#3883: Batu yang Sampai ke Tempat Melontar, Kemudian Keluar: Adakah Dikira Sah Melontar?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah dikira sah melontar, sekiranya batu yang sampai ke tempat melontar, kemudian keluar semula. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith riwayat daripada  Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (1888) dan al-Tirmizi  (902). Hadith ini dikatakan sahih oleh al-Tirmizi dan juga telah ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi.

Selain itu, hadith daripada Jabir R.A, bahawa beliau berkata:

رَمى رَسولُ اللهِ ﷺ الجَمْرَةَ يَومَ النَّحْرِ ضُحًى، وأَمّا بَعْدُ فَإذا زالَتِ الشَّمْسُ

Maksudnya : Rasulullah SAW melontar Jamrah pada hari Korban pada waktu Dhuha dan sesudah itu (11,12,dan 13 Zulhijjah) sesudah matahari tergelincir.

Riwayat Muslim (1299)

Hikmah dari melontar jamrah adalah untuk mengingati Allah SWT. Oleh kerana itu, disyariatkan untuk takbir setiap kali melontar setiap batu. Hal ini dilakukan agar Allah SWT yang dimuliakan dengan lisan sebagaimana kita memuliakanNya  di dalam hati. Melempar jamrah di tempat ini secara nyata menunjukkan makna yang masuk akal, iaitu pengabdian kepada Allah SWT. Manusia tidak mengerti makna yang masuk akal dan jelas dalam melempar batu  di tempat ini selain bahawa dia beribadah kepada Allah SWT dengan perintah, meskipun dia tidak memahami sepenuhnya maknanya. Ini adalah pengabdian dan tunduk kepada Allah Ta’ala, dan inilah kesempurnaan ketaatan kepada-Nya. Oleh kerana itu, dalam melempar jamrah terdapat pengagungan kepada Allah dengan lisan dan hati. (Lihat Majmu’ al-Fatawa Wa Rasail al-Uthaimin,24/499-500)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan Resolusi oleh Majlis Hai’ah Kibar al-’Ulama’ yang menyebut: “Diputuskan secara kesepakatan bahawa tidak boleh hukumnya membina telaga yang melebihi telaga yang telah ada sekarang. Telaga yang telah ada hendaklah tetap seperti semula. Perlu diketahui bahawa batu kerikil, apabila telah sampai pada telaga tersebut, maka lontaran sudah sah sekalipun ia tidak menetap, bergeser atau jatuh di luarnya.”

Inilah juga sepertimana dinukilkan dalam kitab Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/172)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H