Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah hidup Abu Najih al-Irbadh bin Sariah yang dikatakan salah seorang sahabat Nabi SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
Maksudnya: “Nabi Muhammad (SAW) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al-Fath: 29)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa nama beliau ialah Irbadh bin Sariyah al-Salami atau dikenal dengan nama Abu Najih. Beliau adalah salah seorang sahabat yang berasal dari golongan Suffah dan beliau merupakan salah satu sebab turunnya ayat al-Quran:
وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Dan tiada (pula) berdosa atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberi mereka kendaraan, lalu kamu berkata: Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawamu.”
(Surah al-Taubah: 92)
Beliau tinggal di Syam dan daripada kalangan sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah Abu Rohm dan Abu Amamah. Manakala daripada kalangan tabiin ramai iaitu orang-orang yang berada di Syam ketika itu. Beliau juga salah seorang sahabat yang menangis kerana sangat ingin berjihad dan bertempur bersama Rasulullah SAW dalam perang Tabuk, di mana peperangan tersebut merupakan pertempuran yang penuh dengan kesukaran. Tambahan pula, beliau tidak tergolong dalam kalangan orang yang dipersiapkan oleh Nabi SAW untuk mengikuti peperangan tersebut.
Beliau meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW sebanyak 31 hadis. Walaupun begitu Imam al-Bukhari dan Muslim tidak menyebut di dalam kedua Sahih mereka. Antara murid beliau yang meriwayatkan hadis daripadanya: Abd al-Rahman bin Amr al- Sulami, Abu Salamah Abd al-Rahman bin Maisarah al-Hadrami, Abu Rahm Ahzab bin Usaid al-Simai, Habib bin Ubaid, Abdullah bin Abi Bilal, Suwaid bin Jabalah, Abd al-A’la bin Hilal, Jubair bin Nufair, Khalid bin Ma’dan, Ubadah bin Aufa al-Namiri, Hajar bin Hajar, serta yang lainnya.
Beliau berkata bahawa dirinya adalah orang keempat yang memeluk Islam dan wafat pada tahun 75 Hijrah.
Kami kemukakan di sini sebuah hadith yang masyhur yang disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitab Matan Arba’innya berkenaan hadith daripada Irbadh RA:
Daripada Abu Najih al-Irbadh bin Sariah RA, katanya: Rasulullah SAW memberi nasihat kepada kami yang membuatkan hati kami bergetar dan air mata kami bercucuran. Maka kami berkata: “Ya Rasulullah, seolah-olah ini merupakan nasihat perpisahan, maka berilah kami wasiat.” Rasulullah SAW bersabda:
أُوْصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ تَأَمَّرَ عَلَيْكُمْ عَبْدٌ، فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشُ مِنْكُمْ فَسَيَرَى اخْتِلَافًا كَثِيرًا؛ فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِدِ، وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الْأُمُورِ؛ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ.
Maksudnya: “Saya wasiatkan kamu agar bertakwa kepada Allah SWT, tunduk dan patuh kepada pemimpin kamu meskipun yang memimpin kamu adalah seorang hamba. Akan ada dalam kalangan kamu yang hidup (setelah ini) akan menyaksikan banyaknya berlaku perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk, gigitlah (peganglah dengan kuat) dengan geraham. Hendaklah kamu menghindari perkara yang diada-adakan, kerana semua perkara bid’ah adalah sesat.”
Riwayat Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (2678), beliau berkata: Hasan sahih
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”
Surah al-Kahfi (10)
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H