#3881: Kelebihan Jamrah Aqabah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kelebihan Jamrah Aqabah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith riwayat daripada  Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (1888) dan al-Tirmizi  (902). Hadith ini dikatakan sahih oleh al-Tirmizi dan juga telah ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Secara umumnya, melontar di Jamrah al-‘Aqabah atau Jamrah al-Kubra termasuk dalam amalan yang disyariatkan di Mina pada hari al-Nahr iaitu 10 Zulhijjah. Menurut Imam al-Nawawi, masuknya waktu melontar (di Jamrah al-Kubra), bercukur dan tawaf separuh malam dari malam raya dan waktu melontar kekal hingga tenggelamnya matahari. Namun, ada pendapat menyatakan, ia kekal hingga terbitnya fajar pada malam pertama daripada hari-hari tasyriq. (Lihat al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah, hlm. 311-312).

Syeikh al-Sya’rawi berkata: Kamu pergi untuk merejam syaitan di mana yang paling besar (Jamrah al-Aqabah/Kubra) terlebih dahulu kerana dia memperdayakan aqidah manusia. Ini kerana kemuncaknya terkhusus kepada syaitan yang besar kerana zuriat syaitan atau iblis dan juga syaitan dikalangan jin atau manusia pada adatnya tidak mampu untuk menguasai manusia dalam perkara kecil.” Seterusnya beliau berkata: “Rejaman ini sebagai simbolik semata-mata, ini kerana apabila kamu menang melawan syaitan seolah-olah kamu berkata, “Allah melaknat kamu hingga ke Hari Kiamat.” (Lihat al-Haj al-Akbar, hlm. 34)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Aqabah telah dihilangkan, di mana pada kaki bukitnya ada jamrah aqabah pada tahun 1377 H, untuk meluaskan jalan-jalan kota Mina. Setelah itu, kedudukan jamrah nampak menjadi jelas berada di dasar lembah yang dapat didatangi dari arah mana sahaja.

Berkenaan persoalan di atas, al-Qastalani berkata: “Jamrah Aqabah berbeza dengan dua jamrah yang lain dengan empat perkara, iaitu:

  • Secara khusus melontarnya pada hari Korban
  • Tidak berdiam di sisinya (ألا يوقف عندها)
  • Dilontarkan pada waktu Dhuha
  • Dilontarkan dari arah bawah merupakan ibadah sunat.

Inilah juga yang dinyatakan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/168).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H