#3880: Cara Nabi SAW Melontar Jamrah Aqabah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara Nabi SAW melontar Jamrah al-’Aqabah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith riwayat daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Selain itu, terdapat juga hadith yang diriwayatkan oleh  Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (1888) dan al-Tirmizi  (902). Hadith ini dikatakan sahih oleh al-Tirmizi dan juga telah ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Secara umumnya, melontar di Jamrah al-‘Aqabah atau Jamrah al-Kubra termasuk dalam amalan yang disyariatkan di Mina pada hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah. Menurut Imam al-Nawawi, masuknya waktu melontar (di Jamrah al-Kubra), bercukur dan tawaf separuh malam dari malam raya dan waktu melontar kekal hingga tenggelamnya matahari. Namun, ada pendapat menyatakan, ia kekal hingga terbitnya fajar pada malam pertama daripada hari-hari tasyriq.

Dinyatakan dalam al-Hasyiah dan apa yang disahihkan di sini sama seperti dalam al-Raudhah iaitu kekalnya waktu melontar hingga tenggelamnya matahari. Dikehendaki di sini adalah waktu pilihan (ikhtiyar). Sekiranya tidak, waktu melakukannya tidak akan terluput melainkan dengan hari terakhir daripada hari-hari tasyriq. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah wa ‘alaihi al-Ifsah ‘ala Masa’il al-Idhah ‘ala Mazahib al-A’immah al-Arba‘ah wa Ghairihim, hlm. 311-312).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya:

 أَنَّهُ جَعَلَ اَلْبَيْتَ عَنْ يَسَارِهِ، وَمِنًى عَنْ يَمِينِهِ، وَرَمَى الْجَمْرَةَ بِسَبْعِ حَصَيَاتٍ، وَقَالَ: هَذَا مَقَامُ اَلَّذِي أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ سُورَةُ اَلْبَقَرَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menjadikan Baitullah berada di sisi kirinya dan Mina berada di sisi kanannya, dan Baginda melontar jamrah dengan tujuh batu kerikil lalu bersabda, “Ini adalah tempat di mana surah al-Baqarah diturunkan.”

Riwayat al-Bukhari (1749) dan Muslim (1296)

Berdasarkan hadith ini, terdapat beberapa pengajaran, antaranya:

  • Sifat melontar jamrah aqabah yang utama adalah menjadikan kota Makkah berada di sebelah kiri dan kota Mina berada di sebelah kanan dari dasar lembah. Al-Qastalani berkata: “Jamrah dilontar dari arah bawah.” Para ulama’ bersepakat bahawa melontar dari sisi mana sahaja adalah dibolehkan.

  • Hikmahnya di sini – wallahu a’lam – sesungguhnya tempat melontar jamrah aqabah terletak di sebelah selatan dan ia tertutup dari arah utara oleh jamrah aqabah yang telah dihilangkan. Maka orang yang melontar sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Mas’ud adalah menghadap tempat melontar dan berada di tepi kaki bukit jamrah aqabah, serta ketika itu selamat daripada terkena batu-batu kerikil oleh orang yang melontar. Berbeza dengan kedua jamrah lain, di mana masing-masing arahnya mudah. Maka disunatkan menghadap kiblat ketika melontar keduanya seperti seluruh ibadah yang ada.

Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/166)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H