antara lainnya anak kandung dan cucu-cucunya, yang dimaqamkan saat Hajjaj menduduki kota Kufah sebanyak 100 orang. Sedangkan usia dan kesihatannya dia tidak pernah menderita sakit dan Allah SWT juga telah menganugerahkan kepadanya rezeki yang banyak.

Abu Hurairah berkata: “Saya tidak pernah melihat seorang sahabat pun yang mirip dengan solatnya Rasulullah SAW selain daripada Ibn Ummu Sulaim (Anas bin Malik)”.

Ibn Sirin berkata: “Anas adalah sahabat yang solatnya paling bagus, baik di rumah mahupun pada waktu safar.”

Imam Ahmad berkata: Anas RA telah meminta syafaat daripada Rasulullah SAW pada hari akhirat. Maka Rasulullah SAW menjawab: “Ya, pasti aku akan penuhi permohonanmu itu”. Anas bertanya lagi: “Di manakah aku perlu memohonnya di hari akhirat kelak, wahai Nabi Allah?”. Rasulullah SAW menjawab: “Mintalah padaku sesuatu yang pertama kamu minta padaku iaitu di atas sirat”. Tanya Anas lagi: “Jika aku tidak menemui engkau di situ?”. Jawab Rasulullah SAW: “Maka kalau kamu tidak menemuiku di sana bermakna aku berada di Mizan. Jika tidak menemuiku di Mizan, maka aku berada di Telaga, aku berada antara tiga tempat tersebut pada hari kiamat kelak”.

Ibn Jauzi menyebut bahawa Anas bin Malik meriwayatkan hadis daripada Nabi SAW sebanyak 2286 buah hadis dan di dalam Musnad Imam Ahmad sebanyak 2178 buah hadis daripada beliau.

Ketika Anas wafat, beliau berumur 107 tahun dan ada juga yang berpendapat beliau wafat pada usia 99 tahun. Al-Waqidi dan lainnya berkata: “Anas adalah sahabat Nabi SAW yang wafat paling akhir di Basrah”. Para ahli sejarah berselisih pendapat dalam menentukan tarikh kewafatan beliau, ada yang mengatakan beliau wafat pada tahun 90, 91, 92 Hijrah dan ada pula yang mengatakan pada tahun 93 Hijrah. Ini adalah yang masyhur menurut jumhur ulama’. Imam Ahmad berkata: “Anas bin Malik dan Jabir bin Zaid wafat bersamaan hari Jum’at pada tahun 93 Hijrah”. Jenazahnya dimandikan oleh tabi’in yang besar iaitu Muhammad bin Sirin. (Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 143-145)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”

Surah al-Baqarah (250)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H