#3913: Bacaan yang Sunat Ketika Meletakkan Jenazah di dalam Kubur

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah bacaan yang disunatkan ketika meletakkan jenazah ke dalam kuburnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

كُلُّ نَفۡس ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Al-Maraghi dalam tafsirnya menafsirkan bahawa bagi setiap yang bernyawa itu pasti akan mengalami saat perpisahan dengan jasadnya. Walaupun badannya mati, namun jiwa tidak akan mati. Hal ini kerana mampu merasakan sesuatu adalah yang hidup sedangkan bagi yang telah mati, tidak akan mampu merasakan sesuatu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/861).

Begitu juga, Sayyid Qutub menafsirkan bahawa setiap yang hidup pasti akan meneguk air maut dan akan berpisah dari kehidupannya. Tiada ada beza di antara seseorang dengan yang lain dalam kepastian merasai air maut, malah yang berbeza diantara mereka adalah nasib dan kesudahan mereka selepas meninggalkan dunia ini. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 2/19).

Seterusnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Berdasarkan hadith ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 dan 2/51). Selain itu, menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155).

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardhu kifayah menurut ijma‘ para ulama tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 5/104).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إذَا وَضَعْتُمْ مَوْتَاكُمْ فِي القُبُورِ، فَقُولُوا: بسْمِ اللهِ، وَعَلى مِلَّةِ رَسُولِ اللهِ

Maksudnya: “Apabila kamu meletakkan mayat kamu ke dalam kubur, maka ucapkanlah: ‘Dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah.’

Riwayat Ahmad (4797); Abu Daud (3213); al-Nasa’i (6/191); Ibn Hibban (7/375)[1]

Syeikh Abdullah al-Bassam ketika mensyarahkan hadith ini menyebutkan, Lafaz “Bismillah” bermaksud “Dengan nama Allah aku meletakkannya atau memasukkannya atau mengebumikannya.” Kemudian, lafaz “Millah” (agama) pula merujuk kepada usul-usul syariat dan tidak disandarkan kepada Allah, sebaliknya ia disandarkan kepada Rasul-Nya kerana ia adalah nama bagi syariat yang Allah perintahkan melalui lisan Rasul-Nya. Boleh jadi ia digunakan bagi merujuk agama yang batil seperti mana mereka mengatakan: “الْكُفْرُ مِلَّةٌ وَاحِدَةٌ” (Kekufuran adalah satu agama). (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/229)

Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami nyatakan semula di sini doa yang disunatkan untuk dibaca ketika meletakkan atau memasukkan jenazah ke dalam kuburnya iaitu:

بسْمِ اللهِ، وَعَلى مِلَّةِ رَسُولِ اللهِ

Maksudnya: “Dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

[1] Syeikh Abdullah al-Bassam menilainya sebagai sahih. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 3/229)

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H