#3924: Hukum Tertib Amalan Haji pada Hari Raya Korban

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah diwajibkan mengikut tertib dalam melakukan amalan-amalan haji, ketika hari raya Korban?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.”

(Surah al-Hajj: 27)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-’As R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ فِي حَجَّةِ الوَدَاعِ، فَجَعَلُوا يَسْأَلُونَهُ، فَقَالَ رَجُلٌ: لَمْ أَشْعُرْ، فَحَلَقْتُ قَبْلَ أَنْ أَذْبَحَ، قَالَ: «اذْبَحْ وَلاَ حَرَجَ»، فَجَاءَ آخَرُ فَقَالَ: لَمْ أَشْعُرْ فَنَحَرْتُ قَبْلَ أَنْ أَرْمِيَ، قَالَ: «ارْمِ وَلاَ حَرَجَ»، فَمَا سُئِلَ يَوْمَئِذٍ عَنْ شَيْءٍ قُدِّمَ وَلاَ أُخِّرَ إِلَّا قَالَ: افْعَلْ وَلاَ حَرَجَ.

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW pada Haji Wada’ (haji perpisahan), ketika sedang berada (duduk di atas unta Baginda), lalu mereka mengajukan pertanyaan kepada Baginda. Seorang lelaki berkata: “Aku tidak sedar, aku telah mencukur sebelum menyembelih (haiwan korban).” Baginda menjawab: “Sembelihlah. Tidak mengapa.” Orang lain pula datang dan berkata: “Aku tidak sedar, aku telah menyembelih (haiwan korban) sebelum melontar (Jamrah).” Baginda menjawab: “Lontarlah (Jamrah). Tidak mengapa.” Pada waktu itu, tidaklah Baginda ditanya tentang suatu perkara yang seharusnya didahulukan, tetapi dikemudiankan, atau pun sebaliknya, melainkan Baginda bersabda: “Lakukanlah! Tidak mengapa.”

Riwayat al-Bukhari (1736) dan Muslim (1306)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Ketika Hari Raya Korban, terdapat empat pekerjaan ibadah haji, iaitu melontar Jamrah Aqabah, menyembelih korban, bercukur atau memotong sebahagian rambut dan melakukan tawaf Ifadhah.

Yang mana saja, apabila didahulukan daripada yang lainnya, maka hukumnya dibolehkan. Hal ini berlaku bagi orang yang lupa berdasarkan kesepakatan ulama’, sebagaimana terdapat di dalam hadith secara jelas. Selain itu, hadith ini juga menunjukkan toleransi Syariat dan keluasannya di dalam perkara hukum dan ibadah. Ia tidaklah sempit dan menyukarkan.

Secara asasnya, para ulama’ bersepakat (ijma’) bahawa perkara yang berlaku adalah berurutan. Hal tersebut dengan:

  • Mendahulukan dengan melontar Jamrah.
  • Menyembelih korban.
  • Bercukur atau memotong sebahagian rambut.
  • Melakukan tawaf ifadhah.

Inilah sebagaimana mengikut tertib Nabi SAW ketika mengerjakannya. Daripada Jabir R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Para ulama’ juga bersepakat (ijma’) berkenaan dibolehkan mendahulukan suatu pekerjaan di antara empat perkara tersebut bagi orang yang lupa dalam melaksanakan ibadah tersebut.

Meskipun begitu, para ulama’ berbeza pendapat mengenai dibolehkan mendahulukan sesuatu pekerjaan dengan pekerjaan haji yang lain, yang tidak sesuai dengan tertib terdahulu, bagi orang yang sengaja dan mengetahui.

Mazhab al-Syafi’i, Ahmad, majoriti tabi’in dan para ahli hadith berpendapat: “Dibolehkan mendahulukan sebahagian pekerjaan daripada sebahagian yang lain bagi orang yang sengaja melakukannya. Mereka berhujah dengan salah satu sanad hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr, di mana para sahabat bertanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ! حَلَقْتُ قَبْلَ أَنْ أَذْبَحَ، قَالَ: «اذْبَحْ وَلاَ حَرَجَ»، فَجَاءَ آخَرُ فَقَالَ: نَحَرْتُ قَبْلَ أَنْ أَرْمِيَ، قَالَ: «ارْمِ وَلاَ حَرَجَ»، فَمَا سُئِلَ يَوْمَئِذٍ عَنْ شَيْءٍ قُدِّمَ وَلاَ أُخِّرَ إِلَّا قَالَ: افْعَلْ وَلاَ حَرَجَ.

Maksudnya: “Aku telah mencukur sebelum menyembelih (haiwan korban).” Baginda menjawab: “Sembelihlah. Tidak mengapa.” Orang lain pula datang dan berkata: “Aku telah menyembelih (haiwan korban) sebelum melontar (Jamrah).” Baginda menjawab: “Lontarlah (Jamrah). Tidak mengapa.” Pada waktu itu, tidaklah Baginda ditanya tentang suatu perkara yang seharusnya didahulukan, tetapi dikemudiankan, atau pun sebaliknya, melainkan Baginda bersabda: “Lakukanlah! Tidak mengapa.”

Riwayat al-Bukhari (1736) dan Muslim (1306)

Rasulullah SAW tidak membataskannya dengan orang yang lupa dan tidak tahu.

Sebahagian ulama berpendapat – antaranya mazhab Hanafi – bahawa sesungguhnya hal yang tidak mengapa tersebut bagi orang yang tidak tahu dan orang yang lupa berdasarkan ungkapan orang yang bertanya di dalam hadith, ‘لَمْ أَشْعُرْ’ (“Aku tidak sedar”), adalah kalimat yang mutlaq, yang perlu dibawa kepada pemahaman yang muqayyad. Maka hukum yang ada dikhususkan untuk keadaan ini. Dengan demikian, maka orang yang sengaja perlu tetap pada dasar kewajibannya, iaitu mengikuti Nabi SAW dalam melaksanakan ibadah haji berdasarkan hadith:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ خُذُوا مَنَاسِكَكُمْ فَإِنِّي لاَ أَدْرِي لَعَلِّي لاَ أَحُجُّ بَعْدَ عَامِي هَذَا

Maksudnya: “Wahai manusia, ambillah kerja-kerja haji kamu sesungguhnya aku tidak mengetahui apakah aku masih akan melaksanakan haji lagi selepas tahun ini”

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Al-Tahawi berkata: Sesungguhnya ungkapan ini mengandungi dua pengertian:

Pertama: Bahawa Rasulullah SAW membolehkan hal itu kerana keluasan ajaran Islam. Maka seorang jemaah haji boleh mendahulukan atau mengkemudiankan perbuatan ibadah haji sesuai dengan apa yang dia kehendaki.

Kedua: Sesungguhnya, sabda Nabi SAW, ‘لاَ حَرَجَ’ (“Tidak mengapa”), bermaksud tidak ada dosa bagi kamu semua apabila kamu melakukan hal ini, iaitu kerana tidak tahu dan bukan sengaja. Hal tersebut kerana ketidaktahuan mereka terhadap tatacara ibadah haji. Mereka yang bertanya ialah orang-orang Badwi yang tidak mengetahui ilmu ibadah haji.

Adakah bagi orang yang mendahulukan perbuatan ibadah haji yang mesti diakhirkan, terkena dam atau tidak? Jumhur ulama’ berkata bahawa tidak terkena dam berdasarkan dibolehkan mendahulukan dan mengakhirkan dalam keadaan apa pun.

Inilah yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (4/179).

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H