#3911: ‘Ammar Dibunuh Sekumpulan Pemberontak

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada terbaca kisah Rasulullah SAW mengatakan bahawa ‘Ammar akan dibunuh oleh sekumpulan pemberontak. Siapakah yang dimaksudkan dalam kisah tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, kisah yang disebutkan oleh saudara ini berdasarkan riwayat hadith yang dibawakan oleh Ummu al-Mu’minin Ummu Salamah R.Anha dan juga ‘Ikrimah R.A tentang pembunuhan ‘Ammar di dalam peperangan Siffin yang berlaku antara 2 kelompok sahabat Rasulullah SAW; kelompok pertama dipimpin oleh Saidina ‘Ali bin Abi Talib, dan kelompoh kedua dipimpin oleh Mu‘awiyah bin Abi Sufyan R.Anhuma.

Di dalam riwayat yang pertama, Rasulullah SAW bersabda:

 تَقْتُلُ عَمَّارًا الْفِئَةُ الْبَاغِيَةُ

Maksudnya: “Aduhai ‘Ammar, dia akan dibunuh oleh sekumpulan pemberontak.”

Riwayat Muslim (2916)

Dalam riwayat ‘Ikrimah R.A, katanya: “Ibn ‘Abbas berkata kepadaku dan kepada anaknya ‘Ali: ‘Pergilah kamu kepada Abu Sa‘id dan dengarlah hadithnya.’ Kami pun pergi dan mendapati dia berada di dalam kebun dan sedang mengurusnya. Setelah itu, dia mengambil kain selendangnya, beliau duduk berpaut lutut. Kemudian dia mula menyampaikan hadith kepada kami sehinggalah apabila tiba cerita tentang pembinaan masjid, beliau berkata:

كُنَّا نَحْمِلُ لَبِنَةً لَبِنَةً وَعَمَّارٌ لَبِنَتَيْنِ لَبِنَتَيْنِ، فَرَآهُ النَّبِيُّ ﷺ فَيَنْفُضُ التُّرَابَ عَنْهُ، وَيَقُولُ: وَيْحَ عَمَّارٍ، تَقْتُلُهُ الفِئَةُ البَاغِيَةُ، يَدْعُوهُمْ إِلَى الجَنَّةِ، وَيَدْعُونَهُ إِلَى النَّارِ. قَالَ: يَقُولُ عَمَّارٌ: أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الفِتَنِ

Maksudnya: “Kami pikul seketul demi seketul batu. ‘Ammar pula memikul dua ketul demi dua ketul batu. Apabila Nabi SAW ternampak dia (yakni ‘Ammar), Baginda lalu mengebas debu tanah daripada tubuhnya dan bersabda: ‘Aduhai ‘Ammar, dia akan dibunuh oleh sekumpulan pemberontak. ‘Ammar menyeru mereka kepada syurga. Mereka pula menyerunya kepada neraka.’ Abu Sa’id berkata: ‘Ammar selalu berdoa: ‘Aku berlindung dengan Allah daripada berbagai malapetaka’.”

Riwayat al-Bukhari (447)

Sebelum ini, pernah ditimbulkan syubhah mengenai hadith ini sehinggakan ada sebahagian pihak yang melampau, mereka menghukumkan kelompok yang bersama Mu‘awiyah bin Abi Sufyan R.A sebagai pemberontak, bahkan ada juga yang mengatakan mereka ini kafir.

Para ulama’ hadith telah berusaha menjawab syubhah ini, mereka mengatakan bahawa hadith Rasulullah SAW ini tidaklah menafikan bahawa para sahabat merupakan yang paling afdhal dan sebaik-baik orang-orang yang beriman selepas Rasulullah SAW. Ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadith sahih riwayat ‘Abdullah bin Mas‘ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ

Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah (yang hidup pada) kurunku, kemudian orang-orang sesudah mereka, kemudian orang-orang sesudah mereka.”

Riwayat al-Bukhari (2652) dan Muslim (2533)

Adapun gelaran Baginda SAW ke atas salah satu kelompok sebagai pemberontak, ia tidaklah bermaksud mengeluarkan mereka dari neraca Islam dan keimanan. Bahkan, disebutkan dengan jelas bahawa kedua-dua kelompok tersebut beriman, sebagaimana dalam firman Allah SWT:

 وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا ۖ

Maksudnya: “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya.”

(Surah al-Hujurat: 9)

Kemudian pada ayat yang seterusnya, sekalipun wujudnya persengketaan dan pemberontakan, Allah SWT tetap menyifatkan mereka ini sebagai orang-orang beriman yang bersaudara. Ini jelas dalam firman-Nya:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

(Surah al-Hujurat: 10)

Menjawab syubhah ini juga, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan, pemberontak yang disebutkan dalam sabda Rasulullah SAW bukanlah ditujukan kepada Mu‘awiyah dan pengikutnya, akan tetapi boleh jadi yang dimaksudkan adalah sekumpulan dari kelompoknya yang menyerangnya sehingga mengakibatkan ‘Ammar terbunuh, dan mereka ini adalah sekumpulan dari tentera Mu‘awiyah. Maka sesiapa sahaja yang redha ketika itu dengan pembunuhan ‘Ammar, maka mereka inilah yang dihukumkan sebagai pemberontak itu. Dan memang diketahui, ada sahaja di kalangan mereka yang tidak redha dengan pembunuhan ini ‘Ammar ini, seperti ‘Abdullah bin ‘Amru R.A dan selainnya, bahkan ramai yang mengingkari pembunuhan ‘Ammar ketika itu, seperti Mu‘awiyah dan ‘Amru R.Anhuma sendiri. (Lihat Majmu‘ al-Fatawa, 35/77)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah juga membawakan di dalam Minhaj al-Sunnah (5/245) dari Muhammad bin Nasr yang meriwayatkan dari jalur Makhul, katanya:

أَصْحَابَ عَلِيٍّ سَأَلُوهُ عَمَّنْ قُتِلَ مِنْ أَصْحَابِ مُعَاوِيَةَ مَا هُمْ؟ قَالَ: هُمْ مُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Pengikut ‘Ali bertanya kepadanya tentang mereka yang dibunuh dari kalangan pengikut Mu‘awiyah, apakah keadaan mereka? ‘Ali menjawab: ‘Mereka orang-orang yang beriman’.”

Ini dikuatkan lagi dengan riwayat Abu Bakrah R.A, bahawa Rasulullah SAW berada di atas mimbar dan al-Hasan berada di sisinya, sesekali Baginda SAW melihat kepada orang ramai dan sesekali melihat kepadanya (al-Hasan), lalu Baginda  bersabda:

ابْنِي هَذَا سَيِّدٌ، وَلَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يُصْلِحَ بِهِ بَيْنَ فِئَتَيْنِ مِنَ المُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Anakku (cucuku) ini adalah pemimpin, semoga Allah mendamaikan dua kelompok kaum muslimin dengan sebabnya.”

Riwayat al-Bukhari (3746)

Imam Ibn Kathir mengatakan, sabda Rasulullah SAW (يَدْعُوهُمْ إِلَى الجَنَّةِ، وَيَدْعُونَهُ إِلَى النَّارِ) bermaksud, ‘Ammar dan yang bersama dengannya mengajak ahli Syam berdamai dan bersatu, manakala ahli Syam menginginkan pemerintahan bersendiri dengan mengenepikan mereka yang lebih berhak ke atasnya, dan manusia dibahagikan mengikut wilayah yang mempunyai pemimpin tersendiri dari kalangan mereka. Dan ini telah membawa kepada perpecahan dan perselisihan ummah, dan ini terjadi kerana cara yang mereka pilih ini, meskipun mereka sebenarnya tidak inginkan sebarang perpecahan. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/538)

Beginilah yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, katanya bahawa yang dimaksudkan dengan (يَدْعُوهُمْ إِلَى الجَنَّةِ) adalah mengajak kepada perkara yang boleh memasukkan mereka ke dalam syurga, iaitu mentaati pemimpin. Begitulah ‘Ammar yang mengajak mereka untuk mentaati ‘Ali yang merupakan pemimpin ketika itu yang wajib ditaati. Mereka (pemberontak) pula mengajak kepada yang bertentangan dengan itu, akan tetapi mereka dimaafkan atas sebab takwilan yang zahir pada mereka (tersilap dalam ijtihad). (Lihat Fath al-Bari, 1/542)

Maka yang dimaksudkan dengan pemberontak dalam hadith di atas, bukanlah merujuk kepada Mu‘awiyah, bahkan kepada sekumpulan orang dari kalangan mereka yang menyokong beliau ketika itu. Baginilah serba sedikit yang dapat kami kongsikan kepada saudara tentang hadith pembunuhan ‘Ammar ini. Semoga ia dapat memberi manfaat kepada kita semua, sekaligus membungkam syubhah yang ditimbulkan sebelum ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H