Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah kelebihan bercukur berbanding bergunting?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Allah SWT berfirman:
لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّـهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ
Maksudnya: “Iaitu Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haram – insya Allah (pada masa Yang ditentukanNya) – Dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadah umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan dengan menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak perlu merasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ).”
(Surah al-Fath: 27)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Firman-Nya, ‘مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ’, yakni dalam keadaan mencukur seluruh rambutnya, dan sebahagian yang lain sebahagian rambutnya. Al-Tahliq (mencukur seluruh rambut) dan al-taqsir (memotong sebahagian rambut) untuk kaum lelaki, kedua-duanya boleh. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 13/421)
Daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ» قَالُوا: وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: «وَالْمُقَصِّرِينَ».
Maksudnya: Rasulullah SAW berdoa: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Para sahabat berkata: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda mengucapkan: “اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ»” (Ya Allah, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka).” Mereka berkata lagi: “Dan (doakanlah rahmat juga buat) orang-orang yang menggunting (rambut mereka), wahai Rasulullah.” Baginda menyambung: “Dan (rahmati jugalah wahai Allah) orang-orang yang menggunting (rambut mereka).”
Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَّ رَسُولَ الله -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- قَالَ: اللَّهُمَّ ارْحَمِ المُحَلِّقِيْنَ، قَالُوا: وَالمُقَصِّرِيْنَ، يَا رَسُولَ اللهِ! قَالَ فِي الثَّالِتَةِ: وَالمُقَصِّرِينَ,
Maksudnya: “Ya Allah, berilah kasih sayang kepada orang-orang yang mencukur rambutnya.” Mereka berkata: “(Bagaimana dengan) orang-orang yang memendekkan rambutnya wahai Rasulullah.” Baginda menjawab untuk kali yang ketiga: “Juga orang-orang yang memendekkan rambutnya.”
Riwayat al-Bukhari (1727) dan Muslim (1301)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Mencukur rambut lebih utama daripada sekadar memendekkannya. Hal ini kerana ia lebih sempurna dalam ibadah, lebih menunjukkan ketundukan dan kerendahan serta lebih membuktikan keikhlasan niat. Manakala bagi orang yang memendekkan rambut, maka masih ada rambut di kepalanya untuk menghias diri; berbeza dengan orang yang mencukur rambut, di mana ia menanggalkan semuanya demi Allah. Di sini, terdapat isyarat untuk melakukan tajarrud (menanggalkan semua bentuk kemewahan). Maka berdasarkan hal ini, sebahagian orang-orang yang soleh menyukai agar seseorang mencukur rambutnya ketika bertaubat. (Lihat Fath al-Bari, 9/391)
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata:
Al-Muhalliqin (المُحَلِّقِيْنَ): Al-Halq (الحَلْق) adalah menghilangkan rambut dari kepala.
Al-Muqassirin (المُقَصِّرِيْنَ): Al-Taqsir (التَّقْصِيْر) adalah memotong sebahagian rambut tanpa menghilangkan dari pangkalnya.
Maksudnya, mereka berkata, “Wahai Rasulullah, katakankan, “Ya Allah, berilah kasih sayang kepada orang-orang yang mencukur dan memendekkan rambut mereka.”
Antara pengajaran daripada hadith ini:
- Sesungguhnya mencukur rambut atau memotong sebahagian rambut merupakan salah satu manasik ibadah haji dan salah satu syiarnya.
- Pendapat yang rajih, bahawa mencukur atau penggantinya dengan memotong sebahagian rambut adalah merupakan salah satu kewajiban ibadah haji dan umrah.
- Yang lebih utama adalah mencukur rambut secara keseluruhan berbanding hanya memotong sebahagian sahaja bagi kaum lelaki. Ini adalah ijma’ ulama. Hal ini selama mana jemaah haji itu bukanlah yang melaksanakan haji Tamattu’, di mana sempitnya waktu untuk tumbuhnya rambut, maka dengan demikian, memotong sebahagian rambut menjadi lebih utama.
Demikian juga, merupakan ijma’ ulama bagi kaum wanita untuk memotong sebahagian rambut dan tidak mencukurnya habis, kerana hal tersebut diharamkan.
- Mencukur atau memotong sebahagian rambut adalah daripada manasik ibadah haji. Ini adalah pendapat tiga imam mazhab, iaitu Abu Hanifah, Malik dan Ahmad. Manasik adalah ibadah yang diberi pahala apabila dilakukan dan dikenakan denda apabila ditinggalkan. Allah SWT berfirman:
لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid al-Haram – insya Allah (pada masa yang ditentukan-Nya) – dalam keadaan aman (menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya.”
(Surah al-Fath: 27)
Allah SWT mengemukakan dan memberikan nikmat kepada mereka dengan hal tersebut, maka hal tersebut menunjukkan ibadah. Dan kerana Rasulullah SAW berdoa untuk orang-orang yang mencukur dan memotong sebahagian rambut serta mengutamakan mereka. Sekiranya hal tersebut bukan merupakan ibadah, maka mereka tidak berhak mendapatkan doa daripada Rasulullah SAW.
Disebut dalam al-Mughni: “Mencukur dan memotong sebahagian rambut adalah ibadah menurut mazhab Imam Ahmad. Ini adalah pendapat Imam Malik, Abu Hanifah dan Imam al-Syafi’i.”
- Mengutamakan mencukur habis rambut berbanding memotong sebahagian sahaja merupakan dalil bahawa salah satunya hendaklah dilakukan dan merupakan salah satu ibadah haji dan umrah. Ia bukan hanya menghalalkan diri daripada keharaman sahaja, sebagaimana dikemukakan oleh sebahagian ulama’. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/175)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW berkata kepada lelaki Ansar:
وأَمّا حِلاقُكَ رَأْسِكَ؛ فَلكَ بكلِّ شَعْرَةٍ حَلَقْتَها حسنةُ، وتُمْحى عَنْكَ بِها خَطِيئَةٌ
Maksudnya: “Mengenai cukur rambutmu (ketika tahallul), setiap helai rambut yang kamu cukur akan menjadi pahala untukmu, dan ia akan menghapuskan dosa-dosamu dengan setiap helai rambut yang ia cukur.” (Lihat al-Jami’ al-Sahih li al-Sunan wa al-Masanid, 7/303)
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H