#39: Waktu Doa yang Mustajab Pada Hari Jumaat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bilakah yang dimaksudkan dengan waktu doa yang mustajab pada hari Jumaat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya:Dan Tuhan kamu berfirman: ‘Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.’[1]

Ayat ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa Allah SWT menuntut para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tiada khilaf dalam kalangan orang Islam. [2]

Doa menurut Imam al-Khattabi adalah permohonan hamba kepada Tuhannya dengan mengharapkan pertolongan-Nya dan juga bantuan daripada-Nya. [3]

Dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.” [4]

Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian.

Perintah dan Anjuran Memperbanyakkan Doa

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” [5]

Menurut Imam al-Qurtubi, ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. [6]

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” [7]

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. [8]

Perbuatan berdoa adalah suatu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Terdapat banyak nas yang sahih daripada al-Quran dan juga al-Sunnah yang menerangkan tentang kepentingan berdoa kepada Allah SWT. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nu’man bin Basyir R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Maksudnya: “Berdoa itu adalah suatu ibadah.”

Kemudian baginda membaca firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

MaksudnyaDan telah berkata Tuhan kamu: “Berdoalah kamu semua kepada-Ku nescaya Aku akan memustajabkan buat kamu.” [9]

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, berdoa itu bukan sekadar suatu ibadah, bahkan ia merupakan suatu perintah dari Allah SWT buat sekalian para hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya. Bukan sekadar itu, Allah SWT turut memberikan jaminan bahawa Dia akan memustajabkan sebarang permintaan hamba-Nya. Hal ini secara jelas menggambarkan peri pentingnya ibadah doa, sehingga menjadi suatu arahan dan tuntutan kepada seseorang hamba untuk melakukannya.

Ibnu Kathir menyebut bahawa ayat ini menzahirkan kemuliaan dan sifat Maha Pemurah Allah SWT di mana Dia menggalakkan hambanya untuk berdoa dan memberi jaminan untuk mengabulkan doa-doa tersebut. Seperti mana kata Sufyan al-Thauri:

يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ

Maksudnya: “Wahai hamba yang paling di sukai-Nya adalah hamba yang banyak meminta kepada-Nya. Dan hamba yang paling tidak disukai adalah siapa yang tidak meminta kepada-Nya. Tiada siapa seperti Engkau wahai Tuhan.[10]

Selain itu, Allah SWT sangat suka hamba-hamba-Nya berdoa kepada-Nya sebagaimana yang disebut di dalam nas-nas ilahi. Antaranya, Firman Allah SWT:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” [11]

 

Cara Allah SWT Menerima Doa Kita

Ramai daripada kalangan kita tidak mengetahui cara Allah SWT menerima doa para hamba-Nya sehingga mereka menyangka bahawa Allah SWT tidak menerima doa mereka. Di sana terdapat sebuah hadith yang membicarakan berkaitan hal ini sebagaimana riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ، وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksudnya:Tidaklah seorang Muslim itu berdoa (dengan doa) yang tidak mengandungi dosa dan bukan bertujuan memutuskan silaturahim, melainkan Allah SWT akan memakbulkannya (doa itu) dengan tiga cara; sama ada Allah SWT akan memakbulkan doanya sesegera mungkin, atau Allah SWT menyimpan (menjadikannya pahala) baginya di akhirat kelak, atau Allah SWT akan menjauhkan daripadanya kejelekan.[12]

Justeru, difahami daripada hadith ini bahawa terdapat empat cara Allah SWT menerima doa para hamba-Nya iaitu:

  • Allah SWT akan memberikan kepada hamba-Nya di dunia sepertimana yang diingini oleh hamba tersebut. Adapun bagi cara ini terbahagi kepada dua iaitu sama ada terus dimakbulkan permintaan tersebut atau ditangguhkan kepada tempoh waktu tertentu sebelum dikabulkan.
  • Allah SWT akan menyimpan doa tersebut di hari akhirat kelak kerana Allah Maha Mengetahui bahawa hamba tersebut lebih memerlukannya di sana.
  • Allah SWT akan menjauhkan hamba tersebut daripada perkara-perkara yang buruk atau musibah yang berlaku kepadanya.
  • Allah tidak memperkenankan doa tersebut kerana lebih baik beliau dalam keadaan begitu, berdasarkan ilmu Allah, maka itu lebih baik baginya. Justeru, tidak memperkenankan itu, adalah memperkenankan ke arah yang lebih baik.

Kemustajaban Doa pada Hari Jumaat

Antara kelebihan dan fadhilat hari Jumaat, terdapatnya waktu di mana doa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadith, Nabi SAW menyebut tentang hari Jumaat, sabdanya:

فِيها سَاعَةٌ لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، وَهْوَ قَائِمٌ يُصَلِّى، يَسْأَلُ اللَّهَ تَعَالَى شَيْئًا إِلاَّ أَعْطَاهُ إِيَّاهُ

Maksudnya: “Pada hari tersebut ada satu ketika jika bertepatan seseorang Muslim yang mendirikan solat Jumaat memohon sesuatu kepada Allah SWT, nescaya Allah SWT memperkenankannya.” [13]

Sambil bersabda, Baginda mengisyaratkan ketika yang sedikit itu dengan tangannya.

Waktu Mustajab pada Hari Jumaat

Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang sahih berkaitan hal tersebut. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan juga imam Muslim di dalam sahihnya dengan lafaz yang sedikit berbeza:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فِي يَوْمِ الجُمُعَةِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي يَسْأَلُ اللَّهَ خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ

Maksudnya: “Pada hari Jumaat ini ada satu masa yang sekiranya ditepati oleh seorang muslim dalam keadaan dia bersolat meminta sesuatu daripada Allah SWT, pasti Allah SWT akan memperkenankan permintaanya itu.” [14]

Melihat kepada hadith di atas, kita memahami bahawa Allah SWT telah meletakkan satu tempoh masa yang sangat istimewa pada hari Jumaat iaitu setiap permintaan hamba-hambanya akan dikabulkan pada waktu tersebut.

 

Pendapat Ulama’ dalam Memahami Hadith Tersebut

Dalam masalah ini, terdapat beberapa pendapat yang dinyatakan oleh para ulama’ sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi berdasarkan pendapat al-Qadhi ketika mensyarahkan hadith ini di dalam sahih Muslim, antaranya:

  • Pertama: Waktunya adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesai solat. Pendapat ini disokong dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.
  • Kedua: Waktunya adalah selepas asar sehingga terbenamnya matahari.
  • Ketiga: Waktunya adalah ketika solat didirikan sehingga ia selesai.
  • Keempat: Waktunya apabila imam keluar sehingga selesainya solat. [15]

Di sana terdapat beberapa lagi pendapat yang lain sebagaimana yang dinyatakan Ibn al-Qayyim di dalam karyanya iaitu sebanyak 11 pendapat.

 

Pendapat Ulama’ Dalam Masalah Ini

Setelah melihat pendapat di atas, suka bagi kami untuk mendatangkan sedikit perbahasan yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad dalam menentukan waktu yang mustajab ini:

Dalam masalah ini, terdapat dua pendapat yang kuat dan keduanya bersandar pada hadith Nabi SAW.

Pendapat Pertama: Waktu yang dimaksudkan adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat, berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari.

Daripada Abu Musa al-Asy’ari bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda apabila beliau ditanya oleh Ibn Umar tentang waktu yang mustajab tersebut:

أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ شَيْئًا؟ قَالَ: نَعَمْ سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ”.

Maksudnya: Adakah kamu pernah mendengar ayahmu meriwayatkan hadith daripada Rasulullah SW berkenaan satu waktu (mustajab) pada hari Jumaat?”. “Ya, aku pernah mendengarnya”. Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Ia adalah di antara duduknya imam sehingga selesainya solat didirikan.” [16]

Pendapat ini juga mempunyai beberapa lagi hadith yang menyokong pendapat bahawa waktu mustajab tersebut adalah ketika khatib duduk di atas mimbar sehingga selesainya solat.

 

Pendapat Kedua: Waktunya adalah selepas asar. Ini adalah pendapat yang lebih kuat berbanding dua pendapat yang kuat ini. Hujah bagi orang yang berpegang dengan pendapat ini adalah berdasarkan riwayat imam Ahmad, daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ فِي الْجُمُعَةِ سَاعَةً لَا يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللهَ عَزَّ وَجَلَّ فِيهَا خَيْرًا إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ، وَهِيَ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya terdapat satu waktu pada hari Jumaat apabila seorang hamba muslim meminta kepada Allah SWT akan perkara kebaikan pada waktu tersebut melainkan Allah SWT akan memberinya apa yang yang dimintanya itu, waktu tersebut adalah selepas asar”. [17]

Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

يَوْمُ الْجُمُعَةِ اثْنَتَا عَشْرَةَ سَاعَةً، لَا يُوجَدُ فِيهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ شَيْئًا إِلَّا آتَاهُ إِيَّاهُ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: “Hari Jumaat mempunyai 12 jam, padanya terdapat satu waktu yang mana tidak ada seorang hamba yang meminta sesuatu kepada Allah SWT melainkan Allah SWT akan memberikan apa yang dimintanya itu kepadanya. Maka carilah waktu tersebut pada akhir waktu selepas asar ”. [18]

Terdapat beberapa lagi hadith yang menunjukkan bahawa waktu yang mustajab pada hari Jumaat tersebut adalah selepas daripada Asar. Tambahan pula, diriwayatkan Said bin Jubair daripada Ibn Abbas RA telah berkata: Waktu yang dimaksudkan pada hari Jumaat adalah antara solat asar sehingga terbenam matahari. Adapun Said bin Jubair apabila beliau menunaikan solat asar, beliau tidak akan bercakap dengan sesiapa sehingga terbenamnya matahari. Ini adalah pendapat sebahagian besar salaf dan pada pendapat ini mempunyai hadith yang banyak berbanding pendapat-pendapat yang lain[19]

Penutup

Setelah melihat perbahasan dan dalil-dalil yang dikemukan maka kami cenderung untuk memilih pendapat yang kedua iaitu waktu yang mustajab pada hari Jumaat adalah selepas asar sehinggalah terbenamnya matahari. Ini kerana, dalil-dalil yang dikemukan oleh pihak ini lebih banyak dan kuat. Selain itu juga, amalan para sahabat dan salaf juga menunjukkan bahawa mereka amat mementingkan waktu ini sepertimana yang dilakukan oleh Said bin Jubair RA.

Akhir kalam, hari Jumaat adalah hari yang mulia dan ia juga mempunyai banyak keistimewaan, kemuliaan dan kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Untuk itu, kita sebagai seorang muslim sama ada lelaki atau wanita perlulah mengambil berat berkaitan perkara ini.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 April 2022 bersamaan 3 Ramadhan 1443H

The shortcode is missing a valid Donation Form ID attribute.

 

[1] Surah al-Ghafir: 60

[2] Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 183/24

[3] Lihat Sya’n al-Du’a, 1/4

[4] Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

[5] Surah Ghafir (60)

[6] Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292

[7] Surah Ghafir: 60

[8] Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

[9] Riwayat Abu Daud (1479)

[10] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 14/366

[11] Surah al-Baqarah: 186

[12] Riwayat Ahmad (11133)

[13] Riwayat al-Bukhari (893) dan Muslim (852)

[14] Riwayat al-Bukhari (6400)

[15] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/140

[16] Riwayat Muslim (853)

[17] Riwayat Ahmad, (7688). Hadith ini adalah sahih dengan syawahidnya dan sanad hadith ini adalah dhaif menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth.

[18] Riwayat al-Nasa’ie, (1389). Hadith ini dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nataij al-Afkar (2/436).

[19] Lihat Zad al-Ma’ad, 1/377