#3944: Membunuh Orang yang Menghina Nabi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Jika ada seseorang yang sering menghina Rasulullah SAW atau nabi-nabi yang lain, kemudian dia dibunuh kerana perbuatannya itu, adakah akan dihukum qisas kepada pembunuhnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, menghina utusan Allah SWT telah memerintahkan hamba-hamba-Nya untuk mencintai nabi-Nya, memuliakan Baginda, menghormatinya, menyokongnya, memuliakannya, dan memelihara kedudukannya. Ini dapat difahami berdasarkan larangan Allah SWT dari menyakiti Allah SWT dan Rasulullah SAW. Sesiapa yang sengaja menyakiti Allah SWT dan Rasulnya, maka dia diancam laknat oleh Allah SWT, dan sesiapa yang dilaknat ini tidak akan mendapat sebarang pertolongan di akhirat kelak.

Allah SWT telah berfirman:

 إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.”

(Surah al-Ahzab: 57)

Dan juga firman Allah SWT:

وَمَن يَلْعَنِ اللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya.”

(Surah al-Nisa’: 52)

Dalam aritkel-aritkel yang pernah kami keluarkan sebelum ini ada menyebutkan tentang pembunuhan-pembunuhan yang dilakukan tanpa keharusan syara‘. Di dalam artikel ini, kami sebutkan salah satu keharusan yang boleh menyebabkan halal darah seseorang itu ditumpahkan berdasarkan hukum syara‘. Akan tetapi, keharusan ini hanya khusus kepada Rasulullah SAW sahaja dan tidak terpakai pada mana-mana pemimpin Islam selepas Baginda SAW. Ini sebagaimana yang datang daripada Abu Barzah al-Aslami R.A, bahawa beliau berkata ketika melihat seorang lelaki yang bercakap kasar dengan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq R.A:

 أَلَا أَضْرِبُ عُنُقَهُ؟ فَانْتَهَرَهُ وَقَالَ: مَا هِيَ لِأَحَدٍ بَعْدَ رَسُولِ اللهِ ﷺ

Maksudnya: “Bolehkah aku penggal lehernya? Lalu Abu Bakar marah seraya berkata: ‘Tidaklah ia (hukuman bunuh itu) terpakai pada seseorang selepas Rasulullah SAW’.”

Riwayat al-Nasa’ie (4071) dan Ahmad (54)

Keharusan Membunuh Orang yang Menghina Nabi

Terdapat beberapa dalil keharusan syara‘ yang memberikan kebenaran menumpahkan darah orang yang sengaja menghina Rasulullah SAW. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin ‘Abdullah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ لِكَعْبِ بْنِ الأَشْرَفِ، فَإِنَّهُ قَدْ آذَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ، قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ مَسْلَمَةَ: أَتُحِبُّ أَنْ أَقْتُلَهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَأَتَاهُ، فَقَالَ: إِنَّ هَذَا – يَعْنِي النَّبِيَّ ﷺ – قَدْ عَنَّانَا وَسَأَلَنَا الصَّدَقَةَ، قَالَ: وَأَيْضًا، وَاللَّهِ لَتَمَلُّنَّهُ، قَالَ: فَإِنَّا قَدِ اتَّبَعْنَاهُ فَنَكْرَهُ أَنْ نَدَعَهُ، حَتَّى نَنْظُرَ إِلَى مَا يَصِيرُ أَمْرُهُ، قَالَ: فَلَمْ يَزَلْ يُكَلِّمُهُ حَتَّى اسْتَمْكَنَ مِنْهُ فَقَتَلَهُ

Maksudnya: “‘Siapakah yang boleh menangani Ka‘b bin al-Asyraf? Sesungguhnya dia telah menyakiti Allah dan Rasul-Nya.’ Muhammad bin Maslamah berkata: ‘Adakah engkau ingin agar aku membunuhnya wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Benar.’ (Jabir berkata), maka dia datang kepada Ka‘b bin al-Asyraf dan berkata: ‘Sesungguhnya orang ini – yakni Nabi SAW – telah membebani kami dan meminta sedekah (zakat) daripada kami.’ Dia (Ka‘b bin al-Asyraf) berkata: ‘Sama juga, demi Allah kalian akan bosan dengannya.’ Dia berkata: ‘Sesungguhnya kami mengikutinya dan kami tidak suka untuk meninggalkannya sehinggalah kami melihat apa yang terjadi padanya di kemudian hari.’ Dia (Jabir) berkata: ‘Maka dia berterusan berbicara dengannya sehingga dia mendapat kesempatan lalu membunuhnya’.”

Riwayat al-Bukhari (3031) dan Muslim (1801)

Dan keharusan ini kerana 2 sebab yang utama:

  • Penghinaan ini telah mengeluarkan seseorang itu dari agama Islam.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menukilkan kalam Ishaq bin Rahuyah, katanya bahawa ulama’ Islam telah bersepakat bahawa sesiapa yang menghina Allah SWT atau menghina Rasulullah SAW, maka dia telah kufur dengan perbuatannya itu, meskipun dia mengakui segala apa yang diturunkan oleh Allah SWT. (Lihat al-Sarim al-Maslul, 2/15)

Al-Qadhi ‘Iyadh juga menukilkan kalam Muhammad bin Suhnun, katanya bahawa ulama’ telah bersepakat tentang orang yang menghina dan memperlekehkan Rasulullah SAW sebagai kafir, dan dia diancam dengan azab Allah SWT ke atasnya, dan hukumnya pula adalah layak dibunuh. (Lihat al-Syifa, 2/215)

Imam Ibn Hazm menyebutkan dengan jelas, sesiapa sahaja yang menyakiti Rasulullah SAW maka dia telah kafir, terkeluar dari Islam, dan mesti dihukum bunuh. (Lihat al-Muhalla, 11/414)

  • Menyakiti Rasulullah SAW dengan penghinaannya.

Ini berdasarkan riwayat  Jabir bin ‘Abdullah R.A yang kami bawakan di atas, dan juga riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.A, katanya:

أَنَّ أَعْمَى كَانَتْ لَهُ أَمُّ وَلَدٍ تَشْتُمُ النَّبِيَّ ﷺ، وَتَقَعُ فِيهِ، فَيَنْهَاهَا، فَلَا تَنْتَهِي، فَلَمَّا كانَ ذَاتَ لَيْلَةٍ، أَخَذَ المِغْوَلَ، فَجَعَلَهُ فِي بَطْنِهَا، وَاتَّكَأَ عَلَيْهَا، فَقَتَلَهَا، فَبلَغَ ذلِكَ النَّبِيَّ ﷺ فقَالَ: أَلَا اشْهَدُوا أنَّ دَمَهَا هَدَرٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya ada seorang lelaki buta yang mempunyai hamba wanita yang melahirkan anaknya, hamba itu sentiasa menghina Nabi SAW dan didengari oleh lelaki tersebut, kemudian dia melarang hamba itu berbuat demikian, akan tetapi dia tidak berhenti. Pada suatu malam, lelaki itu mengambil pedang Mighwal lalu menikamnya di perut, dan dia bersandar padanya (merapatkan lagi tubuh sambil menikan) sehingga membunuhnya. Berita itu pun sampai pada Nabi SAW seraya bersabda: ‘Bersaksilah kalian, sesungguhnya darah perempuan itu sia-sia’.”

Riwayat Abu Dawud (4361)

Syeikh ‘Abdullah bin ‘Abd al-Rahman al-Bassam berkata, yang dimaksudkan dengan ‘darah perempuan itu sia-sia’ adalah, darahnya harus ditumpahkan dan tidak dikenakan qisas atau diyah ke atas pembunuhnya. (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 6/205)

Dalam sebuah riwayat lain daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A, katanya:

أَنَّ يَهُودِيَّةً كَانَتْ تَشْتِمُ النَّبِيَّ ﷺ وَتَقَعُ فِيهِ فَخَنَقَهَا رَجُلٌ حَتَّى مَاتَتْ ، فَأَبْطَلَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ دَمَهَ

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang perempuan Yahudi sering mencela Rasulullah SAW sehingga celaan itu sampai pada pengetahuan Baginda, lalu seorang lelaki mencekiknya sehingga mati. Kemudian Rasulullah SAW membatalkan darahnya (tidak mewajibkan hukuman atas pembunuhannya).”

Riwayat Abu Dawud (4362)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ini, jelas bahawa perbuatan menghina Rasulullah SAW itu merupakan satu dosa besar yang boleh mengakibatkan 2 perkara pada pelakunya:

  • Mengeluarkannya dari Islam, seraya menjadi murtad. Maka dia boleh dihukum bunuh berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menukar agamanya (murtad daripada agama Islam), maka bunuhlah dia.”

            Riwayat al-Bukhari (6922)

  • Mendapat laknat Allah SWT kerana menyakiti Rasulullah SAW. Dan dia juga boleh dihukum bunuh atas perbuatannya.

Oleh kerana adanya sebab yang mengharuskan darah sesseorang itu ditumpahkan, maka orang yang membunuh pencela Rasulullah SAW itu tidaklah dikenakan ke atasnya sebarang hukuman, sama ada hukuman qisas atau bayaran diyah kepada keluarga si mati.

Beginilah ketetapan Allah SWT dalam menjaga kedudukan Rasulullah SAW sebagai utusan-Nya yang menyampaikan agama Islam kepada umat akhir zaman. Semoga kita terpelihara dari sebarang perkara yang melanggar hukum syara‘ dan dijauhkan dari terjerumus dalam perkara yang boleh mengeluarkan kita dari Islam. Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Oktober 2023 bersamaan 12 Rabiulakhir 1445 H