#3863: Nilai Iman Sahabat R.Anhum

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah para sahabat mempunyai iman yang kental lagi kuat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Iman pada bahasa ialah al-tasdiq (membenarkan). Menurut Ibn Manzur, pengertian ini (al-tasdiq) telah disepakati oleh majoriti ilmuan Islam, seperti al-Asfahani, al-Qadhi Iyadh dan al-Tabari juga bersependapat bahawa makna iman dari sudut bahasa ialah membenarkan. Hal ini juga seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir bahawa iman pada bahasa ialah membenarkan atau semata-mata membenarkan. (Lihat Lisan al-’Arab, 3/141; Mufradat Alfaz al-Quran, hlm. 91)

Daripada Umar RA juga, beliau berkata:

بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ، إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ، وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنِ الْإِسْلَامِ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنِ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا» قَالَ: صَدَقْتَ. فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ! قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ الْإِيمَانِ. قَالَ: «أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ» قَالَ: صَدَقْتَ.

Maksudnya: “Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW pada suatu  hari,  tiba-tiba  datanglah  seorang  lelaki  yang  sangat  putih  pakaiannya  dan sangat hitam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda perjalanan jauh dan tidak ada seorang  pun  di antara  kami  yang  mengenalinya.  Sehinggalah  dia  duduk  di  hadapan Nabi SAW lalu merapatkan kedua lututnya kepada lutut Baginda, dan meletakkan kedua tapak tangannya ke atas pahanya, lalu berkata: ‘Wahai Muhammad, ceritakan kepadaku tentang Islam,’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Islam  adalah  engkau  bersaksi  bahawa  tidak  ada  tuhan  yang berhak  disembah  melainkan Allah,  dan  Nabi  Muhammad  adalah  utusan  Allah,  engkau  mendirikan  solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji jika mampu.’ Kemudian dia berkata:  ‘Anda berkata benar.’  Kami hairan, dia yang bertanya, dia pula yang membenarkan.

Kemudian dia bertanya lagi: ‘Ceritakan kepadaku tentang Iman.’ Lalu Baginda SAW bersabda:  ‘Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik dan yang buruk.’ Kemudian dia berkata: ‘Anda berkata benar.’

Riwayat Muslim (8) pada permulaan kitab al-Iman

Imam Ahmad berkata: “Iman adalah perkataan dan amalan, boleh bertambah dan berkurang. (Lihat al-Sunnah, 1/207) Imam al-Bukhari dalam awal kitab sahihnya menyebut bahawa: “Iman itu perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan boleh berkurang.” Kemudian beliau berkata lagi: “Cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah sebahagian daripada iman.” (Lihat Sahih al-Bukhari, dalam kitab al-Iman).

Ibn ‘Abd al-Bar dalam kitabnya al-Tamhid berkata: “Iman menurut ulama’ Ahlus Sunnah di mana mereka adalah Ahlul Athar daripada ulama fiqh dan hadith, – mereka telah bersepakat, iman itu perkataan dan perbuatan dan tidak ada amalan kecuali dengan niat. Iman menurut Ahlus Sunnah bertambah dengan ketaatan dan berkurang kerana maksiat. Segala ketaatan termasuk bahagian daripada iman.” (Lihat al-Tamhid, 9/238)

Ibn Kathir berkata: Iman menurut pengertian Syar’i tidak wujud kecuali dengan adanya keyakinan (i’tiqad), perkataan dan perbuatan. Demikian definisi yang disampaikan oleh kebanyakan ulama. Bahkan Imam al-Syafi’i dan Imam Ahmad bin Hanbal serta Abu ‘Ubaid, serta ulama yang lain juga bersepakat bahawa iman adalah perkataan dan perbuatan, boleh bertambah dan berkurang.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim pada tafsiran surah al-Baqarah, ayat 2).

Syeikh Abd al-Rahman Habannakah menyatakan bahawa iman adalah membenarkan dengan hati atas setiap apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah wa Ususuha, hlm. 80)

Justeru, iman menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah adalah ikrar dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan anggota badan.

Kalaulah tidak kerana iman kepada Allah SWT yang terpahat kuat di hati para sahabat, ditambah pula tunduk dan yakin kepada-Nya, nescaya kalimat-kalimat al-Quran ini akan lenyap bagai ditiup angin tanpa meninggalkan sebarang kesan di dalam jiwa dan pemikiran mereka.

Sayyid Sabiq berkata: “Keimanan yang dimiliki oleh sebahagian sahabat-sahabat Baginda SAW itu mencapai satu tingkat yang dapat kita katakan: “Andaikata tabir pun disingkapkan, tidaklah bertambah keyakinanku.” Maksudnya ialah sudah penuh dan ada di puncak yang tertinggi. Maka sekalipun tabir keghaiban terbuka, keyakinan itu tidak dapat ditambah lagi.” (Lihat Aqa’id al-Islamiyyah, Darul Kitab al-Arabi-Beirut, hlm. 12)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dalam al-Mu’jam al-Kabir oleh Harith bin Malik Anshari RA terdapat suatu gambaran yang jelas untuk memberi pengertian kepada kita betapa hebatnya keimanan yang dimiliki oleh sebahagian sahabat Nabi SAW. Inilah gambaran yang cemerlang sekali untuk keimanan seseorang.

Dalam sebuah hadis, diriwayatkan bahawa Nabi SAW pernah bertanya kepada seorang lelaki Ansar dan dikatakan beliau ialah Harithah bin al-Nu’man RA:

كَيْفَ أَصْبَحْتَ يَا حَارِثَةُ؟ فَقَالَ: أَصْبَحْتُ مُؤْمِنًا حَقًّا، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ، أُنْظُرْ مَا تَقُولُ. فَإِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ حَقِيقَةً. فَمَا حَقِيقَةُ إِيمَانِكَ؟ قَالَ حَارِثَةُ: عَزَفَتْ نَفْسِي عَنِ الدُّنْيَا، فَأَسْهَرْتُ لَيْلِي، وَأَظْمَأْتُ نَهَارِي. وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى عَرْشِ رَبِّي بَارِزًا. وَكَأَنيِّ أَنْظُرُ إِلَى أَهْلِ الْجَنَّةِ يَتَزَاوَرُونَ فِيهَا. وَكَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى أَهْلِ النَّارِ يَتَضَاغَوْنَ فِيهَا. فَقاَلَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ: يَا حَارِثَةُ! عَرَفْتَ فَالْزَمْ. وَفِي رِوَايَةٍ: عَبْدٌ نَوَّرَ اللَّهُ قَلْبَهُ.

Maksudnya: “Bagaimana kamu berpagi hari ini, wahai Harithah?” Jawab beliau: “Aku berpagi dalam keadaan benar-benar beriman.” Renungilah apa yang kamu ucapkan itu, kerana setiap sesuatu mempunyai hakikat. Maka apakah hakikat imanmu?” Tanya Rasulullah SAW.‘ “Jiwaku berpaling dari dunia (dan tidak memandang kepadanya). Jadi aku berjaga malam (untuk qiamullail), dan berdahaga pada siang hari (dengan berpuasa). Seolah-olah aku melihat ‘Arasy Tuhanku secara zahir dan jelas. Seolah-olah aku melihat ahli syurga saling menziarahi di antara satu sama lain di dalam syurga. Seolah-olah aku melihat ahli neraka bertempik-tempik kesakitan di dalamnya, jawab beliau. ‘Wahai Harithah! Kamu telah mengetahui hakikat iman, maka sentiasalah berkeadaan demikian, balas Rasulullah SAW. Dalam satu riwayat lain, baginda bersabda: “Kamu seorang hamba yang hatinya telah diterangi oleh Allah SWT (dengan cahaya-Nya).”

Riwayat al-Bazzar (6948); Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (74); al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (10106) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (3/266). Hadis ini adalah dha’if. Menurut al-Haithami dalam Majma’ alZawa’id (no. 190), hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar dan di dalam sanadnya terdapat perawi bernama Yusuf bin ‘Athiyyah yang tidak boleh dijadikan hujah.

(Lihat Syarah Hadis 40, hlm. 226)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Surah Ali Imran (8)

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H