#3898: Memakan Burung Jacu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terbaca mengenai hukum meminum kopi burung jacu. Akan tetapi bagaimana pula dengan hukum memakan burung jacu itu sendiri? Adakah ia halal dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menceritakan secara ringkas sedikit pengenalan mengenai burung jacu. Pertamanya, burung jacu atau dalam bahasa Inggerisnya dipanggil Guan ialah mana-mana daripada beberapa burung kecil keluarga curassow.[1]

Kopi najis burung jacu bernilai tinggi - Kosmo Digital

Gambar di atas: Burung Jacu/ Guan Biasa[2]

Curassow, mana-mana daripada banyak burung tropika Amerika daripada keluarga Cracidae (order Galliformes). Tegasnya, ia merujuk kepada 7–12 spesies di mana jantan berwarna hitam berkilat (selalunya dengan perut putih) dan mempunyai jambul bulu yang melengkung dan hiasan paruh berwarna terang; betina, tidak mempunyai hiasan, lebih kecil dan keperangan. Curassow ialah burung buruan dengan daging yang lazat. Contoh besar (hingga hampir 100 cm [40 inci]) ialah curassow (Crax rubra), ditemui dari Mexico ke Ecuador; curassow bertopi keledar (Helmeted curassowPauxi pauxi) pergunungan Venezuela dan Colombia; dan curassow (C. mitu) Amazon, yang sangat terancam (mengalami kepupusan).

Gambar di atas: Helmeted Curassow

Guan terdiri daripada 12 spesies, beratnya lebih ringan dan agak kecil daripada curassow yang berkaitan. Sangat suka berkawan, mereka mempunyai tangisan yang bising yang kedengaran terutamanya pada waktu malam. Kedua-dua jantina kelihatan sama. Guan berjambul (Crested guanPenelope purpurascens), ditemui dari Mexico ke Ecuador dan Venezuela, ialah burung buruan penting, kira-kira 65 cm panjang dan berat kira-kira 2 kg. Ia berwarna coklat kehijauan, dengan tompok putih di bawah. Beberapa spesies termasuk dalam spesies haiwan terancam.[3]

Curassow mencari makanannya dengan mencari buah-buahan, beri dan biji yang gugur. Mereka kebanyakannya adalah frugivor.[4] Selain itu, mereka mungkin mengikis tanah untuk mencari serangga atau haiwan kecil.[5]

Hukum memakan burung jacu

Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, burung jacu termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Apatah lagi ia juga bukanlah burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan, sebaliknya ia hanya mencari makanannya dengan mencari buah-buahan, beri dan biji yang gugur atau mungkin mengikis tanah untuk mencari serangga atau haiwan kecil.

Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat burung jacu (Guan) adalah halal dan harus dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya, serta tidak memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia dan lain-lain, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan memakan burung tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://www.britannica.com/animal/guan-bird. Diakses pada 12 Oktopber 2023.

[2]

[3] Lihat https://www.britannica.com/animal/curassow. Diakses pada 12 Oktober 2023.

[4] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, frugivor ialah haiwan yang makanan utamanya terdiri daripada buah-buahan. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=frugivor. Diakses pada 26 Oktober 2023).

[5] Lihat https://www.oaklandzoo.org/animals/great-curassow. Diakses pada 26 Oktober 2023.

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H