#3876: Tawaf di Atap Mas’a Kerana Ramai Orang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah melakukan Tawaf di atap mas’a disebabkan ramainya orang?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tawaf  merupakan salah satu daripada rukun haji dan umrah. Terdapat pelbagai jenis tawaf seperti Tawaf Ifadhah, Tawaf Umrah, Tawaf Wida’ dan tawaf sunat.

Menurut istilah syara’ tawaf melakukan pusingan mengelilingi al-bait al-haram. Ibadah tawaf dilakukan dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan berserta rukun dan wajibnya. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj, 29)

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 437)

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa nabi Muhammad SAW bersabda:

مَن طافَ بِهذا البيتِ أُسْبُوعًا فأَحْصاهُ كان كَعِتْقِ رَقَبَةٍ وسَمِعْتُهُ يَقولُ لا يَضَعُ قَدَمًا ولا يَرْفَعُ أُخْرى إلّا حَطَّ اللهُ عنْهُ خَطِيئَتَهُ وكُتِبَ له بِها حَسنةٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tawaf tujuh keliling  lalu dia menghitungnya, maka pahalanya seperti memerdekakan hamba. Aku juga mendengar beliau bersabda, ‘Tidaklah seorang meletakkan satu kaki dan mengangkat yang lainnya kecuali Allah akan menghapus kesalahannya dan menulisnya menjadi satu kebaikan.’

Riwayat al-Tirmizi (959)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan Resolusi Hai’ah Kibar al-’Ulama’ seperti berikut:

“Setelah melakukan pengkajian, Majlis berpendapat secara majoriti bahawa tidak boleh melakukan tawaf di atas bahagian dari permukaan tempat Sa’ie kerana tempat Sa’ie itu dianggap sebagai kawasan bahagian luar Masjid al-Haram, sebaliknya ia adalah sebuah masy’ar yang mempunyai hukum tersendiri dan di dalamnya dilakukan suatu ibadah.

Tawaf itu hanya dilakukan di Masjid al-Haram berdasarkan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

Namun demikian, Majlis telah menelaah surat ketua umum untuk masalah Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi (no. 1/32, 15/3/1421H) dan salinannya yang disiapkan oleh jawatankuasa kejuruteraan, persatuan jurutera dan kepimpinan umum bagi masalah al-Masjid al-Haram dan al-Masjid al-Nabawi, mengandungi penemuan penyelesaian untuk masalah ini.

Hal itu dengan cara memperluas atap al-Masjid al-Haram dari arah Timur, kemudian halaman tempat tawaf melalui penambahan 13 meter sampai ke tempat jalan yang sempit agar keluasan tempat jalan itu menjadi genap 20 meter. Ini memerlukan adanya tapak baharu dari tanah sampai ke permukaan yang membenamkan bangunan lama tanah al-Haram pada bahagian tersebut.

Majlis bersetuju pendapat jawatankuasa kejuruteraan yang disebutkan di atas kerana di dalamnya terdapat maslahat umum bagi orang-orang yang melakukan tawaf, iaitu orang-orang yang mengerjakan haji dan umrah, dan melakukan tawaf di luar al-Masjid al-Haram adalah tidak dibolehkan.

Ini juga sepertimana dinyatakan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/148) oleh Syeikh Abdullah al-Bassam.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 26 Oktober 2023 bersamaan 11 Rabiulakhir 1445 H