#3873: Islam Mengiktiraf al-Qasamah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca bahawa al-qasamah ini sebenarnya telah dilakukan sebelum pensyari‘atan Islam lagi, kemudian selepas pensyari‘atan Islam, hukum ini tetap diamalkan oleh kita. Adakah ini bermakna Islam mengiktiraf al-qasamah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, al-Qasamah (القَسَامَةُ) merujuk kepada sumpah yang dilakukan secara berulang kali apabila dijumpai seorang mangsa bunuh di suatu kawasan, tetapi tidak dikenal pasti pembunuhnya. (Lihat al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 77; (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/48)

Telah disepakati, apabila dijumpai seseorang mangsa pembunuhan dan tidak diketahui pembunuhnya, maka ketika itu disyari‘atkan al-Qasamah ke atas keluarga mangsa jika adanya petunjuk. (Lihat Fath al-Qadir, 8/383; Hasyiah Ibn ‘Abidin 6/668; Tuhfah al-Muhtaj, 9/51; Nihayah al-Muhtaj, 7/387; Kassyaf al-Qina‘, 13/462)

Berbalik kepada persoalan saudara, benar bahawa al-Qasamah ini telah wujud hukumnya sejak zaman Jahiliyyah lagi. Imam al-Bukhari telah meletakkan satu bab khusus tentang ini di dalam kitab Sahih beliau yang bertajuk: “Bab: al-Qasamah  pada zaman Jahiliyyah.”

Beliau kemudian memulakan bab tersebut dengan sebuah riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

إِنَّ أَوَّلَ قَسَامَةٍ كَانَتْ فِي الجَاهِلِيَّةِ، لَفِينَا بَنِي هَاشِمٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Qasamah yang pertama sekali berlaku pada zaman Jahiliyah, terjadi pada kami Bani Hasyim.”

Peristiwa ini juga dikisahkan dalam hadith yang panjang ini, seorang lelaki daripada Bani Hasyim, pernah diupah oleh seorang lelaki Quraisy daripada qabilah lain. Maka dia bertolak bersamanya untuk (menjaga) untanya. Dikisahkan bahawa lelaki dari Bani Hasyim ini dibunuh dengan kayu oleh lelaki Quraisy tersebut kerana bergaduh tentang tali unta. Sebelum lelaki dari Bani Hasyim ini mati, dia sempat berpesan kepada seorang lelaki Yaman yang lalu di tempat kejadian untuk menuntut pembelaan bagi pihaknya. Ibn ‘Abbas R.A berkata:

قَالَ: أَمَرَنِي فُلاَنٌ أَنْ أُبْلِغَكَ رِسَالَةً، أَنَّ فُلاَنًا قَتَلَهُ فِي عِقَالٍ. فَأَتَاهُ أَبُو طَالِبٍ فَقَالَ لَهُ: اخْتَرْ مِنَّا إِحْدَى ثَلاَثٍ: إِنْ شِئْتَ أَنْ تُؤَدِّيَ مِائَةً مِنَ الإِبِلِ فَإِنَّكَ قَتَلْتَ صَاحِبَنَا، وَإِنْ شِئْتَ حَلَفَ خَمْسُونَ مِنْ قَوْمِكَ إِنَّكَ لَمْ تَقْتُلْهُ، فَإِنْ أَبَيْتَ قَتَلْنَاكَ بِهِ، فَأَتَى قَوْمَهُ فَقَالُوا: نَحْلِفُ، فَأَتَتْهُ امْرَأَةٌ مِنْ بَنِي هَاشِمٍ، كَانَتْ تَحْتَ رَجُلٍ مِنْهُمْ، قَدْ وَلَدَتْ لَهُ، فَقَالَتْ: يَا أَبَا طَالِبٍ، أُحِبُّ أَنْ تُجِيزَ ابْنِي هَذَا بِرَجُلٍ مِنَ الخَمْسِينَ، وَلاَ تُصْبِرْ يَمِينَهُ حَيْثُ تُصْبَرُ الأَيْمَانُ، فَفَعَلَ، فَأَتَاهُ رَجُلٌ مِنْهُمْ فَقَالَ: يَا أَبَا طَالِبٍ أَرَدْتَ خَمْسِينَ رَجُلًا أَنْ يَحْلِفُوا مَكَانَ مِائَةٍ مِنَ الإِبِلِ، يُصِيبُ كُلَّ رَجُلٍ بَعِيرَانِ، هَذَانِ بَعِيرَانِ فَاقْبَلْهُمَا عَنِّي وَلاَ تُصْبِرْ يَمِينِي حَيْثُ تُصْبَرُ الأَيْمَانُ، فَقَبِلَهُمَا، وَجَاءَ ثَمَانِيَةٌ وَأَرْبَعُونَ فَحَلَفُوا، قَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ: فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ، مَا حَالَ الحَوْلُ، وَمِنَ الثَّمَانِيَةِ وَأَرْبَعِينَ عَيْنٌ تَطْرِفُ

Maksudnya: “Lelaki Yaman itu berkata: ‘Wahai kaum Quraisy.’ Mereka menjawab: ‘Inilah Quraisy.’ Dia berkata: ‘Wahai Bani Hasyim.’ Mereka menjawab: ‘Inilah Bani Hasyim.’ Dia berkata: ‘Di manakah Abu Talib?’ Mereka berkata: ‘Ini Abu Talib.’ Lelaki Yaman itu berkata: ‘Fulan memerintahkanku untuk menyampaikan pesan kepadamu, bahawa si fulan telah membunuhnya kerana seutas tali.’ Abu Talib datang kepada orang itu (yang membunuh) dan berkata: ‘Pilihlah daripada kami salah satu daripada tiga perkara; jika engkau mahu, engkau boleh membayar 100 ekor unta kerana sesungguhnya engkau telah membunuh keluarga kami. Sekiranya engkau mahu, maka hendaklah 50 orang dari kaummu bersumpah bahawa engkau tidak membunuhnya. Dan sekiranya engkau mengabaikannya, nescaya kami akan membunuhmu kerananya (kerana membunuh keluarga kami).’ Lelaki tersebut pergi kepada kaumnya lalu mereka datang dan berkata: ‘Kami akan bersumpah.’ Kemudian dia (Abu Talib) didatangi oleh seorang wanita  daripada Bani Hasyim, yang berada di bawah (merupakan isteri kepada) salah seorang lelaki di antara mereka (keluarga pembunuh), dan telah melahirkan anak untuknya. Dia (wanita itu) berkata: ‘Wahai Abu Talib, aku ingin engkau melepaskan anakku ini digolongkan sebagai salah seorang di antara 50 orang itu, dan janganlah engkau menuntut sumpahnya sepertimana sumpah dituntut (di antara Kaabah dan Maqam Ibrahim).’ Dia (Abu Talib) pun melakukannya (membenarkannya). Kemudian datang lagi seorang lelaki dari kaum itu dan berkata: ‘Wahai Abu Talib, engkau menginginkan 50 orang lelaki untuk bersumpah sebagai ganti 100 ekor unta, di mana setiap lelaki itu menanggung dua ekor unta. Ini dua ekor unta, ambillah keduanya dariku, dan janganlah engkau menuntut sumpah sepertimana sumpah dituntut (di antara Kaabah dan Maqam Ibrahim).’ Dia (Abu Talib) pun menerima kedua unta itu. Lalu datang 48 orang dan bersumpah. Ibn Abbas berkata: ‘Demi Dia yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah berlalu satu tahun, dalam keadaan masih ada mata yang berkelip di antara 48 orang itu (yakni kesemuanya mati kerana sumpah dusta yang mereka lakukan).’

Riwayat al-Bukhari (3845)

Adapun pembenaran hukum ini untuk diaplikasikan selepas kedatangan Islam adalah jelas berdasarkan Sunnah Taqririyyah, seperti yang thabit dalam sebuah riwayat dari seorang lelaki Ansar, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ أَقَرَّ القَسَامَةَ علَى مَا كانَتْ عَلَيْهِ فِي الجَاهِلِيَّةِ، وَقَضَى بِهَا رَسُولُ اللهِ ﷺ بَيْنَ نَاسٍ مِنَ الأَنْصَارِ، فِي قَتِيلٍ ادَّعَوْهُ عَلَى اليَهُودِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW mempersetujui dengan al-Qasamah yang dibuat semasa zaman Jahiliyyah, dan Rasulullah SAW berhukum dengannya di kalangan masyarakat Ansar semasa mereka mendakwa seorang lelaki dibunuh oleh orang Yahudi.”

Riwayat Muslim (1670)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam mengatakan, hadith tersebut menunjukkan bahawa al-Qasamah telah dipersetujui sebagaimana adanya, dan Rasulullah SAW telah berhukum dengannya di kalangan orang-orang Ansar. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/168)

Dan kisah Rasulullah SAW berhukum dengan al-Qasamah ini warid dalam hadith  yang panjang daripada Sahl bin Abi Hathmah al-Ansari, katanya:

أَنَّ عَبْدَ اللهِ بْنَ سَهْلٍ وَمُحَيِّصَةَ خَرَجَا إِلَى خَيْبَرَ مِنْ جَهْدٍ أَصَابَـهُمْ، فَأُخْبِرَ مُحَيِّصَةُ أَنَّ عَبْدَ اللهِ قُتِلَ، وَطُرِحَ فِي فَقِيرٍ أَوْ عَيْنٍ، فَأَتَى يَهُودَ، فَقَالَ: أَنْتُمْ – وَاللَّهِ – قَتَلْتُمُوهُ. قَالُوا: مَا قَتَلْنَاهُ وَاللَّهِ. ثُـمَّ أَقْبَلَ حَتَّى قَدِمَ عَلَى قَوْمِهِ فَذَكَرَ لَهُمْ، وَأَقْبَلَ هُوَ وَأَخُوهُ حُوَيِّصَةُ – وَهُوَ أَكْبَرُ مِنْهُ – وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ سَهْلٍ، فَذَهَبَ لِيَتَكَلَّمَ، وَهُوَ الَّذِي كَانَ بِخَيْبَرَ، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ لِمُحَيِّصَةَ: كَبِّرْ كَبِّرْ، يُرِيدُ الْسِّنَّ. فَتَكَلَّمَ حُوَيِّصَةُ، ثُـمَّ تَكَلَّمَ مُحَيِّصَةُ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: إِمَّا أَنْ يَدُوا صَاحِبَكُمْ، وَإِمَّا أَنْ يُؤْذِنُوا بِحَرْبٍ. فَكَتَبَ رَسُولُ اللهِ ﷺ إِلَيْهِمْ بِهِ. فَكُتِبَ: مَا قَتَلْنَاهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ لِحُوَيِّصَةَ وَمُحَيِّصَةَ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ: أَتَحْلِفُونَ، وَتَسْتَحِقُّونَ دَمَ صَاحِبِكُمْ؟ قَالُوا: لَا. قَالَ: أَفَتَحْلِفُ لَكُمْ يَهُودُ؟ قَالُوا: لَيْسُوا بِـمُسْلِمِينَ. فَوَدَاهُ رَسُولُ اللهِ ﷺ مِنْ عِنْدِهِ مِائَةَ نَاقَةٍ حَتَّى أُدْخِلَتِ الْدَّارَ

Maksudnya: “Bahawa ‘Abdullah bin Sahl dan Muhayyisah telah keluar menuju ke Khaibar disebabkan kesulitan hidup yang menimpa mereka. Lalu Muhayyisah dikhabarkan bahawa ‘Abdullah telah dibunuh dan dicampak ke dalam sebuah lubang atau (ke dalam) mata air. Kemudian dia pergi kepada sekumpulan Yahudi lalu berkata: ‘Demi Allah, kamulah yang telah membunuhnya.’ Mereka berkata: ‘Kami tidak membunuhnya, demi Allah.’ Kemudian dia pulang sehinggalah dia sampai kepada kaumnya lalu dia memberitahu hal tersebut kepada mereka. Dan dia datang bersama saudaranya Huwayyisah – saudaranya ini lebih tua darinya – dan ‘Abd al-Rahman bin Sahl. Dia mula berbicara, dan ketika itu dia sedang berada di Khaibar. Namun Nabi SAW bersabda kepada Muhayyisah: ‘Dahulukan yang lebih tua, dahulukan yang lebih tua.’ Maksudnya, dari segi usia. Maka Huwayyisah berbicara dan kemudian Muhayyishah berbicara. Rasulullah SAW bersabda: ‘Sama ada mereka membayar diyah sahabat kalian atau diumumkan peperangan kepada mereka.’ Rasulullah SAW lalu menulis surat kepada mereka tentang hal itu. Maka mereka pun membalas: ‘Kami tidak membunuhnya.’ Maka Rasulullah SAW bersabda kepada Huwayyisah dan Muhayyisah serta ‘Abd al-Rahman: ‘Adakah kalian ingin bersumpah dan kalian berhak mendapatkan bayaran darah sahabat kalian?’ Mereka berkata: ‘Tidak.’ Baginda bersabda: ‘Adakah orang-orang Yahudi akan bersumpah untuk kalian?’ Mereka berkata: ‘Mereka itu bukan orang Islam.’ Maka Rasulullah SAW membayarkan diyah daripada dirinya sebanyak seratus ekor unta sehinggalah dimasukkan ke dalam kawasan rumah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (7192) dan Muslim (1669)

Maka kami katakan, benar semamangnya terdapat hukum yang dahulunya telah digunakan pada zaman Jahiliyyah, kemudian Islam datang dan memperakui hukum tersebut, antaranya adalah hukum al-Qasamah seperti yang kami sebutkan penghujahannya di atas.

Semoga perkongsian ringkas ini dapat memberikan manfaat kepada kita dalam mengetahui asal usul hukum fiqh itu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H