#3906: Abdullah bin Salam, Ahli Syurga?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Abdullah bin Salam termasuk di kalangan ahli syurga? Serta boleh kisahkan kehidupannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُم مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ ‎

Maksudnya: “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.

(Surah al-Maidah: 82)

Beliau ialah Abdullah bin Salam bin al-Harith, Abu Yusuf, daripada keturunan Nabi Yusuf A.S. Beliau mendapat jaminan perlindungan kafilah Khazraj, al-Isra’ili, kemudian al-Ansari. Beliau daripada Bani Qainuqa‘. Dikatakan bahawa nama asalnya ialah al-Husain (الحصين), kemudian Baginda SAW menukarnya. (Lihat al-Isabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/102).

Beliau merupakan seorang al-Imam dan termasuk dalam kalangan sahabat Nabi SAW serta salah seorang yang dijamin syurga. Beliau juga merupakan salah seorang pendeta Yahudi. Dikatakan hadith pertama yang didengarinya ialah:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَفْشُوْا السَّلاَمَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلاَمٍ

Maksudnya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), sambungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/413-414).

Selain itu, Abdullah bin Salam R.A juga termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amir bin Sa‘ad bin Abu Waqqas, daripada bapanya, katanya:

مَا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: لِأَحَدٍ يَمْشِي عَلَى الأَرْضِ إِنَّهُ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، إِلَّا لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلاَمٍ “ قَالَ: وَفِيهِ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ {وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ} [الأحقاف: 10] الآيَةَ، قَالَ: «لاَ أَدْرِي قَالَ مَالِكٌ الآيَةَ أَوْ فِي الحَدِيثِ»

Maksudnya: “Aku tidak pernah mendengar Nabi SAW bersabda tentang seseorang yang berjalan di muka bumi: “Sesungguhnya dia termasuk penghuni syurga” kecuali kepada Abdullah bin Salam.” Dia berkata: “Padanya (Abdullah bin Salam) turunnya ayat ini: {وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ} [الأحقاف: 10} (pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil … sehingga akhir ayat) Dia berkata: “Aku tidak tahu apa yang dikatakan Malik, (apa yang dimaksudnya) ayat ataupun hadith (iaitu berkenaan turunnya ayat ini daripada dirinya sendiri atau dengan sanad ini).”

Riwayat al-Bukhari (3812)

Selain daripada itu, turut diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, beliau berkata: “Aku tidak pernah mendengar Nabi SAW menyatakan kepada seseorang yang masih hidup di muka bumi bahawa dia termasuk penghuni syurga melainkan kepada Abdullah bin Salam.” (Lihat Fath al-Bari, 7/127; al-Isti‘ab, 2/374; Tahzib  al-Asma’ wa al-Lughat, 1/271).

Abdullah bin Salam R.A meninggal dunia pada tahun 43 Hijrah di Madinah sebagaimana diriwayatkan oleh sebahagian ulama seperti al-Haitham bin ‘Adi, Ibn Sa‘ad, Abu ‘Ubaid, al-Baghawi, Abu Ahmad al- ‘Askari dan lain-lain . (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/424; al-Isabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/104). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 379-380)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H