#3886: Mengiringi Jenazah dan Caranya Jika Berjalan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah cara untuk mengiringi jenazah jika jenazah itu dibawa secara berjalan kaki; di hadapan jenazahnya atau dibelakangnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Selain itu, tidak dapat dinafikan lagi, solat jenazah mempunyai ganjaran yang besar bagi mereka yang mengerjakannya. Begitu juga mereka yang mengiringi jenazah ke tanah perkuburan. Hal ini adalah berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya:Sesiapa yang menghadiri solat jenazah sehingga ia disolatkan ke atasnya, maka baginya satu qirat. Sesiapa yang mengiringi jenazah sehingga ia dikebumikan, maka baginya dua qirat. Ditanyakan kepada Baginda SAW: ‘Apakah yang dimaksudkan dengan dua qirat? Baginda SAW menjawab: ‘Seperti dua gunung yang besar.’

Riwayat al-Bukhari (1325) dan Muslim (945)

Begitu juga hadith daripada riwayat Thauban R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ مَنْ صَلَّى عَلَى جَنَازَةٍ فَلَهُ قِيرَاطٌ فَإِنْ شَهِدَ دَفْنَهَا فَلَهُ قِيرَاطَانِ الْقِيرَاطُ مِثْلُ أُحُدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan solat jenazah maka dia akan mendapat pahala sebanyak satu qirat. Jika sekiranya dia menyaksikan pengebumian jenazah maka dia akan mendapat dua qirat, dan satu qirat itu ganjarannya sebesar bukit Uhud.”

Riwayat Muslim (946)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, di sana terdapat riwayat daripada Salim, daripada bapanya R.Anhuma bahawa:

أَنَّهُ رَأَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم وَأبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ، وَهُمْ يَمْشُونَ أمَامَ الجَنَازَةِ

Maksudnya: “Beliau melihat Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar R.Anhuma, dan mereka sedang berjalan di hadapan jenazah — ketika mengiringinya.

Riwayat Ahmad (4525); Abu Daud (3179); al-Tirmizi (1007); al-Nasa’i (1944); Ibn Majah (1482) dan Ibn Hibban (766)[1]

Syeikh Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam ketika mensyarahkan hadith di atas menyebutkan, di antara faedah yang dapat diambil daripadanya ialah galakan atau anjuran (sunat) untuk mengiringi jenazah sehingga dia dikebumikan. Hal ini kerana ia termasuk dalam hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim dan ia adalah sunnah secara sepakat para imam yang empat. Bahkan, kaum Muslimin telah menyatakan ijma‘ berkenaan perkara tersebut.

Selain itu, hadith ini juga menunjukkan bahawa dianjurkan (sunat) kepada orang yang mengiringinya untuk berjalan bersama jenazah itu di hadapannya. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/221-222). Hal itu kerana mereka yakni orang yang mengiringi itu merupakan pemberi syafaat kepada jenazah tersebut, maka sewajarnya dia berada di hadapan orang yang akan menerima syafaat daripadanya. Begitu juga tidak dihukumkan sebagai makruh jika orang yang mengiringi itu berjalan di belakang jenazah. Bahkan menurut al-Auza‘i, itulah yang afdhalnya (sebaik-baiknya) kerana jenazah itu merupakan sesuatu yang diikuti (diringi). Begitu juga tidak dikira sebagai makruh jika mereka berjalan di sebelah kanan atau kiri jenazah asalkan tetap dianggap sebagai mengiringi jenazah. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 4/176).

Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, para fuqaha hadith (Imam Malik, Syafi‘i dan Ahmad) berpendapat bahawa disunatkan untuk berjalan di hadapan jenazah atau berdekatan dengannya supaya dapat melihatnya apabila memalingkan pandangan, kerana apabila (berjalan) berjauhan dari jenazah, tidak dianggap ikut serta dalam mengiringi jenazah itu. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Ibn Umar dalam hadith yang kami telah bawakan di atas. Tambahan pula, hal itu juga kerana orang yang mengiringi itu merupakan pemberi syafaat kepada jenazah tersebut, maka sewajarnya dia berada di hadapan orang yang akan menerima syafaat daripadanya.

Ulama Hanabilah menambah, tidak dihukumkan sebagai makruh jika orang yang mengiringi itu berjalan di belakang jenazah kerana jenazah itu merupakan sesuatu yang diikuti (diringi). Begitu juga tidak mengapa jika mereka berjalan di sebelah kanan atau kiri jenazah asalkan tetap dianggap sebagai mengiringi jenazah.

Manakala ulama Hanafiyyah berpendapat, disunatkan untuk orang yang mengiringi itu berjalan di belakang jenazah kerana jenazah itu diikuti (diiringi), melainkan terdapat di belakangnya kaum wanita. Maka ketika itu, berjalan di hadapan jenazah adalah baik. Begitu juga jika orang yang mengiringi jenazah itu tetap berjalan di hadapannya, maka ia adalah diharuskan dan padanya juga terdapat kelebihan. Akan tetapi jika dia berjalan secara berjauhan daripada jenazah yang diiringi itu atau berjalan secara terkehadapan yang banyak daripadanya atau mengiringinya dengan cara menaiki kenderaan di hadapannya atau di dalamnya, maka ia adalah makruh.

Dalil mereka adalah hadith Ibn Mas‘ud, katanya:

سأَلْنا نَبيَّنا ﷺ عنِ المَشيِ معَ الجَنازةِ، فقال: ما دونَ الخَبَبِ

Maksudnya: “Kami bertanya kepada Nabi kami SAW berkenaan berjalan ketika mengiringi jenazah. Kemudian Baginda bersabda: ‘Tidak sampai berlari.’

Riwayat Abu Daud (3184) dan al-Tirmizi (1011)

Baginda SAW mengakui perkataan mereka, “belakang jenazah” (خلف الجنازة) dan tidak mengingkarinya. Begitu juga hadith Tawus bahawasanya beliau berkata:

مَا مَشَى رَسُول صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى مَاتَ خَلْفَ الْجِنَازَةِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak pernah berjalan sehingga meninggal dunia kecuali di belakang jenazah.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 2/1542-1543).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa dianjurkan (sunat) kepada orang yang mengiringi jenazah secara berjalan kaki untuk berjalan di hadapan jenazah tersebut. Ini adalah sebagaimana yang ditunjukkan melalui hadith Ibn Umar R.Anhuma yang kami telah sebutkan di atas.

Sekalipun begitu, kami juga berpendapat bahawa dalam hal ini adalah luas. Seseorang yang mengiringi jenazah itu boleh sahaja, sama ada berjalan di hadapannya mahupun di belakangnya, atau di sebelah kanannya mahupun di sebelah kirinya, dengan syarat jaraknya tidak terlalu jauh sehingga tidak dapat lagi dianggap sebagai mengikuti atau mengiringi jenazah. Hal ini adalah sebagaimana hadith al-Mughirah bin Syu‘bah, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

الرَّاكِبُ يَسِيرُ خَلْفَ الْجَنَازَةِ والماشي يمشي خلفهَا وأمامها وَعَن يَمِينهَا وَعَن يسارها قَرِيبا مِنْهَا والسِّقْطُ يُصَلَّى عَلَيْهِ وَيُدْعَى لِوَالِدَيْهِ بِالْمَغْفِرَةِ وَالرَّحْمَةِ

Maksudnya: “Orang yang berkenderaan berjalan di belakang jenazah, dan orang-orang yang berjalan kaki hendaklah berjalan di belakangnya, di hadapannya, di sebelah kanannya dan di sebelah kirinya dalam keadaan sentiasa berada berdekatan dengannya. Begitu juga janin yang keguguran hendaklah disolatkan ke atasnya dan didoakan untuk kedua orang tuanya agar diberi keampunan dan rahmat (kasih sayang) Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (3180); al-Tirmizi (1031); al-Nasa’i (1942) dan Ibn Majah (1031) dengan sedikit perbezaan lafaz.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”

Riwayat Abu Daud (3201); al-Tirmizi (1024); al-Nasa’i (1986) dan Ibn Majah (1498)

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilainya sebagai hasan. Kemudian, beliau menukilkan daripada Imam al-Tirmizi yang menyatakan, ulama hadith berpendapat riwayat yang mursal lebih sahih (tepat). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/221).

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H