#3930: Adakah Wudhu’ Disyaratkan Ketika Tawaf?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah disyaratkan untuk berwudhuk ketika tawaf?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya:Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Al-Syaukani menyatakan bahawa tawaf yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah tawaf ifadhah. Kaabah disebut sebagai “الْعَتِيقِ” kerana Allah SWT telah membebaskannya daripada kekuasaan orang yang zalim. Terdapat pendapat lain menyatakan bahawa maknanya ialah mulia. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 437)

Secara umumnya, suatu tawaf itu dianggap sah sekiranya memenuhi kesemua syarat-syaratnya. Antaranya syarat sah tawaf adalah sebagaimana syarat sah solat, iaitu niat, suci daripada hadas besar dan kecil, suci daripada najis sama ada pada badan, pakaian atau tempat tawaf dan menutup aurat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/141)

Hal ini adalah sebagaimana sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

الطَّوَافُ حَوْلَ البَيْتِ مِثْلُ الصَّلاَةِ، إِلاَّ أَنَّكُمْ تَتَكَلَّمُونَ فِيهِ، فَمَنْ تَكَلَّمَ فِيهِ فَلاَ يَتَكَلَّمَنَّ إِلاَّ بِخَيْرٍ

Maksudnya:Tawaf mengelilingi Kaabah sama seperti solat, hanya sahaja kamu (boleh) bercakap di dalamnya (ketika tawaf). Sesiapa yang mahu bercakap-cakap tatkala tawaf, maka hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.”

Riwayat al-Tirmizi (960)

Begitu juga hadith daripada Aisyah R.Anha yang mana satu ketika beliau mengadu kepada Rasulullah SAW yang beliau dalam keadaan haid. Maka Rasulullah SAW bersabda:

افْعَلِي كَمَا يَفْعَلُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لاَ تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِي

Maksudnya:Lakukanlah seperti mana yang dilakukan oleh orang yang mengerjakan ibadah Haji kecuali tawaf di Baitullah (Kaabah) sehinggalah engkau suci.”

Riwayat al-Bukhari (1650)

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

أُمِرَ النَّاسُ أَنْ يَكُونَ آخِرُ عَهْدِهِمْ بِالْبَيْتِ إِلَّا أَنَّهُ خُفِّفَ عَنْ الْحَائِضِ

Maksudnya: “Orang ramai diperintahkan menjadikan perkara terakhir mereka (ketika melakukan haji dan umrah) adalah dengan tawaf di Kaabah, melainkan diberi keringanan kepada wanita berhaid.”

Riwayat al-Bukhari (1755) dan Muslim (3284)

Syeikh Abdullah al-Bassam menjelaskan: Tiga Imam Mazhab berpendapat: “Disyaratkan berwudhu’ ketika tawaf.” Abu Hanifah berpendapat bahawa tidak disyaratkan berwudhu’, akan tetapi mereka menyatakan wajib. Kesan daripada perbezaan pendapat ini, bahawa tawaf orang yang berhadas menurut mazhab Hanafi sah, akan tetapi wajib membayar dam. Sementara menurut mazhab yang lain, tidak sah.

Ibn Rusyd berkata: Sebab perbezaan pendapat para ulama’ adalah pada berulang-ulangnya tawaf, iaitu sama ada hukumnya disamakan dengan hukum solat atau tidak. Dalam hal ini, telah thabit bahawa Rasulullah SAW telah melarang wanita yang haid daripada melakukan tawaf, sebagaimana Baginda melarang mereka daripada mendirikan solat. Dari sisi ini, maka tawaf serupa dengan solat. Dalil Abu Hanifah adalah bahawa tidak segala sesuatu dapat terhalang oleh haid, maka bersuci adalah syarat pelaksanaan tawaf.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/200)

Kami nyatakan bahawa termasuk syarat sah tawaf adalah seseorang mestilah berada dalam keadaan bebas daripada hadas. Ini juga bermaksud perlu kepada wuduk atau mandi wajib bagi seseorang yang ingin melakukan tawaf — jika dalam keadaan berhadas kecil atau besar.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H