#3929: Tawaf Wada’ Bagi Wanita Haid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah wanita haid tidak perlu lakukan Tawaf Wada’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلِلَّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

(Surah Ali-Imran: 97)

Tawaf wada’ merupakan pekerjaan terakhir yang wajib dilakukan sebelum meninggalkan Makkah setelah selesai segala urusan-urusan haji dan umrah bagi pendapat muktamad mazhab Syafi’i. Ia merupakan amalan terakhir bagi jemaah yang telah melaksanakan ibadah haji sebelum meninggalkan Makkah.

Tawaf wada‘ ini juga adalah sebagai penghormatan terakhir pada Masjidil Haram. Walau bagaimanapun, tawaf wada‘ termasuk dalam syarat wajib haji dan bukanlah terdiri daripada perkara rukun haji. Oleh yang demikian, sekiranya ia tidak dilakukan, maka ia tidak merosakkan haji seseorang jemaah itu, akan tetapi ia hendaklah ditampung dengan melakukan sembelihan dam sepertimana perkara wajib haji yang lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa AdilIatuhu, 3/157)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan nas daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: hadith ini mengandungi dalil tentang kewajipan Tawaf Wada’ kerana ada perintah yang dikuatkan dan kerana ungkapan adanya keringanan bagi wanita haid. (Lihat Fath al-Bari, 3/747)

Hadith di atas menunjukkan Tawaf Wada‘ hukumnya wajib dan ia dikecualikan bagi wanita yang sedang mengalami haid. Perintah wajib ini disebabkan ‘arahan perintah’ (فعل الأمر) dalam hadith ini bersifat ‘mutlak’, tiada qarinah menunjukkan ia hanya menunjukkan sunat atau harus. Kaedah menjelaskan (الأمر المطلق) menunjukkan wajib (الأَمْرُ المُطلق يُفِيد الوُجُوب). (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 3/3 dan Syarh Zad al-Mustaqni‘, 13/127)

Syeikh Abdullah al-Bassam berkata: Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa tidak wajib tawaf wada’ bagi wanita yang sedang haid. Hal yang sama juga berlaku terhadap wanita yang mengalami nifas. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/199)

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H