#3889: Pembaziran Dalam Majlis Kenduri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya mengenai majlis perkahwinan. Saya melihat ada di antara tetangga saya mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran sehingga menyebabkan pembaziran. Apakah hukumnya?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pembaziran atau pemborosan merupakan sifat yang tergolong dalam sifat berlebih-Iebihan atau melampaui batas. Sifat ini keji dan mendapat larangan keras dari Allah sebagaimana firman-Nya:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (٢٦﴾‏ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

(Surah al-Isra’ : 26-27)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya menyebut: “Maksud saudara syaitan adalah seperti menyerupai sifat mereka, (yang suka membazir dan boros)”. (Lihat Tafsir al-Quran al-Adzim, 3/48)

Bahkan Nabi SAW pernah berpesan dalam hadith yang menyebut akan larangan israf (berlebihan) dalam menggunakan air bagi tujuan berwudhu’. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash R.Anhuma, beliau berkata:

‎أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ‏”‏ مَا هَذَا السَّرَفُ ‏”‏ ‏.‏ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ‏”‏ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.

Riwayat Ibn Majah (425), Ibn Hajar al-Asqalani dalam al-Talkhis al-Habir mengatakan sanadnya dhaif (1/224), manakala Imam ‘Alau al-Din dalam Syarh Sunan Ibn Majah mengatakan sanadnya dhaif dan pada makna hadith sanadnya adalah sahih (1/325)

Hadith ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan israf dan membazir dalam berwuduk itu jelas ditegur dan dilarang oleh Rasulullah SAW. Sekalipun kuantiti air itu berada dalam jumlah yang banyak seperti di laut, sungai, dan seumpamanya. Begitu juga dalam perkara-perkara yang lain. Oleh yang demikian perbuatan membazir merupakan perbuatan yang diharamkan oleh syara’

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan mengadakan majlis kenduri  perkahwinan adalah dibolehkan bahkan ia dianjurkan dalam islam bagi menzahirkan rasa kegembiraan dan syukur terhadap nikmat yang talah dikurniakan oleh Allah SWT dengan kehadiran pasangan baru. Diriwayat daripada Anas Bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ

Maksudnya: Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun dengan seekor kambing.

Riwayat Muslim (1427)

Diriwayat juga daripada ‘Imran bin Husain R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ يُحِبُّ إِذَا أنْعَمَ عَلَى عَبْدِهِ نِعْمَةً، أنْ يَرَى أثَرَ نِعْمَتِهِ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila Dia memberi nikmat (atau kurniaan) ke atas hamba-Nya, agar terlihat kesan nikmat yang diberikan-Nya itu padanya.”

Riwayat al-Baihaqi (3/271)

Namun mengadakan majlis secara besar-besaran sehingga menyebabkan pembaziran adalah tidak dibolehkan. Ini kerana terdapat larangan yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah sepertimana yang telah dinyatakan di atas.

Haiah Kibar Ulama Saudi  mengeluarkan keputusan  fatwanya yang bernombor (52) yang bertarikh 4/4/1397 Hijri dengan menyatakan bahawa:

Firman Allah SWT:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (٢٦﴾‏ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.

(Surah al-Isra’ : 26-27)

Berdasarkan kesan dari mengadakan majlis walimah yang melampaui had yang tidak munasabah baik sebelum dan selepas perkahwinan  dan juga kesan yang timbul akibat tergelincir daripada prinsip sehingga menyebabkan ramai dari kalangan masyarakat tidak mampu memberi nafkah perkahwinan. Oleh yang demikian majlis ulama memandang pentingnya membaiki situasi ini dengan melarang dari  pemborosan dan melampaui batas dalam majlis perkahwinan, serta memberi amaran kepada orang-orang tentang hal tersebut. (Lihat al-Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/432-433)

Justeru kami katakan dalam isu ini dalam melaksanakan keduri kahwin hendaklah memastikan makanan yang disediakann oleh tetamu itu  tidak membazir. Kami syorkan di sini agar menyediakan makanan berdasarkan bilangan jemputan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran. Sekiranya ada lebihan dari makanan kenduri yang telah ditempah, adalah lebih baik untuk diberikan kepada fakir miskin atau jiran tetangga.

Kami cadangkan pihak tuan rumah yang mengadakan kenduri cuba bertanya kepada mereka yang berkeahlian dan berpengalaman jumlah yang sesuai tempahan makanan dan minuman untuk perkara tersebut. Begitu juga, buatlah deal denagn pihak anak-anak yatim, rumah orang tua, pelajar-pelajar asrama atau kumpulan orang-orang miskin untuk dijamu. Ini akan menambahkan lagi keberkatan majlis yang diadakan dan mendapat keredhaan Allah SWT serta pahala dari-Nya.

Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا ‎﴿٨﴾‏ إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا ‎﴿٩﴾‏ إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا

Maksudnya: “Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan. (Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih,

(Surah al-Insan: 8-9)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H