Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum melihat langit ketika solat ?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam isu ini kita hendaklah mengetahui bahawa terdapat larangan ke atas perbuatan memandang ke langit semasa solat. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلاَتِهِمْ»، فَاشْتَدَّ قَوْلُهُ فِي ذَلِكَ، حَتَّى قَالَ: «لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارُهُمْ
Maksudnya: “Apa hal kaum tersebut yang mengangkat penglihatan mereka ke langit dalam solat mereka?” Lalu Baginda SAW mengeraskan sabdanya yang demikian sehingga Baginda SAW bersabda: “Hendaklah mereka berhenti memandang ke arah langit atau penglihatan mereka akan ditarik.”
Riwayat Al-Bukhari (750)
Begitu juga dengan riwayat daripada Jabir bin Samurah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيَنْتَهِيَنَّ أقْوَامٌ يَرْفَعُونَ أبْصَارَهُمْ إِلى السَّماءِ في الصَّلاَةِ، أوْ لاَ تَرْجِعُ إلَيْهِمْ
Maksudnya: “Hendaklah mereka menghentikan mengangkat pandangan mereka ke Langit, atau (penglihatan mereka) tidak akan kembali kepada mereka”
Riwayat Muslim (427)
Hadith di atas ini secara jelas menunjukkan penegahan yang kuat terhadap perbuatan memandang ke langit semasa sedang mendirikan solat. Namun begitu, para ulama’ berbeza dalam menetapkan larangan tersebut adakah menunjukkan kepada haram ataupun membawa hukum makruh.
Ibn Hajar al-Asqalani menukilkan kata-kata daripada Imam Ibn Battal yang menyebut: Para ulama telah bersepakat (ijma’) berkenaan makruhnya mengangkat pandangan ke atas semasa sedang solat. (Lihat Fath Al-Bari, 2/272).
Manakala, Syeikh Syams al-Haq al-Azim Abadi pula berbeza pandangan dalam hal ini, katanya: ‘’Secara zahirnya mengangkat pandangan ketika solat adalah haram. Hal ini kerana, hukuman menjadi buta itu tidaklah berlaku melainkan terhadap perbuatan yang haram. Pendapat yang masyhur di sisi Syafi’iyyah menyebut hukumnya adalah makruh. Manakala Ibn Hazm telah berlebihan sehingga mengatakan perbuatan tersebut membatalkan solat’’. (Lihat ‘Aun Al-Ma’bud, 3/134).
Hikmah larangan di dalam hadith tersebut adalah seperti yang disebutkan oleh al-Qadhi Iyadh sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani: ‘’Mengangkat pandangan di dalam solat padanya membawa sedikit makna berpaling daripada kiblat, dan terkeluar daripada hai’ah (pergerakan) solat’’. (Lihat Fath al-Bari, 2/272).
Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Faedah daripada hadith ini ialah larangan yang pasti dan ancaman yang kuat terhadap sesiapa yang mengangkat matanya ke langit semasa solat; Hal ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad (20997), Abu Dawud (909), dan al-Nasaie (1195) daripada hadith Abu Zar yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا يَزَالُ اللهُ مُقْبِلًا عَلَى الْعَبْدِ فِي صَلَاتِهِ مَا لَمْ يَلْتَفِتْ، فَإِذَا صَرْفَ وَجْهَهُ انْصَرَفَ عَنْهُ
Maksudnya: “Allah akan tetap menghadap hamba-Nya semasa solatnya selagi dia tidak memalingkan mukanya, dan apabila dia memalingkan mukanya, Allah akan berpaling daripadanya.“
Nabi SAW mengancam sesiapa yang mengangkat matanya ke langit semasa solat dengan perbuatan dicabut matanya, walaupun demikian, masih ada ramai yang mengangkat pandangan mereka, dan tidak dikenal pasti bahawa sesiapa pernah mengangkat matanya ke langit, lalu dicabut, dan dia tidak pernah memperoleh penglihatannya semula, dan akhirnya kehilangan daya penglihatannya. Jawapan kepada ini ialah, ancaman itu diungkapkan sebagai tanda kasih sayang Allah, namun ini tidak bermaksud bahawa peristiwa tersebut tidak akan berlaku.
Perkara kedua ialah, tindakan tersebut mungkin tidak mengakibatkan hilangnya penglihatan secara fizikal, tetapi ia mungkin mengambil makna yang lebih mendalam, yang lebih besar dalam konteks ini, kerana yang pertama adalah hukuman di dunia, yang kedua adalah hukuman di dunia dan akhirat, kerana jika seseorang tidak mendapat manfaat daripada pandangannya dalam perkara yang membawa pemulihan dan perbaikan dalam hidupnya, maka manfaat penglihatannya telah disita, seperti yang dijelaskan oleh firman Allah SWT:
فَإِنَّهَا لَا تَعْمَى ٱلْأَبْصَـٰرُ وَلَـٰكِن تَعْمَى ٱلْقُلُوبُ ٱلَّتِى فِى ٱلصُّدُورِ
Maksudnya: “Kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”
(Surah al-Hajj: 46)
Dan firman Allah SWT yang mengatakan:
وَلَهُمْ أَعْيُنٌۭ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ
Maksudnya: “Mereka mempunyai mata tetapi mereka tidak dapat melihat dengannya”
(Surah al-A’raf: 179).
Ancaman daripada hadith ini menunjukkan haramnya mengangkat mata ke langit semasa solat. Imam al-Nawawi berkata: Para ulama bersepakat tentang pengharamannya.
Aku (Syeikh Abdullah al-Bassam) berkata: Imam al-Nawawi memaksudkan bersepakatnya ulama’ adalah bermaksud majoriti ulama’. Hal ini adalah kerana pandangan mazhab Imam Ahmad adalah bahawa mengangkat mata adalah makruh sahaja, seperti yang dinyatakan dalam “al-Insaf,” dan al-Ashab. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 2/102)
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa jumhur ulama’ menyatakan bahawa haram memandang ke langit ketika solat sebagaimana ancaman daripada Nabi SAW, manakala mazhab Imam Ahmad menyatakan bahawa hukumnya adalah makruh. Justeru, perbuatan memandang ke langit ketika solat semestinya ditinggalakan bagi seseorang yang sedang solat kerana ia menafikan kekhusykan dalam solat. Bahkan tempat pandangan solat yang dianjurkan dalam syariat adalah dengan memandang ke tempat sujud sebagaimana riwayat daripada Aisyah, katanya:
دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْكَعْبَةَ مَا خَلَّفَ بَصَرَهُ مَوْضِعَ سُجُودِهِ حَتَّى خَرَجَ مِنْهَا
Maksudnya: Rasulullah SAW masuk ke dalam Kaabah dan solat di dalamnya; penglihatan Baginda tidak terlepas daripada melihat ke tempat sujudnya, sehinggalah Baginda keluar dari Kaabah.
Riwayat al-Hakim (1784) dan Ibn Hibban (4/332)
Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H