Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Abdullah bin Uthman cucu Baginda SAW, mati dipatuk ayam jantan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “Ahlu al-Bait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”
(Surah al-Ahzab: 33)
Hasil perkahwinan Uthman bin ‘Affan R.A dengan Ruqayyah binti Rasulullah SAW, maka lahirlah seorang anak yang bernama Abdullah bin Uthman R.Anhuma.
Abdullah lahir di Habasyah ketika ibu bapanya berhijrah ke sana. Hal ini adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Syihab bahawa Uthman bin ‘Affan telah menikahi Ruqayyah R.Anha di Makkah, lalu Ruqayyah R.Anha telah berhijrah ke Habasyah bersama suaminya, dan di sana beliau telah melahirkan seorang anak lelaki yang bernama Abdullah. Dengan nama itulah, diambil nama julukannya (kunyahnya).
Walau bagaimanapun, Abdullah bin Uthman R.Anhuma hanya sempat hidup selama 6 tahun. Menurut Mus‘ab, ketika usianya 6 tahun, dia telah ditimpa musibah di mana seekor ayam jantan telah mematuk (mukanya) di bahagian mata, lalu mukanya menjadi bengkak dan dia jatuh sakit. Setelah itu, dia meninggal dunia.
Sebahagian ulama menyebutkan, Abdullah bin Uthman R.Anhuma meninggal dunia pada bulan Jamadil Awal tahun 4 Hijrah ketika berusia 6 tahun. Rasulullah SAW telah mendirikan (mengimamkan) solat jenazah ke atasnya, dan jenazahnya pula telah dibawa turun ke dalam liang lahad oleh bapanya sendiri, Uthman bin ‘Affan R.A. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1840; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/251). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 353)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)
Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H