#3875: Mencium dengan Tongkat Ketika Istilam Rukun

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah mencium dengan tongkat ketika istilam rukun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkataan Istilam (اسْتِلامُ) berasal daripada perkataan al-Silam (السِّلام) yang bermaksud batu. Istilam berasal daripada istalama (اِسْتَلَمَ) yang mengikut wazan ifta’ala (افْتَعَلَ) yang bermaksud ‘menyentuh batu.’

Menurut al-Qutaibi, Istilam bermaksud penghormatan. Kata beliau: “Menurutku, ‘ اسْتِلَامِ الْحَجَرِ’ berasal daripada perkataan al-Silam (السِّلام), yang mengikut wazan ‘افْتِعالٌ’ yang membawa maksud penghormatan. Istilam Hajar Aswad adalah menyentuhnya menggunakan tangan dengan tujuan supaya diterimanya salam dan mengharapkan berkat dengan Hajar Aswad. (Lihat Lisan al-’Arab, 12/289)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abu al-Tufail R.A, katanya:

رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- يطُوفُ بالبيْتِ، وَيَسْتَلِمُ الرُّكْنَ بمِحْجَنٍ مَعَهُ، ويُقَبِّلُ المِحْجَنَ

Maksudnya: “Aku melihat Rasulullah SAW melakukan tawaf (mengelilingi) Baitullah dan Baginda istilam rukun dengan menggunakan tongkat yang kepalanya bengkok (mihjan) dan mencium tongkat itu.”

Riwayat Muslim (1275)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Ketika jemaah haji wada’ bersesakan, Nabi SAW melakukan tawaf di atas untanya dan istilam Hajar Aswad dengan tongkatnya dan memberikan isyarat dengan tongkat itu ke arah Hajar Aswad.

Dalam hadith, menunjukkan sunat untuk istilam Hajar Aswad. Sekiranya sukar untuk istilam dengan tangan, maka beristilam dengan apa yang ada pada tangannya, dengan syarat hal itu tidak menyakiti orang-orang yang sedang tawaf.

Dikatakan dalam Hasyiyah: “Adapun memberi isyarat kepada Hajar Aswad dilakukan jika sukar untuk menciumnya atau mengusapnya dengan tangan, atau yang lainnya adalah satu kesepakatan.”

Adapun rukun Yamani itu tidak ada ketetapan dari Nabi SAW bahawa Baginda memberi isyarat kepadanya. Sekiranya Baginda melakukannya, maka pastilah hal itu diriwayatkan. Sunnah adalah meninggalkan apa yang Nabi SAW tinggalkan, kerana Sunnah itu sebagaimana terdapat dalam perbuatannya juga dengan meninggalkannya.

Syeikh Taqiyuddin berkata: “Nabi hanya istilam dua rukun Yamani tanpa dua rukun Syami. Nabi SAW hanya istilam dua rukun Yamani secara khusus kerana keduanya berdasarkan aturan-aturan dari Nabi Ibrahim, sedangkan dua rukun yang lain (Syami) terdapat dalam baitullah itu, dikatakan oleh Nabi SAW.

Inilah sepertimana dijelaskan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/147) oleh Syeikh Abdullah al-Bassam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H